Sunday 13 December 2015

Raikan Anak Sebagai Terapi Diri

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Ingat lagi dulu masa awal-awal ikut berpindah ke Terengganu. Bila anak selerakkan permainan, perasaan mudah sangat terusik. Berbagai perasaan ada. Marah, geram, stress, sedih dan pelbagai perasaan negatif. Sampai satu tahap, hanya terbaring dan tak semangat nak buat apa-apa.

Bila fikir-fikir semula, nampak ketidakmatangan dan terlebih emosi di situ. Kemudian bila mengandung anak kedua, fikiran dah mula risau. Alahai anak baru seorang, kelam kabut sudah. Bila anak dah dua, macam mana pula agaknya.

Hihi. Tapi bila anak dah dua ni, ok saja. Tak adalah seteruk yang dirisaukan. Mula-mula saja. Lama-lama ok. Alhamdulillah dah makin boleh sesuaikan diri dan mengawal emosi. Tak dinafikan bukan mudah, tapi semangat masih kuat.

Duduk di perantauan, negeri orang, jauh dari keluarga. Duduk di rumah mertua bersama ipar. Rumah saudara mara belah suami, kakak dan pak saudara, mak saudara, tok, semuanya dekat-dekat saja, sebelah menyebelah saja. Alhamdulillah semakin nampak hikmahnya.

Saya pernah terbaca mengenai cara untuk mengurangkan stress jika anak sepahkan permainan di rumah. Salah satu dari caranya ialah membiarkan dahulu sehingga anak habis bermain atau anak tidur, baru kita kemas. Tapi saya rasa cara ni lebih sesuai jika kita tinggal di rumah sendiri.

Kalau kat rumah mertua buat cara macam ni, alamatnya berbulu lah mata mak mertua tengok. Hihi.

Satu lagi, rasa belas ihsan. Saya pun kadang serba salah juga. Jika mertua tak tegur pun, saya masih rasa hormat pada dia. Jadi mengalah sajalah.

Jadi untuk mengekalkan keharmonian, bagi yang ada anak kecil dan tinggal bersama mertua ni, mungkin boleh cuba tips ni.

1) Sediakan bakul, beg atau kotak untuk isi mainan. Jadi senang nak kutip. Sebelum mertua nampak, kemas dahulu.
2) Jika mertua dah nampak, kemas je depan dia, atau sekurangnya tegur anak depan dia
3) Ajar anak sama-sama simpan permainan selepas main
4) Sebelum masuk tidur atau bangun awal sebelum mertua bangun. Jadi sempat meronda periksa dan kemas sebelum mertua kemas.

Hihi. Konsep mudahnya ialah kita sentiasa usaha kemas dulu sebelum mertua sempat kemas. Tunjukkan yang kita memang nak kemas sendiri dan ajar anak untuk kemas. Tapi kalau nak bagi anak serakkan lama-lama dan nak layan anak main puas-puas, ajak anak sepahkan dalam bilik. Hihi.

Sekarang, saya dah boleh tenang bila tengok bilik bersepah. Tak macam dulu lagi. Sebabnya saya pujuk diri sendiri. Yang penting anak gembira. Anak masih kecil, tak tahu apa. Dia sedang dalam proses belajar. Bermain dan buat sepah tu salah satu dari cara dia belajar. Pepatah yang selalu saya gunakan untuk pujuk hati supaya tak mudah stress,

Rumah sepah boleh dikemas.
Baju kotor boleh dibasuh.
Tapi anak terabai kerana kurang didikan dan kasih sayang, macam mana nak perbaiki?

Persoalan ni lah yang selalu saya tekankan. Sebab saya percaya, jika kita betul-betul tumpukan pada usia awal pembesaran anak-anak, InsyaAllah kesannya kita akan lihat sehingga dia dewasa. Biar berpenat dan bersusah dahulu, InsyaAllah puashati dan gembira di kemudian nanti.

Kalau rasa stress, berhenti kejap, tarik nafas dalam-dalam. Atau minum air dahulu dan beristighfar. Ni lah yang saya selalu buat. InsyaAllah tak mudah stress. Kalau stress pun, sekejap je dah boleh reda.

Raikan anak sebagai terapi diri. Lihat wajah anak ketika dia tidur. Ucap Alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu.

Moga bermanfaat.


Friday 11 December 2015

Jadikan Target Sebagai Suatu Doa

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Salah satu dari ciri penting yang perlu ada untuk seseorang itu diiktiraf sebagai orang yang berjaya adalah mempunyai target. Tidak kira dalam apa jua matlamat yang kita ingin capai. Kita perlu set target sebagai tanda aras untuk kita menilai kembali tahap manakah kejayaan kita.

Walaubagaimanapun, set target sahaja tidak mencukupi. Beberapa langkah perlu diambil agar target itu menjadi keutamaan dalam rutin seharian kita.

Antaranya ialah memastikan target itu ditulis dengan spesifik dan jelas. Ini bagi memastikan agar matlamat dapat dilihat dengan lebih jelas agar perancangan yang lebih teliti dapat dirangka dan disusun. Selain itu, ia juga berfungsi membantu sebagai 'Reminder' dan mengingatkan kita agar tidak tersasar dari target yang ingin dicapai.

Sebagai contoh, target saya dalam penyusuan anak kedua ini ialah berjaya menyusukannya sepenuhnya dengan susu ibu sehingga sekurangnya berumur 2 tahun. Ini adalah misi saya dalam penyusuan.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa target kecil yang saya senaraikan bagi mencapai misi tersebut seperti berikut:

1) Berjaya menghasilkan susu ibu sejak akhir kehamilan lagi - Tercapai
2) Berjaya menyusukan bayi seawal 1 jam pertama selepas kelahiran - Tercapai

3) Berjaya menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu selama 44 hari berpantang - Tercapai
4) Berjaya menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu sehingga bayi berumur 3 bulan dan berat bayi mencecah 6kg - Tercapai

Target seterusnya ialah berjaya menyusukan bayi sehingga berumur 6 bulan dengan susu ibu sepenuhnya

Alhamdulillah. Target-target kecil ini lah yang menjadi pembakar semangat untuk saya terus berjaya dalam penyusuan. Raikan kejayaan yang kecil. InsyaAllah kejayaan yang besar akan jadi lebih mudah.

Satu lagi target saya yang utama pada masa ini ialah target untuk berjaya menjana pendapatan hanya dari rumah.

Pakar menyarankan agar kita memulis dan meletakkan target kita di tempat yang jelas dan mudah dilihat setiap hari. Sebagai contoh, kita boleh menampalnya di dinding bilik, di atas meja kerja, di peti ais dan juga di papan putih/hijau di rumah.

Secara ringkasnya, di mana sahaja yang dapat membantu kita agar sentiasa terbaca dan ingat pada target kita.

Pilihan saya ialah menulis target dan menyimpannya di telefon bimbit. Saya jadikan target saya sebagai 'Wallpaper' di telefon saya. Sebabnya saya memang sering melihat telefon setiap hari. Selain itu, saya juga rasakan yang ianya lebih sesuai bagi saya bagi menjaga privasi. Maklumlah tinggal di rumah mertua. Segan pula jika mertua atau ipar terbaca target saya itu. Hihi.

Jadi setiap kali saya melihat telefon, saya akan baca semula target secara tidak langsung. Setiap hari baca dan tekadkan dalam diri untuk capai azam tu. Bila hari-hari sebut, hari-hari baca, ia seakan menjadi satu doa.

InsyaAllah siapa yang berusaha, dia akan berjaya. Moga Allah makbulkan usaha ini.

Jadi pembaca yang nak cuba, bolehlah cuba tips ni ya. Catat dan setkan sebagai wallpaper. Saya doakan moga pembaca yang sedang baca penulisan saya ini juga berjaya mencapai target yang diimpikan. Aamiin.

Moga bermanfaat dan jumpa lagi.

Nak cari baju menyusu jenis selak yang sopan, mudah dipakai dan selesa pada harga jimat?
Sekarang tengah ada promosi Year End Sale,
Jemput ke Page FB : Baju Muslimah Menyusu atau Whatsapp 012-7960804