Monday, 27 April 2015

Entri 12 : Manfaat Bangun Awal Pagi Dari Sudut Kesihatan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith



Assalamualaikum semua sahabat budiman.

Saya kongsikan sekali lagi entri berkaitan manfaat bangun awal pagi ini kerana saya berpendapat, ia merupakan salah satu rutin penting untuk kita menjadi seorang muslim yang berjaya. Moga menjadi motivasi buat kita untuk menjadikannya sebagai rutin dalam kehidupan. InshaAllah rutin yang sihat ini akan membantu kita menjadi seorang yang lebih seimbang dari kesihatan jasmani, rohani, akal dan emosi. Seterusnya melorongkan kita ke jalan menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Hasil kajian menunjukkan bahawa, mereka yang termasuk dalam kategori orang yang berjaya dalam kehidupan, mempunyai rutin yang sama. Mereka bangun seawal 4.30 hingga 5.00 pagi. Ini menunjukkan bahawa rutin permulaan harian kita memainkan peranan yang penting dalam menentukan hasil yang akan kita perolehi pada hari tersebut, samada menjadi seorang yang produktif atau tidak.

Pastinya rutin bangun awal pagi ini mempunyai beberapa manfaat yang sangat bernilai. Jom kita lihat senarai di bawah:

1) Kesihatan Fizikal

Air sejuk dipercayai dapat memberi kesegaran kepada tubuh. Kandungan gas ozon pada waktu pagi adalah paling tinggi berbanding waktu lain. Udara segar dan pemandangan yang tenang di awal pagi dapat memberikan impak rasa tenang pada manusia, seterusnya membantu seseorang itu untuk memulakan hari baru dengan kadar motivasi yang tinggi.

Antara kebaikan yang dapat diperolehi jika mandi awal pagi pula adalah ia akan melancarkan peredaran darah, meningkatkan kesuburan dan meningkatkan sel darah putih. Semua ini amat bermanfaat bagi memastikan tubuh badan kita sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang optimum.

2) Aura Subuh

Berikut saya kongsikan info yang berkaitan hasil tulisan Ustaz Zahazan

Kaitan Waktu Solat dengan Warna Alam (Aura)

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Waktu Subuh
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

3) Masa Yang Lebih Efisien

Oleh kerana hari dimulakan lebih awal, seseorang itu mempunyai masa yang cukup untuk merancang sesuatu aktiviti dari awal. Ini dapat mengelakkan berlakunya situasi kelam kabut dan stress. Selain itu, mereka juga dapat mengisi masa di awal pagi dengan aktiviti-aktiviti seperti membuat regangan, joging dan bersarapan. Bagi kita umat Islam, pastinya hari yang dilalui akan menjadi lebih bermakna jika diisi dengan aktiviti pemantapan rohani seperti solat sunat tahajud, membaca Al-Quran dan Tafsir, mendengar ceramah atau kuliah agama. Rutin ini dapat membantu seseorang itu mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

4) Melatih Sikap Disiplin

Bangun awal pagi memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi. Mereka yang berjaya mengawal diri untuk bangun pada awal pagi setiap hari lazimnya lebih mudah untuk mencapai apa yang diimpikan. Ini kerana dalam diri mereka sudah tertanam satu keazaman dan disiplin yang kuat untuk melakukan apa sahaja demi merealisasikan apa yang diimpikan. Sikap disiplin ini juga akan turut menarik sikap positif lain seperti rajin, bertanggungjawab dan jati diri yang utuh. Tidah hairanlah jika kita amati, majoriti mereka yang mempunyai nama besar dalam bidang masing-masing mempunyai rutin yang sama setiap hari, iaitu bangun pada awal pagi.

*Nota Tambahan

Kebaikan bangun awal pagi mengikut kata pakar / usahawan yang berjaya dan terkenal

Selama 15 tahun, Presiden Starbucks Michelle Gaas telah menetapkan jam loceng beliau pada pukul 4.30 pagi untuk aktiviti berjogging. Gretchen Ruben, penulis popular “The Happiness Project” (Harper Perennial, 2011) akan bangun pada pukul 6 pagi dan bekerja selama satu jam sebelum keluarganya bangun dari tidur. Pakar pengurusan masa, Laura Vanderkam telah menekankan kelebihan bangun awal pagi dan bagaimana menggunakan masa pagi ini dengan lebih cekap lagi di dalam buku penulisan beliau “What The Most Successful People Do Before Breakfast” (Portfolio Trade, 2013). 

Mereka yang bukan muslim pun boleh berjaya dengan mengamalkan rutin bangun awal pagi. Jadi mari sahabat sekalian, kita cabar diri sendiri agar dapat mengamalkannya.

Salam ukhwah dan moga bermanfaat.



No comments:

Post a Comment