Thursday 30 April 2015

Entri 15 : Kisah Afi Si Peminat Kenderaan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Simpanan Peribadi

Assalamualaikum.

Bila dah bergelar seorang ibu ni, memang banyak perubahan yang berlaku pada diri kita.

Antara yang menjadi daya penarik dan pembangkit semangat setiap hari adalah apabila dapat memerhatikan perkembangan anak-anak membesar di depan mata. Kadang-kadang tergelak sendiri melihat keletahnya yang pelbagai. .

Setiap ibu pasti mengimpikan yang terbaik untuk anak-anak. Walaupun saya tidak berkerjaya sebagai seorang guru, saya akan cuba untuk menjadi pendidik dan guru yang terbaik untuk anak sendiri.

Muhammad Afi. Itulah nama yang dipilih oleh kami suami isteri. Sekarang Afi sudah pun berumur 1 tahun 10 bulan. Sudah boleh bertutur beberapa perkataan dan memahami arahan-arahan mudah.

Antara perkataan terawal yang boleh disebut olehnya ialah 'Oyi'. Bermaksud Lori. Ketika itu umurnya 1 tahun 2 bulan. Ya dia masih agak pelat untuk menyebut beberapa perkataan. Antara target saya ketika ini ialah mencuba untuk melatihnya bercakap dengan bunyi yang betul dan tidak pelat. :)

Minatnya terhadap kenderaan memang tidak dapat disangkal lagi. Mungkin antara sebabnya ialah buku pertama yang saya belikan untuknya adalah buku bergambar mengenai jenis-jenis kenderaan. Memang banyak koleksi permainan Afi yang majoritinya bertemakan kenderaan yang terlibat dalam pembinaan seperti pelbagai jenis lori, kren, bulldozer dan sebagainya.

Jika rakan sebaya kebanyakannya begitu meminati watak superhero dan kartun seperti Ultraman, Upin Ipin, Doraemon dan Boboiboy, Afi lebih cenderung kepada kenderaan dan haiwan.

Buktinya daripada buku, permainan, rancangan tv, sehingga lah kepada pakaian, apabila ada kenderaan dan haiwan yang dia nampak, dia akan sebut dengan nada teruja.

Antara kenderaan yang sering menjadi sebutan di bibirnya adalah seperti lori, bas, motor, kereta, kapal terbang, helikopter, basikal, bot dan juga van. Kenderaan yang paling diminati pula ialah lori hantu atau lebih dikenali sebagai 'Lori Congek' dalam bahasa Terengganu.

Ketika perjalanan jauh, antara aktiviti yang dapat membantunya dari merasa bosan berada lama dalam kenderaan ialah memerhatikan kenderaan yang lalu di sepanjang perjalanan. Sememangnya berkesan membuatkan dia leka dan tidak meragam dalam kereta. :)

Setiap petang, saya akan cuba meluangkan masa untuk menemaninya bermain lori congek dan pasir di halaman rumah.

Oleh kerana ayahnya bekerja sebagai subkontraktor dan turut terlibat dalam projek membina rumah di kawasan sekitar, dia kerap berpeluang melihat aksi lori congek ketika menurunkan barang muatan. Memang teruja habis. Macam menonton aksi bola oleh pemain yang diminati sahaja lagaknya.

Setiap petang selepas balik dari kerja, ayahnya pula akan membawanya pusing kampung untuk melihat kawasan sekitar. Kadangkala akan berhenti singgah di rumah bapa saudara suami yang juga bekerja sebagai kontraktor. Semata-mata ingin melihat lori dan 'Bulldozer' yang diletakkan di kawasan rumah. Apabila dapat menyentuh dan melihat dari jarak dekat, seakan satu kepuasan bagi dirinya.

Jika rancangan di televisyen pula, rancangan kegemarannya ketika ini ialah 'Robocar Poli'. Memang tak berganjak. Setiap kali nampak kenderaan seperti lori, helikopter, kapal terbang atau apa sahaja kenderaan yang dikenali, dia akan menyebut sambil menunjukkannya kepada saya dengan nada teruja.

Begitulah antara aktiviti seharian saya bersama Afi. Moga dia menjadi anak yang soleh. Siapa tahu mungkin dia juga akan mewarisi bidang yang sama dari ibu dan ayahnya iaitu bidang yang melibatkan kejuruteraan awam. InshaAllah.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Wassalam.


Wednesday 29 April 2015

Entri 14 : Penjagaan Mesra Ibu Untuk Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


 Assalamualaikum.


Semasa saya membuat temujanji pemeriksaan untuk ibu mengandung di salah sebuah klinik kerajaan, saya telah diberikan taklimat dan dibekalkan sebuah pamplet berkenaan 'Panduan Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya'.

Semasa menyelak info di setiap helaian, saya begitu tertarik dengan salah satu dari tajuk yang terkandung dalam pamplet tersebut. Ia adalah mengenai 'Amalan Kelahiran dan Penjagaan Mesra Ibu'.

Jadi entri kali ini saya ingin kongsikan beberapa info yang saya perolehi berkaitan amalan yang dapat membantu seorang ibu memberi penyusuan awal sejurus selepas bersalin.

1) Peneman sepanjang kelahiran

Menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan. Majoriti hospital kerajaan mengehadkan hanya seorang peneman dibenarkan. Suami merupakan peneman yang terbaik bagi isteri. Antara kebaikan yang diperolehi :
  • Dapat membantu menguruskan isteri dari segi persiapan dari awal pendaftaran sehingga keluar hospital
  • Mengazan dan iqamah bayi yang dilahirkan
  • Menjaga aurat isteri
  • Supaya timbul keinsafan dan lebih menghargai isteri

2) Makanan / Minuman Ringan

Membenarkan ibu mengambil minuman atau makanan yang ringan jika ibu mahu semasa proses kelahiran (bagi ibu berisiko rendah).

  • Cadangan terbaik adalah buah kurma dan air zam zam. Kurma dapat membantu membekalkan tenaga dengan cepat dan mudah dihadam. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk proses tahnik bayi

3) Kaedah penahan sakit bukan ubatan

Menggalakkan ibu untuk memilih kaedah penahan sakit yang bukan ubatan melainkan jika diperlukan atau atas permintaan ibu tersebut

  • Alternatif bagi penahan sakit bukan ubatan ialah teknik pernafasan (hypnobirthing) dan urutan
  • Selain itu, peneman juga boleh memainkan peranan dengan memberikan sokongan kata-kata positif dan doa

4) Bergerak aktif 

Menggalakkan ibu berjalan dan bergerak sebelum melahirkan, jika mahu dan menggalakkan ibu untuk melahirkan mengikut posisi pilihan kecuali terdapat halangan perubatan yang boleh mengakibatkan komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu

  • Ibu yang bergerak aktif dengan berjalan dan bergerak sebelum melahirkan dapat membantu mempercepatkan bukaan rahim dan didapati mengalami proses kelahiran yang lebih mudah

5) Elakkan campurtangan sewaktu kelahiran dan melahirkan

Elakkan campurtangan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan bayi dan ibu mengantuk. Tidak menggunakan sebarang prosedur invasive seperti memecahkan selaput ketuban, episiotomi, peransang mempercepatkan kelahiran (induction of labour), pembedahan caesarean atau kelahiran secara bantuan peralatan, melainkan keadaan memerlukan untuk komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu.

Pengeluaran oksitoksin boleh terganggu buat sementara dalam keadaan ibu mengalami kesakitan akibat jahitan kelahiran atau perasaan bimbang.

Jadi bagaimana ia dapat dikaitkan dengan penyusuan susu ibu yang berjaya ya?
Amalan-amalan ini dapat membantu seorang ibu untuk merasa berkebolehan, berkeyakinan, berkeupayaan menguasai diri, disokong dan bersedia untuk berinteraksi dengan bayi yang cergas.

Apabila ibu berasa yakin, emosi ibu akan berasa lebih tenang. Perasaan tenang dan gembira dapat merangsang rembesan hormon positif seperti hormon prolaktin dan oksitoksin yang diperlukan untuk penghasilan susu ibu.

Pengeluaran susu ibu seawal yang mungkin amat penting bagi meransang proses penghasilan dan pengaliran susu yang cepat dan berterusan.

Sekian dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga bermanfaat.


Tuesday 28 April 2015

Entri 13 : Bekalan Elektrik Terputus - 3 Peralatan Yang Membantu Anda

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Simpanan Peribadi

Assalamualaikum sahabat semua.

Bila berlaku kejadian bekalan elektrik terputus, situasi yang biasa akan berlaku adalah seperti di bawah ni.

Situasi :

Kita bergegas mencari lilin, mancis atau lighter. Cari bekas untuk letak lilin. Disebabkan keadaan gelap, tak jumpa barang yang dicari. Anak pula sibuk nak ikut kerana takut gelap. Anak kecil menangis kerana tak selesa. Kelam kabut dan stress. Selesai pasang lilin atau pelita, kita mencari tempat tinggi dan selamat supaya tak dapat dicapai oleh anak. Tempat pula perlu lapang dan jauh dari barang untuk elak dari api menyambar. Biasa tak dengan situasi ini?

Tapi dengan adanya persediaan menggunakan 3 peralatan ni, InshaAllah ia dapat membantu memudahkan kita ketika menghadapi bekalan elektrik terputus.

1) Lampu kecemasan




Ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi dilakukan oleh setiap rumah bagi tujuan keselamatan. Ini kerana, apabila bekalan elektrik terputus, secara otomatik, lampu kecemasan ini akan menyala. Lokasi yang agak strategik untuk memasang lampu kecemasan ini adalah di bahagian hadapan rumah dan juga di bahagian dapur. Ini dapat membantu kita mencari pintu keluar dengan mudah, melihat keadaan dalam rumah atau mencari barang yang diperlukan.


2) Kipas kecil menggunakan kuasa bateri




Saya beli kipas ini di kedai Mr DIY. Ia berfungsi seperti kipas duduk cuma bersaiz lebih kecil. Mereka yang mempunyai anak kecil kebiasaannya menghadapi kesukaran untuk menidurkan anak ketika bekalan elektrik terputus. Suasana yang panas menyebabkan anak mudah berpeluh dan rasa tidak selesa. Saya hanya menggunakan kipas kecil ini untuk memberikan rasa sejuk ketika menidurkan anak. Ternyata ia berkesan. Kini dah tak lenguh lagi mengipas. Saiznya yang kecil juga memudahkannya untuk dibawa ke mana-mana.


3) Lampu suluh/picit yang kecil




Kebiasaannya ramai akan memilih lilin atau pelita untuk membekalkan cahaya ke sesuatu tempat. Tapi peralatan yang melibatkan penggunaan api agak berisiko untuk terjadinya kebakaran jika tidak diawasi atau berlaku kecuaian. Selain itu, ia juga mendatangkan rasa panas dan cepat habis digunakan. Saya lebih suka memilih lampu suluh bersaiz kecil yang menggunakan bateri sebagai alternatif. Hanya perlu tekan suis ketika hendak digunakan, dan tekan suis semula ketika selesai. Tidak membazir. Selain itu, ia juga tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana.

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Moga lepas ni, situasi kita akan lebih tenang ketika berlaku lagi kejadian elektrik terputus. Dah ada persediaan alternatif la katakan. InshaAllah.

Selamat mencuba dan moga bermanfaat.

Monday 27 April 2015

Entri 12 : Manfaat Bangun Awal Pagi Dari Sudut Kesihatan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith



Assalamualaikum semua sahabat budiman.

Saya kongsikan sekali lagi entri berkaitan manfaat bangun awal pagi ini kerana saya berpendapat, ia merupakan salah satu rutin penting untuk kita menjadi seorang muslim yang berjaya. Moga menjadi motivasi buat kita untuk menjadikannya sebagai rutin dalam kehidupan. InshaAllah rutin yang sihat ini akan membantu kita menjadi seorang yang lebih seimbang dari kesihatan jasmani, rohani, akal dan emosi. Seterusnya melorongkan kita ke jalan menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Hasil kajian menunjukkan bahawa, mereka yang termasuk dalam kategori orang yang berjaya dalam kehidupan, mempunyai rutin yang sama. Mereka bangun seawal 4.30 hingga 5.00 pagi. Ini menunjukkan bahawa rutin permulaan harian kita memainkan peranan yang penting dalam menentukan hasil yang akan kita perolehi pada hari tersebut, samada menjadi seorang yang produktif atau tidak.

Pastinya rutin bangun awal pagi ini mempunyai beberapa manfaat yang sangat bernilai. Jom kita lihat senarai di bawah:

1) Kesihatan Fizikal

Air sejuk dipercayai dapat memberi kesegaran kepada tubuh. Kandungan gas ozon pada waktu pagi adalah paling tinggi berbanding waktu lain. Udara segar dan pemandangan yang tenang di awal pagi dapat memberikan impak rasa tenang pada manusia, seterusnya membantu seseorang itu untuk memulakan hari baru dengan kadar motivasi yang tinggi.

Antara kebaikan yang dapat diperolehi jika mandi awal pagi pula adalah ia akan melancarkan peredaran darah, meningkatkan kesuburan dan meningkatkan sel darah putih. Semua ini amat bermanfaat bagi memastikan tubuh badan kita sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang optimum.

2) Aura Subuh

Berikut saya kongsikan info yang berkaitan hasil tulisan Ustaz Zahazan

Kaitan Waktu Solat dengan Warna Alam (Aura)

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

3) Masa Yang Lebih Efisien

Oleh kerana hari dimulakan lebih awal, seseorang itu mempunyai masa yang cukup untuk merancang sesuatu aktiviti dari awal. Ini dapat mengelakkan berlakunya situasi kelam kabut dan stress. Selain itu, mereka juga dapat mengisi masa di awal pagi dengan aktiviti-aktiviti seperti membuat regangan, joging dan bersarapan. Bagi kita umat Islam, pastinya hari yang dilalui akan menjadi lebih bermakna jika diisi dengan aktiviti pemantapan rohani seperti solat sunat tahajud, membaca Al-Quran dan Tafsir, mendengar ceramah atau kuliah agama. Rutin ini dapat membantu seseorang itu mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

4) Melatih Sikap Disiplin

Bangun awal pagi memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Mereka yang berjaya mengawal diri untuk bangun pada awal pagi setiap hari lazimnya lebih mudah untuk mencapai apa yang diimpikan. Ini kerana dalam diri mereka sudah tertanam satu keazaman dan disiplin yang kuat untuk melakukan apa sahaja demi merealisasikan apa yang diimpikan. Sikap disiplin ini juga akan turut menarik sikap positif lain seperti rajin, bertanggungjawab dan jati diri yang utuh. Tidah hairanlah jika kita amati, majoriti mereka yang mempunyai nama besar dalam bidang masing-masing mempunyai rutin yang sama setiap hari, iaitu bangun pada awal pagi.

*Nota Tambahan

Kebaikan bangun awal pagi mengikut kata pakar / usahawan yang berjaya dan terkenal

Selama 15 tahun, Presiden Starbucks Michelle Gaas telah menetapkan jam loceng beliau pada pukul 4.30 pagi untuk aktiviti berjogging. Gretchen Ruben, penulis popular “The Happiness Project” (Harper Perennial, 2011) akan bangun pada pukul 6 pagi dan bekerja selama satu jam sebelum keluarganya bangun dari tidur. Pakar pengurusan masa, Laura Vanderkam telah menekankan kelebihan bangun awal pagi dan bagaimana menggunakan masa pagi ini dengan lebih cekap lagi di dalam buku penulisan beliau “What The Most Successful People Do Before Breakfast” (Portfolio Trade, 2013). 

Mereka yang bukan muslim pun boleh berjaya dengan mengamalkan rutin bangun awal pagi. Jadi mari sahabat sekalian, kita cabar diri sendiri agar dapat mengamalkannya.

Salam ukhwah dan moga bermanfaat.



Sunday 26 April 2015

Entri 11 : Catatan Harian 26.04.2015 (Ahad)

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image

Suasana tenang yang mendamaikan


Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Alhamdulillah kali ini saya menulis catatan harian dari Johor Bahru, kampung halaman yang dirindui.

Hari ni, tak keluar ke mana-mana. Sebab nak menumpukan pada kerja melengkapkan barang yang perlu dibawa balik ke Terengganu.

Wah siap ada senarai. Senarai ni penting sebab mengandungi barang-barang keperluan yang akan digunakan untuk berpantang dan juga keperluan untuk bayi yang bakal lahir nanti.

Antaranya kain batik, selipar, stokin tebal, 'baby cot', tilam bayi, saputangan, besen mandi.

Walaupun masih belum tahu lagi dapat bayi lelaki ke perempuan, tapi saya tetap sediakan juga baju-baju yang masih elok untuk digunakan seperti sarung tangan dan kaki, baju, tuala, saputangan, topi, tuala. Bayi perempuan pakai baju warna biru pun masih ok. Tak ada masalah.

Oleh kerana saya jarang balik. Dua bulan sekali baru balik. Jadi setiap kali balik, saya akan meluangkan masa mengemas pakaian Afi yang dah tak muat. Semua yang dah kecil, saya lipat dan asingkan di satu tempat. Hanya baju yang masih boleh dipakai sahaja, saya gantung supaya mudah dicari. 

Saya lebih suka membeli stok hanger yang banyak. Baju-baju dan seluar digantung sekali dalam 1 hanger. Jadi bila nak pakai, mudah nak cari. Lagipun jimat masa nak melipat. :)

Perasaan ketika ini masih berdebar nak buat persiapan. Walaupun ini anak kedua, tapi situasinya berbeza.

Sebelum ni, saya berpantang dan bersalin di kampung sendiri, Johor Bahru. Untuk anak kedua ni, InshaAllah akan bersalin dan berpantang di Terengganu, rumah mertua.

Jadi persiapan pun agak berlainan sedikit. Kali ni kena ringankan mulut bertanya dengan keluarga mertua. Setiap orang caranya berbeza. Antara topik yang menjadi perhatian saya ialah berkaitan bertungku, mandi serum dan berurut.

Oklah sekian dulu untuk kali ini. InshaAllah ada kesempatan, saya akan ceritakan dengan lebih lanjut lagi.

Wassalam. :)

Saturday 25 April 2015

Entri 10 : Tip Riadah Yang Berkesan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith



Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Tajuk entri saya pada kali ini ialah tip riadah yang berkesan.

Sebelum tu, mari kita semak maksud riadah. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud riadah boleh ditakrif kepada istilah seperti berikut:
  • Melakukan latihan gerak badan, senaman
  • Segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran
  • Amalan kerohanian untuk mengawal hawa nafsu
  • Berekreasi
  • Ia juga sinonim dengan rekreasi, senaman, sukan, olahraga, permainan, persantaian, hobi 
Sumber : Carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)

Riadah yang berkesan pula seharusnya berjaya mencapai matlamat utama mengapa tujuan sesuatu aktiviti itu dijalankan. Mari kita ikuti panduan yang boleh digunakan bagi mendapatkan riadah yang berkesan :

1) Pilih tempat yang positif

Tempat yang positif harus menepati ciri berikut:
  • Suasana yang tenang dan santai. Ini dapat menjamin ketenangan jiwa dan konsentrasi.
  • Tidak bercampur dengan maksiat. Dapat mengelakkan pengaruh kurang baik.
  • Membawa kebaikan. Yakin dengan manfaat yang akan diperolehi.

2) Rancang aktiviti

Riadah yang berkesan seharusnya mempunyai matlamat yang jelas. Ia bukan sekadar aktiviti suka-suka yang dilakukan tanpa ada tujuan. Antara ciri-ciri aktiviti yang penting adalah ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pastikan setiap ahli keluarga terlibat dan turut sama memainkan peranan.

Contoh aktiviti yang digalakkan dan mempunyai kesan produktif yang tinggi:
  • Solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu. Bapa boleh menjadi imam dan menyampaikan tazkirah sebaik selesai solat. Ini dapat menunjukkan ciri kepimpinan seorang bapa
  • Bersukan atau senaman ringan. Ia dapat melatih sikap bekerjasama antara setiap ahli. Selain itu, aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan baik dari segi ransangan untuk kesihatan fizikal dan minda yang cerdas.
  • Berkelah. Aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga. Suasana berkumpul bersama-sama dapat mewujudkan situasi yang memberansangkan untuk ahli keluarga berbual dan bertukar pendapat. Ibu bapa juga dapat menggunakan masa ini untuk memberi nasihat dan menanamkan nilai-nilai murni kepada anak-anak dalam keadaan santai.
  • Bergotong-royong. Aktiviti ini sesuai dipraktikkan bagi menanam sikap saling tolong menolong dan berkhidmat pada masyarakat. 
Contoh aktiviti yang kurang produktif:
  • Pergi ke tempat membeli belah untuk melepak
  • Bermain permainan video
  • Menonton televisyen 
Aktiviti yang kurang produktif biasanya melibatkan pergerakan fizikal yang kurang aktif dan hanya melibatkan ransangan yang sangat minima. Selain itu ia lebih kepada hubungan sehala. Ia juga memerlukan pemantauan ibubapa bagi mengelakkan kewujudan pengaruh yang kurang sihat atau masalah ketagihan.
 

3) Buat persediaan yang sesuai
  • Sediakan makanan dan minuman sebagai bekalan. Aktiviti menyediakan makanan bersama-sama pasti menarik minat anak-anak dan menimbulkan rasa teruja kepada anak-anak.
  • Memilih pakaian yang sesuai dengan aktiviti. Contohnya pakaian yang sesuai untuk mandi, bersukan dan sebagainya. Selain itu, pastikan pakaian menutup aurat dan menepati ciri-ciri keselamatan.

4) Tumpukan perhatian

Riadah yang berkesan dapat dicapai sekiranya manfaatnya diperolehi oleh setiap yang menyertainya.
Elakkan dari membuat hal masing-masing ketika aktiviti riadah sedang dilakukan. Simpan semua telefon, permainan video, tab, mp3 atau apa-apa alat yang boleh mengganggu tumpuan ketika aktiviti riadah dijalankan.

Riadah yang berkesan adalah penting bagi menjamin penggunaan masa yang berkualiti, tenaga yang digunakan mendatangkan manfaat dan wang yang digunakan ketika aktiviti riadah disalurkan ke arah yang positif.

Moga riadah kita mendatangkan manfaat dan juga diterima sebagai salah satu ibadah.

Sekian perkongsian untuk kali ini. Wassalam

Friday 24 April 2015

Entri 9 : Tip Perjalanan Jauh Untuk Ibu Hamil

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Assalamualaikum dan selamat pagi.

Perjalanan jauh memang agak mencabar. Terutama jika melibatkan ibu hamil atau mempunyai anak kecil.Tapi dengan persediaan yang cukup, InshaAllah ianya akan berjalan dengan lancar.

Kali ini saya ingin kongsikan beberapa persediaan yang boleh dibuat bagi ibu hamil sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Jom kita semak panduan berikut.

1) Ruang duduk yang selesa

Pastikan ibu mempunyai ruang yang selesa. Maksudnya tempat letak kaki yang cukup luas, tidak terlalu penuh dengan barang-barang dan posisi tempat bersandar yang selesa. Lebih baik lagi, sediakan satu kusyen atau bantal kecil, dan letak di belakang pinggang. Ia dapat membantu ibu rasa lebih selesa.

2) Pakaian yang selesa

Pastikan ibu memakai pakaian yang selesa. Kain yang menyerap peluh, tidak panas atau boleh menyebabkan gatal. Sebaiknya memakai kain labuh/jubah atau skirt berbanding seluar bagi memudahkan urusan pembuangan air di tandas awam.

3) Sediakan makanan/minuman ringan sebagai bekalan 

Lazimnya ibu hamil akan mudah terasa lapar. Bekalan ini dapat membantu kita untuk mengalas perut tanpa perlu berhenti dengan kerap. Pastikan ia adalah makanan kering dan mudah diurus supaya jika tertumpah, ia mudah dibersihkan. Antaranya seperti kurma, kismis, roti dan biskut.

4) Air masak dan Supplemen

Jangan lupa bawa ya. Letakkan ditempat yang mudah dicari dan dicapai.

5) Sediakan 1 beg kecil untuk isi barang keperluan seperti berikut:
  • Plastik untuk persediaan jika ada alahan muntah
  • Pantiliner jika ada keputihan
  • Minyak angin atau kulit limau untuk kurangkan rasa mual
  • Tisu dan air dalam botol untuk tujuan bilasan

 6) Rancang tempat berhenti rehat

Ini penting bagi memastikan masa untuk buang air, makan dan solat dapat dirancang sebaik-baiknya dan tidak berubah jauh dari rutin harian.

7) Nombor telefon kecemasan

Bagi ibu-ibu yang sedang memasuki fasa akhir kehamilan, anda dinasihatkan untuk bersiap sedia dengan segala barang kelengkapan untuk pergi ke hospital seperti beg ibu, beg bayi dan juga buku rekod kesihatan (buku pink). Selain itu, pastikan anda ada menyimpan nombor kecemasan untuk dihubungi jika berlaku sebarang perkara kecemasan.

8) Berdoa

Sebelum memulakan perjalanan, berdoa semoga perjalanan selamat dan lancar. Ini antara doa yang boleh diamalkan.



Sekian dahulu untuk kali ini.

Moga bermanfaat dan selamat membuat persediaan.

Thursday 23 April 2015

Entri 8 : Susu Kambing Susu Kedua Terbaik Selepas Susu Ibu

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Google Image



Assalamualaikum dan selamat pagi semua.
Moga anda semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.

Pagi ini saya ingin kongsikan beberapa manfaat susu kambing.

Untuk Ibu Hamil
  • Memberi tenaga dan menyegarkan badan
  • Sumber kalsium dan mineral untuk tubuh dan kandungan
  • Mencegah bayi daripada terkena demam kuning
  • Membantu memudahkan proses bersalin
  • Membantu membersihkan anggota dalaman & peranakan semasa bersalin
Untuk Ibu Menyusu Anak
  • Membantu memperbanyakkan penghasilan susu badan serta memekatkan susu badan
Untuk Anak Berusia 1 Tahun dan ke atas
  • Membantu menguatkan imunisasi badan anak-anak
  • Menguatkan tulang dan gigi anak-anak kerana susu kambing mengandungi kalsium yang tinggi
  • Membantu pertumbuhan otak dan memperkuat daya ingatan 
  • Membantu sistem pencernaan 
  • Sesuai bagi anak-anak yang alahan pada susu lembu/soya
Sebagai salah seorang pengguna susu kambing. Berikut adalah analisa dari pengalaman saya sendiri.

1) Kesihatan anak :

Sebelum ini, dia kerap juga muntah, cirit birit. Kali terakhir dia minum susu lembu, dia mengalami sembelit. Rasa kasihan kepadanya membuatkan saya nekad bertukar kepada susu kambing. Alhamdulillah sudah 2 bulan menggunakannya, tiada lagi masalah seperti ini.

2) Kebersihan :

Lebih mudah membersihkan botol susu dan puting. Tiada lagi sisa kotoran degil yang melekat. Jika dahulu, saya mengambil masa yang lama untuk membersihkan botol. Walaupun telah menggunakan sabun khas untuk membersihkan botol susu, kotoran masih sukar tanggal sepenuhnya. Ini kerana selain perlu menggunakan berus, saya juga perlu menggunakan pisau untuk mengikis sisa susu dan jeragat yang melekat di celah-celah puting. Selain itu, saya perasan, puting botol juga cepat berubah ke warna kuning. Kini botol susu lebih mudah dibersihkan dan masa dapat dijimatkan. Tiada lagi masalah puting menjadi kekuningan atau berjeragat.

3) Tekstur :

Dari segi tekstur pula, warna susu lembu lebih ke arah kekuningan. Susu kambing pula berwarna putih. Selain itu, tekstur susu kambing lebih halus, mudah larut dan tidak mudah melekat. Ini membuatkan saya lebih yakin bahawa susu kambing lebih mudah dihadam oleh usus.

Saya merupakan salah seorang yang mengamalkan makanan sunnah. Pada kehamilan saya yang pertama, saya juga mengamalkan minum susu kambing segar ketika mengandung. Alhamdulillah anak saya tidak mengalami demam kuning.

Kebanyakkan susu kambing dikaitkan dengan bau yang agak hamis. Tapi kini terdapat pelbagai pilihan alternatif dan jenama yang tidak berbau hamis. Untuk kehamilan yang kedua ini, saya turut mengamalkan pengambilan susu kambing. Saya merupakan pengguna Susu Kambing Wildan. Setakat ini, Alhamdulillah rasanya sedap dan tidak hamis. Bagi yang kurang gemar perisa asli, anda juga boleh mencuba perisa coklat.

Sekian dahulu perkongsian pada kali ini. Wassalam.

Wednesday 22 April 2015

Entri 7 : Catatan Harian 22.04.2015 (Rabu)

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Assalamualaikum semua pembaca.

Hari ini merupakan hari yang agak sibuk bagi saya. Macam-macam perkara berlaku.

Pagi ini saya bangun awal tapi rasa agak mengantuk dari biasa. Kemungkinan kerana malam tadi tidur tidak berapa lena. Malam tadi berlaku sedikit kekecohan. Anak saudara belah suami diserang sawan. Umur baru setahun. Dipanggil-panggil nama, tidak bersahut. Agak lama juga. Suami saya bergegas mengambil air zam zam sambil membacakan surah 3 Qul dan disapu ke kepala dan badan bayi tadi. Kemudian diurut-urut ibu jari kaki, baru lah beransur pulih. Saya hanya melihat dari jauh. Tetapi bulu roma tetap terasa meremang. Sekarang bayi ini berada di hospital, ditahan di wad. Alhamdulillah hari ini sudah beransur pulih.

Pagi ini pula, saya mempunyai temujanji ke klinik desa bagi pemeriksaan ibu mengandung. Alhamdulillah sekarang sudah masuk minggu ke 26.

Pagi tadi, saya bersiap seawal 7.30 pagi semata-mata hendak mendapatkan nombor giliran paling awal. Sangka saya, saya akan mendapat no.1. Rupanya ada yang lebih awal.

Suami yang tolong hantar saya ke klinik sebelum bergegas ke tempat kerja. Mujur sempat juga selesai semua pemeriksaan selewatnya 8.30 pagi. Jadi saya tidak perlu meminta ipar untuk mengambil saya. Bukan apa. Segan untuk menyusahkan mereka.

Setelah menghantar saya ke klinik, suami bergegas balik ke rumah. Kerana ada kematian ayah saudaranya di kampung berdekatan.

Pemeriksaan di klinik tadi keseluruhannya normal. Cuma ada sedikit kesangsian berkaitan discaj. Jadi petang ini pukul 2, saya perlu membuat temujanji berjumpa doktor pula untuk membuat pemeriksaan. Berdebar rasanya. Sebab semasa mengandung kali pertama, saya tidak mempunyai kes seperti ini. Tolong doakan semuanya baik-baik sahaja ya.

Hari ini juga saya perlu membuat persiapan untuk balik ke Johor pada esok hari. Sudah agak lama tidak balik ke sana. Hampir 2 bulan. Keluarga di Johor sudah rindu. Tapi apakan daya, suami agak sibuk kebelakangan ini.

Saya juga bercadang untuk menjenguk bapa saudara yang sedang sakit di hospital. Cadangnya begitulah. Tapi Allah lebih menyayanginya. Dia telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Tak sempat nak menjenguk. Sebak mengenangkannya. Saya hanya mampu mendoakan moga roh Allahyarham Ungku Majid Bin Ungku Mohsin dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin

Perasaan ketika ini bercampur baur. Risau memikirkan kesihatan kandungan. Selain itu, fikiran asyik memikirkan persiapan untuk balik ke Johor esok agar tiada barang keperluan yang tertinggal. Saya kena rancang betul-betul kerana persiapan ini termasuk perkara yang perlu dipertimbangkan semasa persediaan bersalin dan berpantang di sini nanti. Senarai barang-barang yang perlu dibawa balik dari JB ke Terengganu telah saya siapkan. Bila jarang balik, beginilah perasaannya. Tak boleh buat silap. Moga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar.

Selain itu, barang-barang stok perniagaan yang perlu dibawa dari Terengganu ke Johor Bahru pun baru disiapkan hari ini. Mujur saya tidak perlu bawa pakaian yang banyak kerana sememangnya sudah ada pakaian yang disediakan khas untuk kegunaan semasa di sana.

Jika diikutkan, memang pening juga kepala dibuatnya. Tapi saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Sebarkan aura positif sahaja. Biar fikiran tidak menentu, tapi luaran nampak tenang.

Biasanya bila fikiran saya rasa tak tenang, saya akan pergi ke suatu tempat yang tak bising dan duduk. saya akan minum air masak, tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan. Istighfar banyak-banyak dan basuh muka. Alhamdulillah cara tu berkesan setakat ini bagi saya.

Ok itu sahaja coretan untuk kali ini. Wassalam.


Tuesday 21 April 2015

Entri 6 : Tip Mudah Untuk Terjemahan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith



Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Pagi ini saya ingin kongsikan 3 tip mudah yang boleh dipraktikkan untuk memulakan kerja-kerja penterjemahan.

1) Sediakan kamus 

Pastikan kamus sentiasa berada di tempat yang mudah dicari. Supaya apabila perlu menggunakannya, hanya perlu dicapai sahaja. Secara logiknya, ramai yang ada kamus dan ramai yang tahu tip ni. Tapi hasil pemerhatian saya, ramai juga yang kurang berjaya mengamalkan tip ini hanya kerana terlupa kamus letak di mana dan tiada masa ingin mencari. Jadi, mulakan dengan langkah memberikan kamus 'tempat istimewa'. :)

Kelebihan :
  • Perkataan lengkap dengan maksud
  • Disertakan contoh cara menggunakan ayat
  • Mempunyai alternatif pilihan perkataan
Kekurangan :
  • Agak sukar dibawa kemana-mana
  • Risiko ambil masa yang lama 

2) Guna applikasi Google Translate

Nak cari terjemahan perkataan dengan lebih mudah? Gunakan aplikasi ini. Hanya perlu pilih bahasa dan taip sahaja nama perkataan yang ingin dicari. Secara automatik, perkataan akan keluar. Tapi anda perlu berhati-hati jika ingin terus menggunakan aplikasi seperti ini untuk menyiapkan sebuah ayat yang lengkap. Ini kerana ia lebih sesuai untuk terjemahan perkataan demi perkataan. Jika anda taip ayat yang lengkap, terjemahan yang tertera biasanya kurang tepat dan mempunyai kesalahan tatabahasa.

Kelebihan :
  • Terjemahan tertera dengan mudah
  • Boleh digunakan dimana-mana, hanya perlu ada talian internet
Kekurangan :
  • Terhad kepada satu perkataan sahaja
  • Risiko kesalahan tatabahasa

Ini cuma salah satu contoh aplikasi yang boleh membantu anda mendapatkan terjemahan perkataan tanpa menggunakan kamus. Terdapat juga aplikasi lain yang anda boleh gunakan. Sungguh mudah sekarang kan. Segalanya di hujung jari.

3) Rajin Membaca

Tip ini yang paling penting dan paling asas. Mereka yang rajin membaca biasanya lebih mudah untuk menyiapkan kerja penterjemahan dalam masa yang singkat. Ini kerana, aktiviti membaca dapat melatih otak untuk memproses maklumat dengan lebih cepat. Jika terbaca terjemahan di kaca televisyen, mereka dapat 'menangkap' perkataan mana yang sesuai dan yang tidak sesuai digunakan. Jadi, pastikan anda meningkatkan lagi kemahiran dengan menjadikan aktiviti membaca sebagai hobi.

**Tip tambahan
Bagi yang bekerja, anda boleh bawa kamus dari rumah ke pejabat dan letakkan di salah satu sudut meja anda. Alternatif lain, cadangkan syarikat laburkan sedikit untuk beli kamus khas untuk digunakan di pejabat. Bagi yang bawa dari rumah, boleh beramal jariah juga. Setiap kali ada rakan sekerja yang pinjam, anda akan beroleh ganjaran pahala.

Selamat mencuba.

Sekian dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga bermanfaat.

Monday 20 April 2015

Entri 5 : Selesai Baki Pinjaman PTPTN Guna KWSP

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith


Salam 1 Rejab sahabat semua.

Ada tak antara rakan-rakan di sini yang masih mempunyai baki pinjaman yang masih belum dijelaskan? Untuk perkongsian kali ini, saya ingin kongsikan tentang penyelesaian baki pinjaman bagi PTPTN.

Bagi yang berjaya menyelesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan, saya ucapkan tahniah. Memang anda seorang yang sangat komited. Bagi yang masih belum berjaya selesaikan lagi, mungkin ada yang memilih untuk bayar sedikit demi sedikit setiap bulan. Bagi yang memilih untuk bayar setiap bulan, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk membuat permohonan pertukaran ke sistem pembiayaan 'Ujrah'. Sistem ini membolehkan kadar kos pentadbiran dikurangkan dari 3% ke 1%. Penjimatan yang boleh didapati adalah sehingga 49% dari kos pentadbiran keseluruhan.

Satu lagi alternatif penjimatan bagi yang ingin menyelesaikan baki pinjaman sekaligus adalah merebut peluang ketika tawaran diskaun dikeluarkan oleh pihak PTPTN. Yang terbaru adalah tawaran diskaun sehingga 20% dari keseluruhan baki pinjaman. Tawaran ini baru sahaja ditutup 31 Mac 2015 yang lepas. Bila lagi tawaran dibuka? Itu anda kena rajin-rajin intai pengumuman dari PTPTN. :)

Bagi yang ingin menyelesaikan baki pinjaman sekaligus, anda juga boleh membuat permohonan dengan menggunakan pengeluaran pendidikan dari akaun 2 KWSP.
* Semak dahulu baki akaun 2 KWSP anda. Pastikan mencukupi ya.
* Kalau tidak cukup, anda masih boleh keluarkan sebahagian daripadanya mengikut budibicara pihak KWSP.

Berikut adalah antara prosedur yang perlu dilakukan:

Berurusan dengan pihak PTPTN
1) Pergi ke pejabat PTPTN dan nyatakan bahawa anda ingin membuat penyelesaian baki pinjaman dengan menggunakan akaun 2 KWSP
2) Anda akan diminta mengisi borang permohonan 'Penyata Baki Pinjaman Pendidikan Pelajar'
Anda juga boleh mengisi borang permohonan secara online. Klik sini: Borang Permohonan Penyata Baki Pinjaman
* Penyata ini akan dikeluarkan oleh PTPTN mengikut format yang dikehendaki oleh pihak KWSP.
Ini contoh formatnya: Format Penyata Baki Pinjaman Pendidikan.
Jadi anda tidak boleh menggunakan penyata yang dicetak melalui online
3) Pastikan anda masih mempunyai salinan Perjanjian Pinjaman Pendidikan atau Surat Tawaran Pinjaman Pendidikan.
* Jika tiada, anda perlu memaklumkan kepada pihak PTPTN. Pihak PTPTN akan meminta anda mengisi borang 'Permohonan Salinan Dokumen Perjanjian Pembiayaan Pendidikan'.
Anda juga boleh mendapatkan borang secara online di sini : Klik Sini.
PTPTN akan mengeluarkan salinan baru kepada anda. Anda perlu membayar RM90 untuk mendapatkan salinan tersebut.
* Pastikan resit dibawa ketika ingin mengambil salinan yang telah siap
4) Setelah kedua-dua dokumen ini telah siap, anda boleh mengambil sendiri di pejabat PTPTN atau meminta agar dokumen itu dipos ke rumah anda.

Berurusan dengan pihak KWSP
1) Sediakan semua dokumen yang diperlukan seperti berikut:
  • Penyata Baki Pinjaman Pendidikan Pelajar (dikeluarkan oleh PTPTN)
  • Salinan surat perjanjian pinjaman atau Surat Tawaran Pinjaman Pendidikan
  • Salinan Sijil Diploma/Ijazah @ Salinan Transkrip Diploma/Ijazah
  • Sijil asal Diploma/Ijazah bagi tujuan pengesahan dokumen
2) Bawa semua dokumen ke pejabat KWSP dan nyatakan bahawa anda ingin membuat pengeluaran pendidikan bagi tujuan penyelesaian baki pinjaman PTPTN
3) Anda akan diberikan borang 'Permohonan Pengeluaran Pendidikan' iaitu KWSP 9H (AHL) untuk diisi. Borang KWSP 9H (AHL)
4) Cara pembayaran balik baki pinjaman boleh dibuat dalam bentuk 'Pengkreditan terus' atau menerusi 'Cek Jurubank'. Pastikan nama dan alamat PTPTN diisi dengan betul.
5) Setelah siap mengisi borang, ambil nombor giliran dan tunggu hingga nombor giliran anda dipanggil.
6) Serahkan borang dan dokumen yang diperlukan.
7) Anda akan diminta menurunkan cap ibu jari dan membuat pengesahan cap ibu jari
8) Sekiranya semua tiada masalah, anda akan diberikan 'Notis Akuan Penerimaan Permohonan'

Setelah bayaran dibuat kepada pihak PTPTN, pihak KWSP akan memaklumkan kepada anda melalui SMS. Ok siap.

Prosedur terakhir adalah pastikan anda mendapat surat pelepasan dari PTPTN yang mengesahkan anda telah pun menyelesaikan kesemua baki pinjaman.

Selamat mencuba dan semoga urusan anda dipermudahkan. :)





Sunday 19 April 2015

Entri 4 : Kisah Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Salam ukhuwah sahabat semua.

Sebagai pembuka kata, saya mulakan dengan bacaan dari Surah At-Tolaaq (65:2-3) yang juga dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar. Di dalam ayat ini ada disebutkan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangannya), maka Allah akan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka.

Kisah yang ingin saya kongsikan pada kali ini adalah catatan pengalaman saya ketika mula-mula bekerja di salah sebuah pasaraya di negeri kelahiran saya iaitu Johor Bahru.

Benarlah pesan orang tua-tua, orang yang berbuat baik pasti tidak akan rugi. Kata kuncinya di sini ialah sentiasa berakhlak mulia walau di mana kita berada, InshaAllah, kebaikannya akan berbalik pada kita.

Pada ketika itu, umur saya 18 tahun, baru sahaja tamat peperiksaan SPM. Saya masih ingin menyambung pelajaran. Tapi dalam masa yang sama, terfikir dari mana nanti saya akan mendapat duit untuk perbelanjaan semasa berada di sana nanti. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan SPM keluar.

Dengan bekerja secara sambilan, sekurang-kurangnya saya masih dapat menyimpan serba sedikit duit sebagai persediaan. Jadi saya mengambil peluang untuk bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya berhampiran dengan rumah. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian yang menjual barang-barang permainan.

'Factory Outlet' adalah pusat jualan yang menempatkan pelbagai jenis barangan. Antaranya cenderamata, buku, permainan, baju dan lain-lain. Setiap jenis barangan pula dibahagikan kepada beberapa kawasan kecil kerana dipunyai oleh syarikat yang berlainan. 'Factory Outlet' ini berfungsi sebagai tapak sewaan perniagaan bagi peniaga meletakkan barang jualan mereka. Oleh itu, setiap barangan akan mempunyai pembantu jualan masing-masing.

Sewaktu pertama kali saya dibawa ke bahagian saya ditugaskan, saya agak terkejut. Ini kerana keadaannya sangat tak terurus. Terdapat permainan yang sudah rosak, permainan sudah tertanggal dari bungkusan dan sampah merata-rata. Rupa-rupanya pekerja sebelum ini sudah lama berhenti dan tiada pekerja baru dapat diganti kerana masalah tidak cukup pekerja.

Penyelia memberi taklimat. Antara tugas yang diamanahkan adalah saya perlu memastikan tempat sentiasa kemas dan tersusun, perlu melabel harga, melayan pertanyaan pelanggan, mengadakan demo percubaan jika pelanggan ingin mencuba sesuatu permainan dan juga mengira dan merekod baki stok. Rakan sekerja meluahkan rasa tidak puas hati kerana mereka beranggapan bahawa skop kerja saya terlalu banyak. Tidak setaraf dengan jawatan sebagai pembantu jualan. Tetapi saya ambil komen mereka itu secara positif. Dalam hati saya berkata "Tak apa lah, ia baik untuk pengalaman saya".

Mengikut cerita rakan sekerja, bahagian di bawah jagaan saya ketika ini dahulunya kerap bertukar pekerja. Kebanyakan pekerja tidak mampu bertahan lama. Antara sebab yang dinyatakan adalah kerana bahagian ini sukar diuruskan. Selain itu, pekerja mempunyai bebanan kerja yang banyak dan mempunyai bos yang garang. Saya hanya mampu tersenyum sendiri. Walaupun tiada pengalaman kerja dan dikhabarkan cerita seperti itu, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya.

Jadi, langkah pertama saya adalah dengan mengemas dahulu tempat tersebut. Saya kumpulkan semua permainan yang bersepah dan asingkan di suatu tempat. Plastik yang masih boleh digunakan, saya kutip dan simpan. Sampah-sampah dibuang. Baki permainan yang masih ada, saya kemas dan susun dahulu. Kemudian saya mula memeriksa permainan tadi samada memang sudah rosak atau masih boleh digunakan. Yang boleh digunakan, saya bungkus semula elok-elok. Yang rosak pula diasingkan dalam kotak 'reject'. Alhamdulillah selesai satu perkara. Lega bila tengok tempat kembali terurus.

Banyak juga pengalaman yang memberi pengajaran kepada saya sepanjang tempoh bekerja di sini. Ia banyak melatih sifat sabar dalam diri saya. Antaranya cabarannya adalah apabila ada pengunjung yang suka bermain dengan permainan yang ada tanpa mempedulikan papan tanda 'Dilarang Bermain' yang dipaparkan. Jika kanak-kanak yang masih kecil bermain, itu perkara biasa. Tetapi adakalanya kaum bapa yang sepatutnya menjadi penjaga pula yang turut sama bermain. Tapi sifat amanah pada kerja mengajar kita untuk bersifat berani kerana benar. Kita tetap perlu menjaga harta syarikat walau nilainya tidak semahal mana. Saya pernah dimarahi pengunjung gara-gara bersikap tegas untuk tidak membenarkan barang permainan diperbuat sesuka hati. Tetapi saya tidak kisah semua itu. Yang penting, kita menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya.

Cabaran kedua pula ialah sikap rakan sekerja yang ada di antaranya memberi pengaruh kurang baik. Mereka gemar berkumpul dan berbual-bual kosong. Selain itu, ada pula yang gemar mengamalkan sikap buat kerja sambil lewa. Hanya kerana ingin cepat siap, tanda harga diletak sesuka hati sehingga senget dan terbalik. Sikap sebegitu membuatkan saya kurang rapat dengan mereka. Mungkin ada yang perasan perubahan sikap saya itu. Tetapi saya tidak kisah. saya tetap menegur mereka macam biasa. Cuma saya lebih suka memilih duduk di tempat sendiri dan buat kerja masing-masing.

Orang yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar dan menyemak kerja saya adalah penyelia saya. Beliau akan datang menyemak rekod yang telah saya siapkan dan juga menyemak stok. Selain itu, saya juga ada dibantu oleh seorang pembantu jualan yang lebih senior. Beliau akan datang memberi tunjuk ajar bagaimana menyusun barang supaya kelihatan kemas dan menarik. Beliau ada bercerita mengenai bos syarikat ini. Tetapi saya hanya mendengar sahaja kerana masih tidak berpeluang berjumpa.

Suatu hari, seperti biasa saya membuat kerja-kerja saya. Menyusun barang-barang agar kelihatan kemas. Selain itu, saya juga cuba membuat perubahan menyusun atur permainan agar kelihatan lebih menarik untuk dilihat. Ketika itu, pengunjung tidak ramai. Saya ada terlihat kelibat seorang lelaki muda yang berdiri agak berhampiran dengan tempat saya. Kelibatnya tidak seperti mereka yang ingin mencari barang untuk dibeli. Saya sedar dia sedang memerhatikan saya. Jadi saya hanya senyum sekilas dan meneruskan kerja seperti biasa.

Rakan sekerja yang lain pula sibuk berkumpul dan berbual. Saya tidak menyertai mereka kerana masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat. Tambahan pula, rasa tidak sedap hati jika berbuat begitu. Memang tiada siapa yang akan memarahi cuma naluri hati memujuk untuk tetap terus jujur dan ikhlas melakukan kerja. InshaAllah lebih berkat rezeki yang diperolehi.

Sedang saya sibuk membuat kerja, tiba-tiba senior saya datang dan bertegur sapa dengan lelaki tadi. Rupanya lelaki yang memerhati tadi adalah anak bos. Beliau memang sengaja datang secara mengejut dan tidak memperkenalkan diri kerana ingin melihat sendiri cara saya bekerja.

SubhanaAllah. Mood yang dari tadi tenang tiba-tiba berdebar. Sungguh tak sangka. Rasa segan pun ada. Kemudian senior tadi memperkenalkan saya kepada anak bos tadi. Saya hanya mampu berdoa moga semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

Saya bekerja di situ tidak lama lebih kurang 3 bulan sahaja. Tibalah masa untuk saya meletakkan jawatan kerana telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran.

Sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas buat hambaNya. Berkat kesabaran dan kejujuran, Alhamdulillah saya telah diberikan rezeki tambahan. Kebiasaannya pembantu jualan hanya dibayar gaji setiap bulan. Tapi saya telah diberikan komisyen tambahan yang menyamai sebulan gaji saya. Komisyen yang diberikan, saya anggap sebagai bonus kerana ia dapat membantu saya untuk perbelanjaan semasa saya menyambung pelajaran.

Bila saya fikir semula peristiwa ini, saya rasa amat bersyukur. Kerana dalam keadaan saya tengah memerlukan duit untuk persediaan menyambung pelajaran, Allah hadirkan bantuanNya tepat pada masa.

Syukur Alhamdulillah.

Setakat ini perkongsian saya untuk kali ini. Yang baik dijadikan tauladan, yang kurang baik, dijadikan pengajaran. Moga bermanfaat.

Saturday 18 April 2015

Entri 3 : Nak Murah Rezeki? Jom Bangun Awal Pagi

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image

Subuh Yang Damai



Salam ukhuwah.

Ramai antara kita tahu tentang manfaat bangun pada awal pagi dari sudut kesihatan.

Antaranya :
  • Lapisan ozon adalah yang tertinggi pada waktu ini. Jadi udara yang terhasil adalah lebih segar
  • Mandi pada waktu awal pagi dapat melancarkan aliran darah, meningkatkan kesuburan dan meningkatkan penghasilan sel darah putih.
  • Suasana waktu awal pagi yang damai dan jauh dari kesibukan dapat memberi impak rasa tenang dan memudahkan kita untuk berfikir
  • Mereka yang bangun awal mempunyai masa yang cukup untuk bersenam, bersarapan dan menyiapkan kerja pada awal waktu. Jadi rutin pagi dapat dimulakan dengan cara hidup yang sihat
  • Rutin hidup yang sihat dapat memelihara status kesihatan dan meningkatkan produktiviti. 
  •  
Namun kali ini saya ingin kongsikan 2 petikan hadis yang menguatkan bahawa bangun awal pagi sememangnya boleh membuka pintu rezeki dan kejayaan

1) Antara Terbit Fajar dan Terbit Matahari adalah saat Allah memberi rezeki kepada Hamba-Nya

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari Solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur.

Dengan penuh kasih sayang, lantas baginda menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, "Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari"

2) Doa Keberkahan Rasulullah kepada Umatnya yang mudah untuk bangun Subuh

"Ya Allah berkahilah umatku selama mereka mudah untuk bangun Subuh" (HR Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Siapa yang tidak meyakini doa Rasullullah. Ini menunjukkan orang yang mudah untuk bangun Subuh akan dilimpahi keberkatan berkat makbulnya doa dari Rasulullah. Allahuakbar. Alangkah beruntungnya. Jom sama-sama kita berusaha supaya termasuk dalam golongan yang mendapat doa ini. Dengan izin Allah, bertambah murah rezeki kita.

Sekian dahulu perkongsian dari saya untuk entri kali ini. Saya akhiri dengan perkongsian di bawah. Moga dapat meningkatkan lagi motivasi kita untuk berjaya seperti mereka.

Moga bermanfaat.


1. Antara Terbit Fajar dengan Terbit Matahari adalah Saat Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur. Dengan penuh kasih sayang lantas beliau menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
1. Antara Terbit Fajar dengan Terbit Matahari adalah Saat Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur. Dengan penuh kasih sayang lantas beliau menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
1. Antara Terbit Fajar dengan Terbit Matahari adalah Saat Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur. Dengan penuh kasih sayang lantas beliau menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
1. Antara Terbit Fajar dengan Terbit Matahari adalah Saat Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur. Dengan penuh kasih sayang lantas beliau menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
1. Antara Terbit Fajar dengan Terbit Matahari adalah Saat Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, beliau mendapati puterinya, Fatimah, masih tidur. Dengan penuh kasih sayang lantas beliau menggerakkan badan puterinya itu lalu berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

Friday 17 April 2015

Entri 2 : Penyusuan Susu Ibu - 5 Sikap Suami Dambaan Isteri

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Salam ukhwah sahabat semua.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang 5 sikap suami yang dikenalpasti dapat membantu menjayakan penyusuan susu ibu. Jom kita kenali 5 sikap ini.

1) Teruja dengan ilmu
Sebut sahaja perkataan-perkataan berkaitan seperti 'hindmilk', 'foremilk', 'milkbooster' dan sebagainya. Semuanya dia ambil tahu. Kelas bimbingan pula, dia yang beriya mendaftarkan diri untuk pergi ke kelas dan mengajak kita bersama-sama menambah ilmu. Nombor pakar laktasi untuk dihubungi atau khidmat sokongan, ada dalam simpanannya. Dia juga tahu tuntutan menyusukan anak dengan susu ibu sehingga anak berumur 2 tahun terkandung dalam Al-Quran.

2) Prihatin tentang keperluan ibu menyusu
Dari pam untuk menyusu, baju menyusu sehinggalah 'nursing cover'. Dia lah yang tolong beli dan sediakan. Malah dia turut sama selidik dan banding, yang mana yang terbaik buat isteri. Dia tidak kekok kemana-mana untuk menemani isteri membuat pilihan yang terbaik. Tidak berkira untuk menyediakan peruntukan kerana dia tahu ia merupakan pelaburan yang amat berbaloi

3) Penyokong No.1
Jangan ada yang cuba merendahkan atau memandang remeh pada isteri. Dia akan cuba menjelaskan dengan tegas dan penuh hikmah akan kebaikan penyusuan susu ibu. Sehingga kerana kesungguhan dia menyokong penyusuan susu ibu ini, ramai ahli keluarga dan kawan-kawan turut sama mengikuti jejak langkah untuk memilih penyusuan susu ibu sebagai yang terbaik untuk keluarga

4) Pendengar yang setia
Bila-bila masa yang diperlukan, dia sedia menjadi pendengar setia bagi isteri. Apabila ada masalah, dia turut sama cuba memberi solusi yang terbaik. Apabila isteri rasa lemah semangat, kata-kata motivasi sentiasa menjadi penguat semangat isteri. Jika perlu, dia sanggup meluangkan masa menemani isteri menemui pakar bagi mendapatkan solusi yang terbaik. Pendek kata, isteri sentiasa berada dalam keadaan selesa dan dikelilingi aura positif

5) Pembantu yang budiman
Suami jenis ini tidak kisah mengambil alih tugas isteri apabila diperlukan. Baginya yang penting adalah isteri dapat menumpukan sepenuh perhatian dan berjaya dalam penyusuan. Dia akan pastikan keperluan isteri dapat dipenuhi, dan isteri mendapat rehat yang secukupnya.

Jadi para suami dan bapa sekalian, cuba selidiki, ada tak sikap-sikap sebegini pada anda. Jika tidak dapat semua pun, apa kata anda cuba praktikkan semampu yang mungkin. Tidak rugi mencuba kerana akhirnya anda juga yang dapat menikmati kebaikan sekiranya isteri anda berjaya dalam misi ini. Sama-sama beruntung. Dan yang paling membahagiakan ialah apabila anak anda menjadi seorang yang sihat, bijak, baik budi pekerti dan rapat dengan keluarga. Selain menjimatkan, dialah aset kita yang amat berharga untuk membantu kita di akhirat nanti. Jadi pastikan kita usahakan yang terbaik untuk keluarga ok.

Itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Moga memberi manfaat dan semoga berjaya.

Sunday 12 April 2015

Entri Pengenalan Diri

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Salam ukhwah dan salam perkenalan buat sahabat semua. Ini merupakan kali pertama saya menulis blog, jadi berdebar pula rasanya. Agak lama juga saya hanya menjadi seorang pemerhati. Tak sangka hari ini, saya juga turut terlibat dalam dunia blogger. Alhamdulillah. Baiklah saya mulakan sesi pengenalan diri ini dengan lafaz Bismillah. Moga Allah memberkati perjalanan hidup saya sebagai penulis dan apa yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.

Nama saya ialah Nuraida Binti Mohd Harith. Yang bermaksud 'Cahaya Kegembiraan' atau 'Keberuntungan'. Merupakan puteri kepada pasangan Mohd Harith Bin Mahmud dan Ungku Sai'idah Binti Ungku Mohsin. Merupakan anak jati negeri Johor Darul Takzim kerana ibu dan ayah yang lebih mesra dengan panggilan papa dan mama, kedua-duanya berasal dari Johor Bahru. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan merupakan anak kedua dari tujuh orang adik beradik.

Ayah merupakan seorang pegawai kerajaan. Jawatan terakhir beliau sebelum bersara merupakan Timbalan Pengarah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Kluang. Ibu pula seorang surirumah sepenuh masa. Ayah yang berkhidmat sebagai pegawai PTD menuntut kami sekeluarga untuk berpindah rumah beberapa kali. Mungkin kerana itu juga, apabila saya menyambung pelajaran di luar negeri Johor, saya kurang berasa kekok kerana telah terbiasa berada di tempat orang semenjak dari kecil.

Saya memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Batu Tiga dan Sekolah Rendah Tengku Mahmood (1) di Kluang. Kemudian berpindah ke Johor Bahru dan mengambil UPSR di Sekolah Rendah Taman Johor Jaya 1. Di peringkat menengah pula, saya bersekolah di Sekolah Menengah Permas Jaya.

Sementara menunggu keputusan SPM, saya mengambil peluang untuk bekerja sambilan sebagai promoter kedai permainan di pusat membeli belah Giant. Bermulalah episod saya merasai pengalaman bekerja. Walau hanya bekerja sebagai promoter, ia turut memberi pengalaman yang berharga secara tidak langsung sebagai seorang peniaga. Antaranya ialah saya belajar cara mengira stok, menyusun barang dan melayan kehendak pelanggan. Ada 2 peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika bekerja di sini. Peristiwa pertama merupakan 1 kejutan yang membuatkan saya memperolehi rezeki tambahan. Peristiwa kedua pula ialah 1 salah faham yang mengajar saya menjadi seorang yang lebih teliti ketika membuat sesuatu keputusan. InshaAllah saya akan cuba kongsikan dalam entri akan datang.

Selepas mendapat keputusan SPM, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam di Kolej Yayasan Pelajaran MARA. Kolej yang terletak di Kuantan, Pahang ini berada di kawasan 'ala-ala' kampung. Suasana yang amat menenangkan dan memberansangkan untuk belajar. Maklumlah asrama sangat dekat dengan kawasan perumahan. Di sini juga, pelajarnya tidak begitu ramai, kelas pula dekat dengan asrama. Hanya perlu berjalan kaki untuk sampai. Oleh kerana pejabat pensyarah juga dekat, mudah untuk pelajar membuat rujukan apabila ada yang tidak faham. Kelebihan ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Alhamdulillah setelah tamat, saya berjaya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Kejuruteraan Awam di UiTM Shah Alam. Sememangnya suasana amat berbeza kerana di universiti ini, kawasannya lebih besar, pelajarnya lebih ramai dan terletak dalam kawasan bandar. Walaubagaimanapun, ia memberi kelebihan dari segi penglibatan secara aktif dalam persatuan dan aktiviti kemasyarakatan. Saya bersyukur kerana saya dapat merasai kedua-dua pengalaman yang banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berdikari dan lebih matang dalam menempuhi kehidupan yang sebenar.

Setelah tamat pengajian, saya telah dipanggil untuk menghadiri satu panggilan temuduga di salah sebuah syarikat perunding kejuruteraan. Alhamdulillah saya telah berjaya dalam sesi temuduga kerja tersebut. Tetapi saya terpaksa menolak tawaran syarikat tersebut memandangkan lokasinya yang agak jauh dari rumah dan agak jauh dari perhentian pengangkutan awam. Tambahan pula, ketika itu saya masih tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Saya ada mengisi permohonan untuk bekerja dalam sektor kerajaan tapi masih belum dikurniakan rezeki. Agak lama juga saya bertahan hanya berada di rumah sehingga tiba satu masa, saya tersedar dari lamunan panjang. Saya tidak boleh berterusan begini. Lalu saya mengambil keputusan untuk mengisi apa sahaja jawatan yang ada di kawasan berhampiran dengan rumah bagi mendapatkan pengalaman dan pendapatan. Akhirnya saya mendapat tawaran pekerjaan di sebuah pasaraya yang menjual barang secara pukal iaitu pasaraya MAKRO.

Saya ditempatkan di bahagian 'Customer Development' bagi Department 'Gold Card '. Pemegang kad 'Gold Card' adalah pelanggan setia yang mempunyai rekod pembelian tertinggi setiap bulan. Pengalaman bekerja di sini mengajar saya beberapa ilmu berkaitan pemasaran. Antaranya kepentingan untuk peka pada perubahan harga barang yang ditawarkan. Selain itu, peka pada barang yang sering menjadi pilihan pembeli. Oleh kerana dalam sistem sudah ada maklumat berkenaan pembeli tersebut, kami hanya perlu menelefon pembeli dan memaklumkan harga promosi bagi barang-barang kepada pelanggan sasaran. Terdapat satu perbualan telefon dari pelanggan yang membuatkan saya masih ingat sehingga sekarang. Teguran yang sinis tapi benar-benar mengubah persepsi saya terhadap cara kerja orang yang berjaya. InshaAllah saya akan ceritakan lebih lanjut dalam entri akan datang.

Tahun 2007, itulah tahun di mana bermulanya pengalaman sebenar pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya. MAKRO ditutup bagi tujuan penjenamaan baru oleh syarikat lain dan pengubahsuaian bangunan. Memang sudah rezeki, tidak lama selepas itu, saya ditawarkan bekerja di sebuah syarikat kontraktor yang berhampiran dengan rumah saya. Jarak perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja untuk sampai dengan menaiki kereta.

Banyak perubahan berlaku semasa saya bekerja di syarikat ini. Hasil pendapatan yang saya perolehi semasa bekerja di sini, saya berpeluang untuk mengambil lesen kereta dan memiliki kereta pertama. Saya belajar untuk menjadi seorang yang lebih berdikari kerana mempunyai kemahiran memandu kenderaan. Saya bertahan lama di syarikat ini. Syarikat yang diberi nama syarikat 'Pembinaan Usadaya' merupakan syarikat kontraktor Kelas 'B' yang lebih menumpukan kepada kerja-kerja pembinaan tangki air dan saluran paip. Syarikat ini diketuai oleh seorang bos yang amat memahami pekerja dan mempunyai kemahiran kepimpinan yang amat saya kagumi. Saya juga dikelilingi rakan sekerja yang sangat bertoleransi dan memberikan kerjasama untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Saya sangat bersyukur kerana tiada tekanan dari segi politik kerja semasa bekerja di sini. Selain itu, persekitaran kerja saya juga sangat selesa. Mempunyai bilik sendiri dan tidak perlu berjumpa dengan ramai orang. Sememangnya amat sesuai dengan jiwa saya yang gemar menyiapkan kerja dalam suasana tenang. Bos saya dapat mengenalpasti potensi saya pada bahagian kerja-kerja yang melibatkan kertas kerja. Jadi saya diletakkan bekerja di bahagian pejabat. Kerja 5 hari seminggu, 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Rutin kerja yang saya idamkan.

Syarikat ini tidak mempunyai ramai pekerja jadi setiap pekerja boleh dikatakan mempunyai bidang kerja yang luas dan pelbagai. Saya sendiri terlibat dalam kerja pengurusan, projek koordinator, melukis menggunakan perisian 'AutoCAD', jurukur bahan, surat menyurat, pengurusan kualiti dan lain-lain. Nampak macam banyak bebanan tugas, tapi saya anggap sebagai satu peluang untuk saya menambah ilmu sedia ada.

Minat utama saya adalah membaca. Bahan bacaan yang sering menjadi pilihan lazimnya berkisar tentang ilmu kekeluargaan, kesihatan dan petua tradisional, motivasi, keagamaan dan ilmu pengurusan. Minat ini sebenarnya telah dipupuk dalam keluarga semenjak dari kecil lagi. Di rumah memang terdapat pelbagai koleksi bahan bacaan, kamus, ensiklopedia dan pelbagai lagi. Perpustakaan awam dan kedai buku pula merupakan tempat yang sudah menjadi kebiasaan untuk kami kunjungi. Terima kasih papa kerana berusaha mendidik kami agar cintakan budaya ilmu. Selain itu, faktor utama saya untuk aktif di Facebook juga ada kaitan dengan minat saya yang suka membaca. Ia membuatkan saya gemar untuk menyertai kumpulan sokongan di Facebook bagi mendapatkan perkongsian-perkongsian tentang ilmu baru yang sebelum ini rata-ratanya belum pernah saya dengari.

Menerusi minat membaca ini juga lah, saya dapat melatih penggunaan bahasa dan meningkatkan penguasaan perkataan baru. Semasa di tempat kerja, saya dipertanggungjawabkan untuk menulis surat-surat rasmi syarikat, samada Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Selain itu, saya juga sering menjadi rujukan rakan sekerja untuk menyemak penterjemahan atau susunan ayat ketika membuat surat atau memo. Sebenarnya saya juga amat meminati bidang kraftangan dan gubahan. Tetapi saya tidak pernah mendapat pendidikan secara formal. Saya hanya merujuk kepada internet dan majalah. Gubahan pula hanya cuba-jaya ketika menyiapkan hantaran perkahwinan kami adik-beradik.

Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah saya dipertemukan dengan suami. Mungkin sudah ditakdirkan yang Maha Kuasa, saya bertemu jodoh dengan suami yang berasal dari Terengganu. Jadi keluarga mahupun rakan sekerja seolah sudah dapat mengagak bahawa saya akan berpindah mengikut suami ke Terengganu.

Setahun yang pertama, saya masih meneruskan pekerjaan di syarikat sama. Saya dan suami duduk berasingan, di mana saya di Johor Bahru manakala suami di Kuala Terengganu. Saya dan suami akan bergilir berulang-alik sebulan sekali untuk bertemu. Berkenalan dengan suami, banyak mengubah persepsi dan minat saya dalam bidang perniagaan. Beliau sendiri bekerja sebagai sub-kontraktor dan mempunyai lingkungan keluarga yang sememangnya terlibat dengan bisnes.

Suami mula membawa produk-produk dari Terengganu bagi menanam minat saya dan melatih ilmu dalam perniagaan. Antara produk yang terlibat adalah kain batik asli Terengganu, Sutera Asli Terengganu, dan makanan-makanan sunnah. Beliau sanggup membawa beg yang berat berisi stok perniagaan walau hanya menaiki bas. Terima kasih abang.

Sungguh dahulunya saya adalah seorang yang hanya memandang sepi apabila orang berbual dan mencadangkan kepada saya untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Tapi lama-kelamaan minat itu timbul dengan sendirinya. Saya mula belajar mengenal ciri-ciri produk, mengubahsuai gambar, mengenal istilah 'dropship' dan 'affiliate' dan banyak lagi cabang ilmu yang berkait rapat dengan bisnes. Dan pastinya alternatif baru yang berjaya mencuri perhatian saya adalah bekerja dari rumah.

Persepsi saya terhadap kerjaya sedia ada mula berubah setelah kelahiran cahaya mata pertama. Selama 2 bulan bercuti dan menumpukan sepenuh perhatian pada anak pertama saya, saya mulai rasa selesa berada di rumah dan merasa berat untuk meninggalkan anak untuk keluar bekerja. Tetapi sewaktu itu, keperluan untuk berhenti kerja belum mendesak. Jadi saya hanya tinggalkan hasrat itu dan meneruskan semula pekerjaan seperti biasa. Mujur saya masih tinggal bersama keluarga, jadi ibu saya lah yang banyak menolong untuk menjaga anak saya semasa saya keluar bekerja. Terima kasih mama.

Anak semakin membesar dan sudah pandai menangis setiap kali mengikut menghantar saya pergi bekerja. Terasa sungguh sayu, apalagi mengenangkan ayah yang jarang sekali dapat berjumpa kerana tinggal berjauhan. Walaupun agak sukar menguruskan seorang diri tapi saya masih kuatkan semangat. Saya mula mencari-cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk keluarga saya. Saya menumpukan semula pada pembacaan ke arah misi untuk bekerja dari rumah.

Beberapa bulan sebelum bermulanya bulan Ramadhan tahun 2014, mama meluahkan rasa prihatin terhadap keadaan saya yang berjauhan dengan suami. Beliau memberikan pandangan agar saya mempertimbangkan untuk berhenti kerja dan mengikut suami untuk kebaikan keluarga. Walaupun saya masih mempunyai komitmen kewangan, saya percaya rezeki ada di mana-mana. Saya berbincang dengan suami. Suami sememangnya menyokong saya untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian pada keluarga dan anak kami. Akhirnya saya tekad meletak jawatan sehari sebelum puasa bermula.

Beberapa hari selepas berhenti kerja, saya terus berpindah ke Terengganu untuk mengikut suami. Bermulalah episod saya bergelar sebagai surirumah sepenuh masa.

Perpindahan saya ke Terengganu dalam jangka masa yang singkat telah membuatkan saya buntu seketika. Saya harus menyesuaikan diri dengan segera dan dalam masa yang sama, bijak merancang supaya kehidupan menjadi stabil. Perkara pertama adalah menyenaraikan apa sahaja keperluan atau 'To do list' yang terlintas di fikiran ketika itu.

Antara langkah awal saya untuk meneruskan pembabitan dalam perniagaan adalah dengan mendaftar sebagai agen dropship. Oleh kerana saya menyokong penyusuan susu ibu, saya tertarik dengan apa juga barang yang dapat membantu memudahkan penyusuan susu ibu. Antara yang paling penting adalah baju mesra penyusuan. Jadi saya memilih untuk cuba menjual baju muslimah menyusu sebagai salah 1 punca pendapatan.

Selain itu, saya juga menjadi agen kepada tudung instant shawl bagi kanak-kanak. Saya dapati usaha ini dapat membantu menggalakkan pemakaian tudung sedari usia masih kecil lagi. Apabila terlihat kanak-kanak kecil ini begitu comel menggayakan tudung, hati terasa sejuk memandang.

Walaubagaimanapun, saya masih terasa ada kekurangan. Saya tiada mentor atau rujukan untuk dirujuk, jika saya mempunyai persoalan atau masalah. Saya berdoa dan terus mencari alternatif. Tambahan pula saya sekarang sedang hamil. Saya perlu buat persediaan yang lebih rapi. Ketika membaca sebuah artikel berkenaan tips berpantang, saya terlihat iklan mengenai ebook yang dicari. Saya terus hubungi Puan Balqis untuk mendapatkan ebook tersebut. Beberapa hari selepas itu, beliau ada membuat tindakan susulan dan mengiklankan ebook yang berkaitan dengan bekerja dari rumah.

Saya tertarik dan terus mendapatkan maklumat lanjut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah. Ini kerana dengan menyertai akademi ini, kita akan diajar cara untuk menghasilkan blog, bisnes online dan juga ilmu penulisan. Ilmu yang membolehkan pendapatan dihasilkan walaupun hanya dari rumah. Tambahan pula, ada guru untuk dirujuk dan rakan seperjuangan yang boleh memberi sokongan. Di sini lah saya diperkenalkan dengan guru yang bernama Puan Anys Idayu.

Hati saya berbunga-bunga apabila menyertai akademi ini. Ternyata ramai lagi surirumah yang mempunyai cita-cita yang sama. Cara penyampaian yang sopan dan penuh sabar oleh tenaga pengajar juga membuatkan saya benar-benar ingin turut serta dalam program ini. Inilah yang dicari oleh saya selama ini. Menjadi seorang surirumah yang berdikari, dapat menjana pendapatan hanya dari rumah dan dalam masa yang sama dapat menguruskan urusan rumahtangga dan penjagaan anak. Bagi saya, ia merupakan kehidupan seimbang yang diimpikan. Selain itu, perkongsian informasi dan ilmu melalui penulisan di blog juga diharap dapat memberi manfaat dan seterusnya menyumbang pada masyarakat khususnya kaum wanita. InsyaAllah.

Begitulah antara coretan yang saya dapat nukilkan untuk pengenalan diri. InsyaAllah bertemu lagi di post akan datang. Doakan saya terus diberi kesihatan yang baik, kemudahan dalam urusan dan kuat semangat untuk berjaya dalam apa yang diimpikan. Moga apa yang dikongsikan dapat memberi ilmu yang bermanfaat dan bukan sahaja membawa kebaikan di dunia tapi juga di akhirat sana. Aminn