Showing posts with label Tip Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Tip Keluarga. Show all posts

Tuesday, 29 November 2016

Tips Urus Baju Ketika Musim Hujan

Teks: Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Musim-musim hujan macam ni, yang orang biasa risau bab urus baju ni satu je, takut baju tak sempat kering dan akhirnya berbau. Alahai.

Di bawah ni Aida senaraikan antara alternatif yang boleh dilakukan untuk memudahkan kerja urus baju ketika musim hujan ni.

1) Sediakan tempat jemur baju berbumbung di luar rumah

Cara ni sesuai untuk mereka yang ada kawasan berbumbung yang luas. Contohnya kawasan tempat letak kereta.
Kalau yang guna tempat sidai mudah alih, mudah je. Agak-agak nampak macam dah gelap tu, cepat-cepat tolak ke tempat ada bumbung.
Kalau tak pun, pasang je tali rafia dan ikat kat tiang. Kalau nak tinggi, letak kayu dan ampu kat bahagian tengah. Yela mana tau ada cadar ke atau baju berat, kalau ada kayu, tak lah turun rendah sangat kan. Hihi

2) Pasang tempat sidai baju kat dalam rumah

Kalau kat sini, diorang guna cangkuk, kayu buluh dan tali rafia. Memang kukuh la. Nak pasang pun senang. Caranya pasangkan cangkuk tu kat ceiling. Pastikan pada permukaan yang kukuh ok. Lepas tu, gantungkan tali rafia tu kat cangkuk dan laraskan ikut ketinggian yang kita nak dan ikat dengan kukuh. Gantungkan kayu macam dalam gambar bawah ni. (Lebih kurang sama macam orang biasa buat untuk gantung buai. Bezanya buai guna 1 tali. Yang ni guna 2 tali di kiri dan kanan.)



3) Jangan bagi baju lembab terkempam lama-lama. Paling kurang pun, gantung siap-siap kat hanger dan anginkan kat bilik.

4) Boleh usahakan guna sabun baju yang wangi dan anti hapak. Pakai pewangi baju sekali

5) Tapi tips paling mudah ialah basuh baju macam biasa guna mesin. Lepas tu, hantar dobi untuk keringkan. Tak payah pening nak fikir nak jemur kat mana atau baju berbau sebab lambat kering kan. Haha.
Masa ni lah suami boleh berehsan dengan isteri, sekali sekala hantar dobi. Tak mahal mana pun. Serendah RM4 per trip pun ada kalau kat kawasan Kuala Nerus ni. Hihi.

Oklah sekian dulu tips untuk kali ni. Moga bermanfaat.

Sunday, 27 November 2016

3 Sebab Kenapa Perlu Dikelilingi Sahabat Yang Positif Sebagai Rakan FB

Teks: Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah. Masih berkesempatan untuk update blog petang ni. Berbalik pada tajuk Aida pada kali ni, bagi Aida memang 'YA'. Sangat penting.

Berikut ni adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman Aida sendiri.

1) Penuh Motivasi

Di saat-saat kita sedang bersedih, ada yang menujukan kata-kata semangat. Pada masa kita tengah buntu, mereka ni banyak bagi nasihat dan kata-kata hikmah. Status mereka ni pun sentiasa dipenuhi dengan doa-doa. Sejuk hati membacanya. Pendek kata, tak sempat nak berduka lama-lama. Hihi

2) Bijaksana dan Berilmu

Mereka yang positif ni, personaliti mereka sangat menarik. Status ringkas tapi padat. Tengah ada masalah, tiba2 ada je yang mencadangkan solusi. Macam-macam tips dikongsikan. Tu belum lagi pengalaman sebenar yang pasti membuatkan sahabat semua pun turut terkesan dan terkena tempias aura positif tu. Memang seronok.

3) Penyokong Yang Hebat

Ni yang paling terbaik. Mereka ni tak pernah jemu atau serik untuk saling sokong menyokong dalam perkara yang baik-baik. Dek kerana dikelilingi yang baik-baik, kita pun terikut sekali. Sentiasa berusaha memperbaiki amalan dan berusaha untuk jadi lebih berjaya.

Kan bagus macam tu. Bersilaturrahim dalam kebaikan. InshaAllah bukan saja beroleh kejayaan di dunia tapi juga di akhirat. Aamiin.

Sebenarnya ada banyak lagi sebab. Tapi Aida kupaskan 3 sebab ni dulu. InshaAllah ada rezeki, kita sambung lagi lain kali ya.

Psst baru teringat, Bulan Disember ni, Batch terakhir untuk pendaftaran GSL. Namanya sangat menarik tau, Batch Vellfire. Memang Aida galakkan sangat untuk mereka yang serius nak tingkatkan penjenamaan di FB untuk sertai.

Apa tu GSL? Jom hubungi Aida di 012-7960804. Kita sembang lebih panjang. Jom. 😊








Saturday, 8 October 2016

Betul ke penyakit boleh diwarisi?

Teks: Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum semua.

Dulu-dulu memang selalu dengar dan anggap, kalau kita terkena sakit kulit, tu adalah perkara biasa dan normal. Sebabnya memang keturunan dari mak, ayah, datuk, nenek dulu pun biasa kena gatal-gatal macam tu, ada alergik.

Kalau ibubapa ada penyakit 3 serangkai iaitu tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis, anak pun berkebarangkalian akan mengidap penyakit yang sama.

Tapi bila tertengok iklan Beras FAIZA tu, tiba-tiba aida terfikir sesuatu. Mungkin ya, faktor keturunan ada juga mainkan peranan. Tapi ada faktor lain yang boleh jadi lebih penting untuk kita fokuskan iaitu faktor pemakanan dan cara hidup.

Dalam erti kata lain, bukan sebab DNA atau jenis darah semata-mata tapi tabiat makan, cara kita menjalani kehidupan dan cara kita jaga kesihatan.

Macam mana tu?

Cuba kita tengok balik dan buat analisa. Apa yang sering kita makan setiap hari? Makanan berkhasiat ke? Ada kawal pengambilan gula, garam, minyak dan bahan lain yang boleh menjejaskan tahap kesihatan kita tak?

Makin lama fikir, makin rasa yakin dengan fakta ni. Sebab bila aida sendiri tengok apa yang berlaku pada diri aida, aida dapat rasa perbezaannya dan kesannya.

Contoh paling mudah. Bila aida kawal pengambilan gula, minum air masak secukupnya, aida kurang rasa gatal. Kulit pun elok, tak ada gatal-gatal. Tapi bila tak jaga, mudah sangat timbul gatal. Mungkin darah jadi kurang bersih, atau organ perkumuhan perlu bekerja lebih keras untuk buang toksin. Sebab tu tempoh penyembuhan pun ambil masa lebih lama.

Jadi pembaca semua. Apakata cuba pada diri sendiri, betul tak apa yang aida cakap tu. Lepas tu boleh sama-sama kongsi cerita. Hihi.

InshaAllah entri akan datang, aida cuba kongsikan fakta atau artikel berkaitan ilmu perubatan dan kesihatan pula ya.

Sunday, 13 December 2015

Raikan Anak Sebagai Terapi Diri

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Ingat lagi dulu masa awal-awal ikut berpindah ke Terengganu. Bila anak selerakkan permainan, perasaan mudah sangat terusik. Berbagai perasaan ada. Marah, geram, stress, sedih dan pelbagai perasaan negatif. Sampai satu tahap, hanya terbaring dan tak semangat nak buat apa-apa.

Bila fikir-fikir semula, nampak ketidakmatangan dan terlebih emosi di situ. Kemudian bila mengandung anak kedua, fikiran dah mula risau. Alahai anak baru seorang, kelam kabut sudah. Bila anak dah dua, macam mana pula agaknya.

Hihi. Tapi bila anak dah dua ni, ok saja. Tak adalah seteruk yang dirisaukan. Mula-mula saja. Lama-lama ok. Alhamdulillah dah makin boleh sesuaikan diri dan mengawal emosi. Tak dinafikan bukan mudah, tapi semangat masih kuat.

Duduk di perantauan, negeri orang, jauh dari keluarga. Duduk di rumah mertua bersama ipar. Rumah saudara mara belah suami, kakak dan pak saudara, mak saudara, tok, semuanya dekat-dekat saja, sebelah menyebelah saja. Alhamdulillah semakin nampak hikmahnya.

Saya pernah terbaca mengenai cara untuk mengurangkan stress jika anak sepahkan permainan di rumah. Salah satu dari caranya ialah membiarkan dahulu sehingga anak habis bermain atau anak tidur, baru kita kemas. Tapi saya rasa cara ni lebih sesuai jika kita tinggal di rumah sendiri.

Kalau kat rumah mertua buat cara macam ni, alamatnya berbulu lah mata mak mertua tengok. Hihi.

Satu lagi, rasa belas ihsan. Saya pun kadang serba salah juga. Jika mertua tak tegur pun, saya masih rasa hormat pada dia. Jadi mengalah sajalah.

Jadi untuk mengekalkan keharmonian, bagi yang ada anak kecil dan tinggal bersama mertua ni, mungkin boleh cuba tips ni.

1) Sediakan bakul, beg atau kotak untuk isi mainan. Jadi senang nak kutip. Sebelum mertua nampak, kemas dahulu.
2) Jika mertua dah nampak, kemas je depan dia, atau sekurangnya tegur anak depan dia
3) Ajar anak sama-sama simpan permainan selepas main
4) Sebelum masuk tidur atau bangun awal sebelum mertua bangun. Jadi sempat meronda periksa dan kemas sebelum mertua kemas.

Hihi. Konsep mudahnya ialah kita sentiasa usaha kemas dulu sebelum mertua sempat kemas. Tunjukkan yang kita memang nak kemas sendiri dan ajar anak untuk kemas. Tapi kalau nak bagi anak serakkan lama-lama dan nak layan anak main puas-puas, ajak anak sepahkan dalam bilik. Hihi.

Sekarang, saya dah boleh tenang bila tengok bilik bersepah. Tak macam dulu lagi. Sebabnya saya pujuk diri sendiri. Yang penting anak gembira. Anak masih kecil, tak tahu apa. Dia sedang dalam proses belajar. Bermain dan buat sepah tu salah satu dari cara dia belajar. Pepatah yang selalu saya gunakan untuk pujuk hati supaya tak mudah stress,

Rumah sepah boleh dikemas.
Baju kotor boleh dibasuh.
Tapi anak terabai kerana kurang didikan dan kasih sayang, macam mana nak perbaiki?

Persoalan ni lah yang selalu saya tekankan. Sebab saya percaya, jika kita betul-betul tumpukan pada usia awal pembesaran anak-anak, InsyaAllah kesannya kita akan lihat sehingga dia dewasa. Biar berpenat dan bersusah dahulu, InsyaAllah puashati dan gembira di kemudian nanti.

Kalau rasa stress, berhenti kejap, tarik nafas dalam-dalam. Atau minum air dahulu dan beristighfar. Ni lah yang saya selalu buat. InsyaAllah tak mudah stress. Kalau stress pun, sekejap je dah boleh reda.

Raikan anak sebagai terapi diri. Lihat wajah anak ketika dia tidur. Ucap Alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu.

Moga bermanfaat.


Wednesday, 3 June 2015

Entri 44 : Bergurau Dengan Anak - Lebih Kerap Ketawa Atau Menangis?

Teks : Nuraida Mohd Hadith

Assalamualaikum w.b.t.

Salah satu dari cita-cita saya dalam mendidik anak sendiri adalah menjadikan dia seorang anak yang gembira. 'Happy Baby' itulah yang sering saya pegang.

Saya percaya untuk mencapai cita-cita itu, saya perlu mulakan dari awal. Ini kerana 2 tahun terawal dalam hidup seorang anak itu akan mempengaruhi perkembangannya ketika dewasa. Ini kerana ketika umurnya yang masih kecil inilah, sel-sel otaknya sedang berkembang dengan pesat. Salah satu perkembangan yang penting adalah dari segi perkembangan emosi.

Anak yang dibesarkan dalam suasana gembira dan penuh kasih sayang lazimnya akan menghasilkan seorang dewasa yang mempunyai sikap yang positif seperti penyayang, berbudi bahasa, yakin diri dan hormat pada orang lain.

Oleh itu, salah satu faktor yang perlu diberi perhatian terhadap anak ialah cara kita berkomunikasi dan bergurau senda dengan anak.

Ada segelintir orang dewasa yang gemar mengusik atau menyakat anak-anak sebagai salah 1 cara untuk bergurau. Bergurau itu memang tidak salah. Cuma cara bergurau yang betul amat perlu dititikberatkan bagi memastikan gurauan itu tidak menjejaskan emosi anak tersebut.

Saya kurang bersetuju dengan cara mengusik atau menyakat sehingga menbuatkan anak menangis. Ini kerana pada usia yang kecil, anak biasanya masih belum mahir untuk mengawal emosi.

Usikan keterlaluan boleh menyebabkan emosi anak menjadi tidak stabil. Jika dibiarkan berlarutan, dikhuatiri anak itu akan membesar menjadi seorang yang kuat memberontak.

Antara cara bergurau yang perlu dielakkan adalah seperti :

  • Memanggil anak dengan nama yang boleh memalukan atau yang tidak disukai
  • Sengaja merampas barang atau permainan dari anak 
  • Menakutkan anak dengan membawanya dekat kepada benda yang ditakuti 
  • Menakutkan anak dengan meninggalkan anak keseorangan 
  • melakukan aksi yang boleh menimbulkan rasa rimas seperti mencubit pipi, menarik baju dan sebagainya 
Sebaliknya kita boleh memilih cara bergurau yang boleh membuatkan anak berasa teruja dan gembira sehingga ketawa. Antaranya ialah :
  • Bermain sembunyi-sembunyi dan 'cak'
  • Main kejar-kejar 
  • Buat ekspresi muka yang pelbagai 
  • Menggeletek bagi membuatkan anak rasa geli 
  • Mendukung, menghayun, menimang yang tidak keterlaluan 
Anak yang gembira akan lebih mudah belajar dan lebih cepat perkembangannya. 

Jom kita sama-sama cuba praktikkan. 

Thursday, 28 May 2015

Entri 38 : Didik Anak Berdikari Semenjak Dari Kecil

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Berdikari yang dimaksudkan secara umum di sini ialah sikap tahu tanggungjawab, boleh lakukan kerja tanpa perlu disuruh, tidak bersikap lepas tangan serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Antara kelebihan mendidik anak berdikari semenjak dari kecil ialah anak akan lebih mudah belajar dan mempraktikkannya. Ini kerana terbukti minda anak-anak lebih mudah menyerap apa yang dipelajari semasa usianya masih kecil.

Bak kata pepatah 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kelebihan lain pula ialah anak yang berdikari akan lebih mudah diurus, lebih matang dan lebih bertanggungjawab dalam kehidupan.

Kelak ia memberi kelebihan buat ibubapa dan juga pasangan apabila berkahwin nanti kerana mereka yang berdikari akan turut sama menguruskan apa-apa urusan bersama-sama.

Antara sikap yang dimiliki oleh mereka yang berdikari adalah :

  • bangun pagi tanpa perlu dikejut
  • urus pakaian sendiri, basuh, sidai, angkat dan lipat
  • basuh pinggan dan cawan sendiri
  • Boleh menyediakan makanan ringkas seperti masak nasi, goreng telur atau ikan
Point utama adalah sikap berdikari di atas perlu dididik kepada anak tidak kira lelaki atau wanita. 

Kelebihan tambahan yang dapat membantu apabila memasuki dunia pekerjaan pula seperti :

  • mempunyai kemahiran menjahit, bercucuk tanam, memasak atau membuat kek serta menjahit bagi wanita
  • kemahiran bertukang, membaiki peralatan bagi lelaki 
  • mempunyai lesen untuk memandu kenderaan 

Buat permulaan, kita boleh mendidik anak-anak dengan menimbulkan minat anak untuk turut serta bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Sekiranya anak menawarkan diri untuk membantu, kita benarkan dengan cara memberi arahan yang mudah dan dalam pantauan ibubapa. Sekiranya kita halang, ditakuti ia akan membantutkan minatnya yang sedang dalam proses ingin belajar dan meneroka perkara baru.

Untuk anak yang masih kecil, kita boleh mulakan dengan contoh seperti berikut:

1) buang sampah dalam tong sampah
2) campak baju kotor dalam bakul
3) letak duit syiling dalam tabung
4) membantu mengangkat barang yang ringan
5) letak pinggan/cawan kotor dalam sink
6) basuh tangan sebelum dan selepas makan

Alhamdulillah, dari pengalaman saya sendiri, saya dapat lihat beberapa perkembangan anak saya yang berumur hampir 2 tahun. Antaranya :

1) apabila ada sampah, dia akan pergi ke tong sampah untuk membuangnya
2) apabila baju dan seluarnya ditanggalkan sebelum mandi, dia akan mengambilnya dan mencampakkannya ke dalam bakul baju kotor
3) jika terjumpa syiling, dia akan mengambilnya dan meminta untuk memasukkan ke dalam tabung
4) setiap kali balik dari beli barang keperluan, dia akan turut sama ingin membantu mengambil plastik untuk dibawa masuk ke dalam rumah
5) baju yang dimasukkan dalam bakul, dia akan tolong tolak masuk ke bilik

Dia juga sudah mula suka mengikut apa yang saya lakukan. Jika ada makanan yang tumpah, dia akan turut sama mengutip, ambil kain untuk lap dan juga ambil penyapu untuk sapu. Apa yang saya lakukan adalah memberinya peluang untuk melakukannya untuk sementara, mengajarnya cara yang betul, memberi galakan semasa dia melakukannya, memberi pujian jika dia dapat melakukannya, kemudian baru lah saya selesaikan sehingga sempurna.

Reaksinya apabila diberi peluang untuk mencuba untuk melakukan sesuatu sudah pasti rasa teruja. Apabila dipuji, dia akan tersenyum gembira. Saya dapat lihat peningkatan dalam perkembangannya dari masa ke semasa setiap kali ianya dilakukan walaupun melakukan aktiviti yang sama. Saya berpendapat ia juga merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan tahap keyakinan diri untuk anak.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Moga beroleh manfaat.

Monday, 25 May 2015

Entri 35 : Etika Yang Perlu Dipatuhi Semasa Menonton TV

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Entri ringkas kali ini mengenai beberapa perkara yang boleh diambilkira ketika melakukan aktiviti menonton tv. Antaranya:

1) Suasana terang yang mencukupi

Ada segelintir mereka yang gemar menonton tv dalam keadaan gelap. Terdapat berbagai tujuan mengapa ia dilakukan, antaranya ialah bagi mendapatkan fokus cahaya yang lebih, malas membuka lampu atau menjimatkan elektrik. Walaubagaimanapaun tindakan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan masalah rabun pada mata. Selain itu, ia juga dapat menimbulkan masalah silau kepada mata yang mengakibatkan mata menjadi sangat sensitif kepada cahaya terang. Oleh itu, pastikan kita berada di tempat yang terang atau membuka lampu pada waktu malam bagi melakukan aktiviti ini.

2) Melihat dalam jarak yang dibenarkan

Kadangkala anak-anak kecil gemar menonton tv dalam jarak yang dekat. Mungkin mereka berasa teruja ketika melihat rancangan kegemaran atau jarak penglihatan mereka kurang dari orang dewasa. Walaubagaimanapun, ibubapa digalakkan mendidik anak semenjak dari kecil bagi mengelakkan anak mengalami rabun mata di awal usia dan terpaksa menggunakan kacamata pada usia yang masih muda. Kita perlu memantau dan menasihatkannya untuk mengelakkannya dari menjadi tabiat sehingga dewasa.

3) Posisi yang betul

Posisi sebaiknya adalah duduk tegak dan bersandar dalam keadaan selesa. Berada dalam posisi yang tidak betul dalam masa yang lama boleh mengakibatkan sakit belakang dan memberi kesan jangka masa panjang dari sudut kesihatan. Selain itu, posisi berbaring juga boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi malas untuk bangun dan menyebabkan tempoh menonton tv menjadi lebih lama.

4) Tidak menonton TV sambil makan

Tabiat menonton tv sambil makan boleh mengakibatkan seseorang terdedah kepada risiko obesiti tanpa disedari. Ini kerana tabiat ini akan menyebabkan seseorang itu terus menyuap dan mengunyah makanan tanpa menyedari kuantiti yang diambil. Keasyikan menonton tv dapat mengalih perhatian seseorang dari menumpukan perhatian pada aktiviti makan yang sihat. Ini boleh menyebabkan berlakunya kunyahan yang tidak sempurna yang boleh mengakibatkan seseorang tersedak atau makanan tidak dihadam sepenuhnya.

5) Tidak terlalu lama

Setiap aktiviti yang tidak melibatkan gerakan anggota dalam masa yang lama adalah tidak baik untuk kesihatan. Apabila berada dalam keadaan duduk, kita digalakkan untuk bangun berjalan sekurangnya setiap setengah jam bagi memastikan aliran darah berjalan dengan lancar. Kita juga perlu untuk mengalihkan perhatian mata pada tempat lain bagi tujuan mengurangkan daya tumpuan mata pada sesuatu tempat yang sama dalam tempoh yang lama. Ini bagi memberi peluang kepada otot-otot mata berehat dan tidak mengalami tekanan berlebihan. Selain itu, kita juga perlu berdisiplin supaya hanya menonton tv untuk rancangan yang bermanfaat dan tidak menjadikan aktiviti menonton tv ini sekadar tabiat untuk menghabiskan masa lapang.

Sekian dahulu perkongsian. Moga bermanfaat.




Entri 34 : Cabaran Mendidik Anak - Menonton Rancangan TV Dengan Pantauan Ibubapa

Teks : Nuraida Mohd Hadith
Foto : Google



Assalamualaikum w.b.t.

Salah satu dari cara yang sering digunakan oleh ibubapa untuk mengalih perhatian anak supaya ibubapa dapat menyelesaikan kerja tanpa diganggu adalah dengan memberikan anak menonton rancangan di kaca tv.

Tapi bagi ibubapa yang prihatin, pasti terbit rasa kurang senang untuk melepaskan anak menonton begitu sahaja.

Ini kerana, sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak rancangan hiburan yang sudah tidak sesuai lagi ditonton walaupun ia berbentuk animasi kartun.

Antara sebab mengapa rancangan ini perlu dielakkan adalah untuk melatih anak berfikir secara kritikal dan mengelakkan anak dari terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat.

Kita boleh benarkan anak menonton dengan pantauan. Antara rancangan yang perlu dielakkan adalah yang mempunyai tema seperti berikut :

1) Cinta/Ghairah/Lucah

Ini bagi mengelakkan anak dari terpengaruh dengan adegan peluk/cium, kata-kata yang melalaikan dan aksi yang boleh menimbulkan ransangan yang tidak sepatutnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah apabila berlaku situasi di mana adegan-adegan tersebut sedang ditayangkan, ibubapa boleh memberitahu anak agar memalingkan muka, pesan agar jangan tengok kerana tak elok atau memberi kritikan seperti tak senonoh dan sebagainya. Ia sesuai dipraktikkan semenjak anak masih kecil lagi.

2) Mistik/seram

Ia perlu dielakkan supaya anak tidak menjadi seorang yang terlalu penakut tidak bertempat dan juga terlalu mempercayai kepercayaan yang boleh menjejaskan akidah.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah dengan mengingatkan anak bahawa kita hanya perlu takut pada Allah s.w.t. dan bukan sesama makhluk. Selain itu, boleh ajarkan anak doa sebagai pendinding diri agar anak lebih berkeyakinan diri.

3) Fantasi

Cerita yang bertemakan fantasi sememangnya menimbulkan perasaan seronok di hati anak-anak. Menonton secara berpada mungkin tidak mengapa, tetapi seeloknya dipantau supaya tidak menjadi fanatik.

Alternatifnya ibubapa boleh memilih rancangan yang bertemakan kisah realiti dan mempunyai contoh tauladan yang baik seperti kisah para rasul, sahabat nabi, dan juga kisah tokoh yang berjaya supaya dapat menjadi inspirasi buat anak.

4) Ganas

Jangan tak percaya. Siri kartun yang berwajah comel juga mempunyai adegan ganas seperti memotong leher sehingga kepala terputus dan darah memancut. Selain itu, aksi kurang sopan seperti menunjuk punggung dan berbogel boleh ditonton hanya dari rancangan kartun di kaca tv. Begitulah dekatnya pengaruh ini dengan anak kita. Itu belum lagi gaya dan bahasa percakapan yang didengar dari dialog. Contohnya seperti perkataan 'tak guna', 'bodoh', 'aku bunuh kau'.

Kadang-kadang beristighfar sendiri saya melihat rancangan yang ditayangkan untuk kanak-kanak. Apatah lagi apabila terdengar sendiri perkataan itu keluar dari mulut kanak-kanak yang masih pelat lagi berkata-kata. Sebutan sahaja belum betul, jumlah perkataan yang boleh disebut masih terhad. Tetapi sudah pandai menyebut perkataan kurang elok.

Itulah antara cabaran mendidik anak pada zaman kini. Perlu pantauan dari ibubapa. Apa yang diharapkan ialah agar anak dapat membesar dengan didikan yang melatihnya berfikir secara matang, bersifat realiti, berfikiran jauh dan masih mengamalkan budi bahasa yang sopan.

Mungkin dalam keadaan tertentu, ibubapa boleh menggunakan kuasa untuk menukar ke rancangan televisyen lain dan memegang remote semasa proses pantauan.

Semoga kita semua berjaya merealisasikannya.



Friday, 22 May 2015

Entri 33 : Berlapang Dada Di Majlis Perkahwinan (Bahagian 2)

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Saya percaya, setiap pasangan pengantin dan tuan rumah, sudah pasti menginginkan yang terbaik supaya majlis berjalan dengan lancar.

Saya pernah mempunyai pengalaman terlibat dalam majlis yang berada di dewan dan juga di rumah. Menggunakan kidmat rewang dan juga katering. Setiap pilihan pasti mempunyai pro dan kontranya masing-masing.

Di sini saya kongsikan hasil analisa saya mengapa pilihan ini dibuat.

Majlis 1 : Di dewan 

Kelebihan
  • Mempunyai kawasan meletak kereta yang lebih luas
  • Tidak perlu mengemas dan mengalih barang di rumah
  • Tiada risiko kehilangan barang di rumah
  • Pelamin dan meja beradab di tempat yang sama
Kekurangan
  • Masa yang terhad. Lazimnya makanan dan meja dikemas lebih awal bagi tujuan mengosongkan dewan
  • Biasanya lebihan makanan atau minuman tidak boleh dibawa balik oleh tuan rumah
  • Sekiranya berlaku kerosakan, mungkin perlu dibayar gantirugi
  • Perlu pengurusan yang lebih teliti supaya majlis berjalan lancar tanpa ada barang yang tertinggal
Tip Jimat :
  • Menggunakan dewan yang masih belum dibuka secara rasmi, caj lebih murah
  • Mengambil pakej yang disediakan bersama dewan
  • Membuat tempahan awal
  • Mengkaji harga bagi mendapatkan caj paling murah 
 Sesuai untuk :
  • Mereka yang mempunyai kawasan rumah yang sempit
  • Kawasan penempatan yang padat dan boleh mengakibatkan kesesakan
  • Pasangan yang merancang untuk menjemput tetamu bagi pihak lelaki dan perempuan dalam 1 majlis yang sama
  • Mereka yang suka pada privasi 

Majlis 2 : Di Rumah

Kelebihan
  • Mempunyai nilai sentimental yang tinggi. Pastinya kenangan yang istimewa.
  • Tidak perlu pergi ke tempat lain
  • Masa yang lebih fleksibel untuk mengemas dan bersembang
  • Jimat kos menyewa tempat
Kekurangan
  • Tempat yang sempit mungkin berlaku kesesakan dan tidak cukup tempat untuk tetamu
  • Tempat meletak kereta yang terhad dan mungkin tetamu perlu berhenti jauh
  • Tuan rumah perlu lebih berhati-hati untuk elak berlaku kes kecurian
  • Melibatkan masa dan tenaga yang lebih untuk siap mengemas selepas majlis
Tip Jimat
  • Rumah yang mempunyai ruang meletak kereta berbumbung yang luas dapat mengurangkan penggunaan khemah semasa majlis perkahwinan
  • Menggunakan khidmat bantuan dari jiran tetangga untuk kerja rewang
  • Membuat pelaburan untuk membeli speaker bersaiz besar yang mempunyai fungsi bluetooth. Hanya perlu memuatturun lagu yang ingin diperdengarkan dan dipasang pada majlis. Boleh jimat kos DJ dan sistem PA
Sesuai untuk : 
  • Mereka yang mempunyai saudara mara yang tinggal berdekatan dan jiran yang terdiri dari mereka yang mempunyai waktu kerja yang fleksibel
  • Mensasarkan bajet yang rendah dan majlis kecil-kecilan
  • Ingin mengabadikan kenangan di rumah
  • Mempunyai lokasi yang sesuai dan tidak menyebabkan kesesakan

     Majlis 3 : Khidmat Katering

    Kelebihan
    • Tidak perlu menyediakan peralatan memasak, semua diuruskan oleh katering
    • Terdapat pelayan yang menguruskan makanan dan minuman dan mengemas meja
    • Memberi peluang saudara mara yang datang dari jauh untuk meluangkan masa sepenuhnya untuk bersembang dan menikmati juadah
    • Tuan rumah lebih fleksibel untuk melayan tetamu
    • Pelbagai pilihan makanan, minuman dan pencuci mulut
    • Servis professional menghasilkan kualiti masakan yang sedap, berkualiti dan hiasan yang menarik
    Kekurangan
    • Belanja yang agak tinggi
    Tip Jimat : 
    • Menggunakan khidmat katerer yang dikenali berulang kali, boleh dapat diskaun
    • Memilih dalam bentuk pakej
    Sesuai Untuk :
    • Mereka yang bekerja dan mempunyai masa yang terhad untuk memasak sendiri
    • Mereka yang tidak mempunyai peralatan dan kemahiran yang cukup untuk memasak dalam kuantiti yang besar
    • Melibatkan saudara mara yang duduk berjauhan, memerlukan pembantu untuk membuat persiapan ketika majlis berlangsung

    Majlis 4 : Khidmat rewang/kendarat

    Kelebihan
    • Mengeratkan silaturrahim sesama jiran dan sanak saudara
    • Melatih sikap kerjasama dan saling membantu antara ahli keluarga
    • Menambah kemahiran dalam bidang pengurusan majlis dan bisnes makanan
    Kekurangan
    • Bajet yang kurang kadangkala menyebabkan kualiti masakan kurang memuaskan
    • Kadangkala berlaku keracunan makanan akibat kurang dari segi penjagaan kebersihan
    • Terlalu ramai pihak yang terlibat menyebabkan berlaku masalah kehilangan peralatan masakan
    • Terdapat segelintir ahli kendarat yang memberikan imej kurang baik kepada tetamu dengan banyak berbual kosong dan melepak
    Tip Jimat : 
    • Menggunakan peralatan memasak sendiri
    • Membeli dan menyembelih sendiri daging untuk dimasak
    • Membeli bahan-bahan masakan dan memasak sendiri 
    • Menggunakan khidmat rewang atau kendarat yang disediakan oleh AJK kampung atau masjid
    Sesuai untuk : 
    • Jiran yang terdiri dari ahli keluarga terdekat, surirumah
    • Mempunyai ahli keluarga yang mengusahakan ternakan lembu dan kambing, mempunyai sijil untuk menyembelih binatang ternak
    • Mempunyai peralatan yang cukup seperti periuk bersaiz besar, lori dan van untuk membawa peralatan, pisau khas untuk memotong
    • Kawasan rumah yang luas untuk sama-sama melakukan aktiviti rewang
    • Tinggal berdekatan dan tidak melibatkan ramai saudara yang tinggal berjauhan
    • Kemahiran yang cukup, ahli yang memang berkecimpung dalam bidang masakan untuk majlis perkahwinan

    Setiap majlis dan setiap keluarga mempunyai latarbelakang yang berbeza. Saya senaraikan 'sesuai untuk' bagi membuka minda kita supaya bersikap lebih terbuka dalam melihat sesuatu situasi. Ini kerana ia sebenarnya bergantung pada keadaan dan kemampuan masing-masing.

    Mari kita berlapang dada di majlis perkahwinan. Hormati pemilihan yang dibuat oleh tuan rumah. Cukuplah mendoakan yang terbaik buat pasangan dan ahli keluarganya.

    Monday, 18 May 2015

    Entri 31 : Menemani Anak Bermain Di Luar

    Teks dan Foto : Nuraida Mohd Harith

    Assalamualaikum w.b.t.

    Pada hari Jumaat lepas, saya dan anak berpeluang mengikut suami pergi berjumpa dengan seorang kenalan. Kenalan tersebut berminat untuk mendapatkan sebutharga bagi membuat kerja-kerja membaikpulih rumah.

    Sesampainya di sebuah kawasan, suami memberhentikan kereta. Kawasan tersebut mempunyai ruang yang kecil di antara sebuah rumah ke sebuah rumah lain. Oleh kerana rumah yang ingin dilihat terletak agak jauh juga ke dalam, saya mengambil keputusan untuk hanya menunggu di dalam kereta bersama anak.

    Peluang yang ada saya gunakan untuk memerhatikan keadaan sekeliling. 

    Saya tersenyum tatkala terpandang di suatu sudut. Dalam hati saya berkata sendiri 'Pasti pemilik rumah ini mempunyai anak kecil sebaya Afi. Ni antara aktiviti yang Afi juga suka lakukan pada waktu petang'.


    Kelihatan beberapa permainan lori kecil dan bulldozer di kawasan tanah. Terdapat juga kawasan tanah yang berlubang kerana dikorek. Selain itu, balang kosong dan cerek air yang mungkin juga digunakan semasa aktiviti permainan dijalankan.

    Ada ibubapa yang berasa risau atau takut memberi peluang kepada anak untuk bermain seperti ini. Terdapat banyak sebab, antaranya kerana risau anak terdedah kepada kotor dan kuman.

    Tapi saya percaya, pengalaman bermain seperti ini adalah amat baik untuk perkembangan anak. Inilah masanya mereka belajar meneroka dengan keadaan sekeliling. Anda akan dapat lihat mereka begitu teruja ketika dapat merasa pasir atau tanah, belajar memasukkan batu ke dalam baldi, belajar mengangkat pasir menggunakan serkup ke dalam lori dan sebagainya.

    Jika ibubapa berasa risau, inilah masanya anda boleh memperuntukkan masa untuk bermain bersama anak-anak. Layankan sahaja dan perhatikan agar tiada sebarang perkara yang yang boleh mendatangkan bahaya berlaku. Selain itu, anda boleh pastikan anak sentiasa memakai selipar dan membasuh tangan setiap kali selepas bermain.

    Selain itu, anda hanya perlu perhatikan dan nikmati saat-saat indah melihat perkembangan anak anda di depan mata sendiri.

    Kadangkala kita tidak perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk membeli permainan yang mahal-mahal untuk anak. Cukup sekadar kita memberikan perhatian dan menemani mereka ketika bermain. Pasti mereka berasa sangat gembira.

    Saya dapat rasakan keadaan ini. Walau bagaimana khusyuk Afi ketika bermain, sesekali dia akan menjengah dan memandang ke arah saya. Apabila terlihat saya sedang memandangnya, dia pasti akan tersenyum dan kemudian meneruskan aktivitinya.

    Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini.

    Monday, 11 May 2015

    Entri 25 : Tip Menyusu Bayi Dengan Lebih Selesa Bagi Ibu Baru

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google

    Assalamualaikum w.b.t.

    Antara cabaran yang perlu dilalui bagi ibu yang baru pertama kali mempunyai anak adalah ketika menyusukan bayi. Kurang ilmu, tiada pengalaman dan keadaan bayi baru lahir yang kerap ingin disusui dalam tempoh yang lama seringkali menimbulkan rasa tidak selesa buat si ibu dan menyebabkan ibu mengalami masalah keletihan.

    Berikut beberapa tip yang boleh dicuba oleh ibu baru agar dapat menyusukan bayi dalam keadaan yang lebih selesa dan kurang letih.

    1) Posisi berbaring



    Posisi ini dapat membantu ibu untuk menyusukan bayi sambil berehat. Ini kerana ibu tidak perlu bangun dan duduk dalam tempoh yang lama semata-mata untuk menyusukan bayi. Posisi ini juga membantu bayi untuk tidur lebih lena kerana sebaik sahaja bayi tertidur, ibu tidak perlu mengubah kedudukan bayi atau menggerakkan bayi dengan lebih kerap. Walaubagaimanapun, ibu perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan posisi berbaring yang selamat untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Pastikan pernafasan bayi tidak terhalang ketika melakukan posisi ini.

    2) Bantal menyusu atau 'Nursing pillow'


    Penggunaan bantal menyusu bertindak sebagai penyokong bagi membantu ibu meletakkan bayi dalam kedudukan yang lebih rapat dan mudah disusui. Selain itu, ia juga membantu bayi berbaring dalam keadaan yang lebih selesa kerana kepala bayi dapat disokong menggunakan bantal yang lembut.

    3) Bergendong atau 'Babywearing'


    Terdapat beberapa jenis alat gendongan yang juga mesra penyusuan. Ibu dapat menggendong bayi dan dalam masa yang sama, menyusukan bayi. Ia sangat membantu terutama apabila ibu perlu menyusukan bayi dan dalam masa yang sama, membuat kerja-kerja rumah. Selain menjimatkan masa, ia juga mencipta suasana selesa buat si kecil yang sangat suka jika dapat berada berhampiran dengan ibu. Oleh itu ia juga membantu bayi untuk tidur dalam tempoh yang lebih lama.

    4) Baju Menyusu atau 'Nursing'


    Baju menyusu adalah baju yang direka khas mempunyai bukaan di bahagian dada untuk memudahkan ibu menyusukan bayi. Terdapat beberapa jenis baju menyusu yang boleh didapati pada masa kini. Antaranya bukaan zip, butang dan juga bukaan selak yang mempunyai lapisan kain yang bertindak sebagai pelindung. Baju mesra penyusuan ini akan membantu ibu untuk lebih fleksibel ketika menyusukan bayi pada bila-bila masa dan di mana jua.

    Untuk mendapatkan pilihan baju menyusu dengan harga mampu milik, boleh hubungi:

    Nuraida
    sms/whatsapp : 012-7960804


    Sekian perkongsian untuk kali ini. Diharap tip yang diberi dapat membantu ibu baru menyusukan bayi mereka dengan lebih selesa.

    Saturday, 9 May 2015

    Entri 24 : Tip Suami Bantu Isteri Kekal Cantik Menawan Walau Setelah Mempunyai Anak

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google


    Assalamualaikum w.b.t.

    Ramai suami yang mengeluh apabila isteri mereka sudah tidak kelihatan menawan seperti semasa awal-awal perkenalan. Wajah kelihatan lesu, bentuk badan yang semakin mengembang dan juga kulit yang kurang gebu. Itu antara perubahan yang sering berlaku kepada isteri selepas melahirkan anak.

    Jadi apa penyelesaiannya? Keluhan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa kata cuba tip di bawah ni. Salah satu tanggungjawab suami kan menjaga isteri. Mari kita lihat apa antara peranan yang boleh di ambil oleh suami bagi membantu isteri kekal cantik menawan walau setelah mempunyai anak.

    1) Bekerjasama dalam menguruskan urusan rumahtangga dan menjaga anak

    Ni antara tip paling penting.

    Kebanyakan isteri dipersalahkan kerana dikatakan tidak mahu menjaga penampilan setelah berkahwin dan mempunyai anak. Tetapi realiti yang berlaku sebenarnya ialah, mereka terlalu sibuk menguruskan urusan rumahtangga dan anak sehingga tidak mempunyai masa rehat dan tidur yang cukup. Kesannya wajah isteri kelihatan kusam tidak bermaya kerana keletihan.

    Apabila suami sama-sama menguruskan rumahtangga dan anak, ini memberi peluang untuk isteri mendapatkan rehat dan tidur yang cukup. InshaAllah pasti isteri akan lebih segar dan bersemangat setiap hari.

    2) Peruntukan wang khas untuk penjagaan kecantikan isteri

    Suami yang benar-benar ingin isterinya tampil sentiasa cantik menawan boleh menyediakan peruntukan khas untuk isteri bagi tujuan ini. Peruntukan ini boleh digunakan isteri untuk memanjakan diri dan menjaga penampilan seperti membuat rawatan 'facial', urutan dan spa, pergi ke 'gym', beli supplemen kesihatan, mengamalkan petua-petua kecantikan dan sebagainya.

    Bagi suami yang berkemampuan, mungkin boleh menyediakan peruntukan ini setiap bulan. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan, apa salahnya sesekali buat kejutan dengan belanja isteri pergi buat rawatan spa atau aromaterapi, pasti isteri berasa sangat gembira.

    3) Memberi sokongan

    Isteri adalah cerminan bagi suami dan begitu juga sebaliknya. Suami yang ingin isterinya kekal cantik menawan boleh bertindak sebagai perunding imej isteri.

    Berikan komen-komen yang membina buat isteri anda. Belikan baju yang sesuai dan padan dengan isteri anda dan menepati pandangan mata anda. Belikan peralatan kosmetik yang sesuai, pakaian, minyak wangi supaya isteri anda dapat menjaga penampilan dan sentiasa kelihatan menarik di depan anda.

    4) Menjaga emosi

    Suami yang pandai mengambil hati isteri dengan bersikap romantik, pandai berjenaka dan membuat isteri terhibur lazimnya mempunyai isteri yang kelihatan cantik dan berseri-seri. Ini kerana perasaan terhibur dapat merembeskan hormon yang boleh membuat jiwa merasa tenang, teruja dan ceria. Bukan itu sahaja, ia juga baik untuk kesihatan isteri.

    Jangan biarkan isteri merasa kesunyian. Suami juga boleh meluangkan masa membawa isteri beriadah pada hujung minggu. Riadah dapat meningkatkan mood isteri sekaligus membangkitkan semangat isteri yang keletihan dan kebosanan apabila sentiasa terperap di rumah.

    5) Menghargai isteri 

    Ucapkan terima kasih. Belikan buku-buku motivasi, hantar isteri untuk menghadiri kelas-kelas atau seminar untuk menambahkan ilmu seperti kelas bisnes, kelas masakan, kelas jahitan dan sebagainya. Pasti isteri berasa lebih dihargai oleh suami.

    Pastikan segala keperluan isteri terjaga seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan. Jaga isteri sebaiknya ketika isteri mengandung, melahirkan dan berpantang. Aset paling berharga bagi seorang wanita adalah rahimnya. Carikan tukang urut terbaik yang dapat mengembalikan kesegaran isteri semasa berpantang. Pastikan isteri mendapat rehat dan rawatan yang secukupnya semasa berpantang agar kesihatannya kembali pulih. Apabila kesihatan wanita itu terjaga, inshaAllah dia akan dapat mengekalkan kecantikannya dan terus tampil menawan.

    6) Ubah pandangan suami

    Apa yang paling penting adalah penerimaan suami terhadap isterinya. Perubahan fizikal kadangkala memang tidak dapat dielakkan. Tetapi suami yang baik akan menyedari tentang suatu hakikat iaitu kecantikan yang kekal adalah yang datang dari hati dan dalaman seorang isteri.

    Usap dan renunglah wajah isteri dengan pandangan penuh kasih sayang. Doakan isteri setiap kali lepas solat. Berdoa lah juga moga pandangan suami dipelihara agar sentiasa nampak kecantikan isteri yang sudah halal untuknya serta dipelihara dari pandangan tipu daya nafsu dan perhiasan dunia.

    Sekian sahaja perkongsian untuk kali ini.


    Wednesday, 6 May 2015

    Entri 21 : Kebaikan Tinggal Bersama Mertua - Bahagian 1

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google


    Assalamualaikum w.b.t.

    Point utama saya untuk entri kali ini adalah mengajak mereka yang tinggal bersama mertua untuk berfikiran positif dan bersangka baik, inshaAllah hati akan menjadi lebih tenang. :)

    Ok analisa ni berdasarkan pengalaman saya sendiri. Lain orang mungkin lain pengalamannya. Biasanya kita akan dihidangkan dengan pelbagai cerita yang agak negatif dan menimbulkan rasa kurang senang.

    Kali ini saya ingin mengajak anda melihat dari perspektif berbeza. Bagi menyemarakkan lagi aura positif, jom kita lihat antara kebaikan yang boleh diperolehi apabila tinggal bersama mertua.

    Menambah baik kemahiran sedia ada

    Setiap keluarga mempunyai cara didikan dan pendekatan yang berbeza. Jika diamati, pasti akan ada kelebihan dari suatu sudut dan kekurangan dari suatu sudut bagi setiap keluarga. Jadi kita harus bijak mengambil peluang belajar apa sahaja yang boleh meningkatkan kemahiran kita. Bagi saya, salah satu kemahiran yang dapat dipelajari secara terus dari mertua adalah kemahiran memasak dan menyediakan makanan dengan lebih cekap dan pantas. Antara faktor yang memainkan peranan penting ialah:

    1) Ciri dapur:
    • Mempunyai ruang yang luas, lapang di laluan tengah, sesuai untuk berkumpul membuat kerja rewang dan juga mudah untuk berulang alik jika perlu mengambil barang
    • Bahan utama yang sering digunakan sebagai perasa masakan seperti garam, gula, kunyit ditempatkan berhampiran dengan tempat memasak supaya mudah dicapai semasa memasak
    • Tong gas diletakkan di bahagian lain, agak jauh sedikit, bukan di bawah dapur gas bagi tujuan keselamatan
    • Kawasan meja yang lapang khas untuk proses memotong, kurangkan barang seminima mungkin di atas meja
    • Memiliki pemanggang ajaib sangat memudahkan untuk proses memanggang
    • Memiliki periuk kaca tahan panas yang boleh digunakan untuk memasak dan makanan terus boleh dihidang
    • Mempunyai pelbagai peralatan yang disesuaikan mengikut fungsi tertentu. Contohnya: Kuali kecil tebal dan anti-lekat untuk menggoreng ikan/ayam, kuali kecil nipis untuk menggoreng keropok, kuali sederhana tebal bersaiz besar untuk menggoreng nasi goreng dan mee goreng

    2) Kemahiran sikap
    • 'Multitask' membolehkan banyak perkara disiapkan dalam masa yang singkat
    • Teknik memotong sayur seperti timun dan lobak menjadi potongan halus yang mudah dan menjimatkan masa tanpa menggunakan parut
    • Teknik menggoreng ikan atau ayam dalam minyak yang belum panas tapi ikan/ayam tidak melekat di kuali ketika menggoreng
    • Teknik mengenalpasti susunan memasukkan bahan mengikut keutamaan, supaya rasa masakan lebih sedap
    • Merebus sayur atau ikan menggunakan air yang sedikit supaya cepat masak
    • Peka terhadap peralatan terkini yang memudahkan aktiviti di dapur seperti bekas 'tupperware' yang mempunyai sistem pengaliran udara supaya kesegaran sayur tahan lebih lama

    Ketelitiannya di dapur memberikan beberapa kelebihan seperti :
    • Proses memasak menjadi sangat cepat dan mudah
    • Dapur sentiasa kemas dan bersistematik
    • Rasa yang dihasilkan dalam sesuatu masakan juga lebih sedap dan khasiatnya terpelihara

    Kemahiran ini amat berguna apabila diaplikasikan di dapur sendiri nanti. :)

    Itu di antara kemahiran yang saya sempat senaraikan di sini. InshaAllah jika ada lagi, saya akan kemaskinikan.


    Kebaikan lain, saya akan cuba kongsikan pada entri bahagian kedua, InshaAllah.



    Saturday, 2 May 2015

    Entri 17 : Hadiah Terbaik Dari Suami Buat Isteri - Menjaga Isteri Dalam 3 Waktu

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google



    Assalamualaikum.

    Apa agaknya hadiah terbaik dari sang suami buat isteri tercinta.

    Percayalah. Majoriti para isteri akan bersetuju dengan pernyataan ini.

    Hadiah terbaik yang diharapkan oleh isteri tidak memerlukan wang yang banyak, jauh sekali dari harta kemewahan yang melimpah ruah.

    Apa yang diharapkan hanyalah kasih sayang dan perhatian dari suami selaku orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaganya sebaik mungkin sebaik sahaja akad nikah dilafazkan.

    Jika benar sayang, buktikan dengan memberikan sepenuh perhatian dan berkorban menjaganya sepenuh hati ketika dia berada dalam saat-saat genting dan paling penting dalam hidupnya.

    3 waktu itu ialah ketika isteri mengandung, melahirkan anak dan ketika dalam pantang. Ini kerana pada 3 waktu inilah isteri berada dalam keadaan sangat lemah, tidak berdaya, kesakitan, keletihan dan pelbagai lagi cabaran dan dugaan. Ketika inilah isteri sangat memerlukan bantuan dan sokongan suami untuk bangkit semula.

    Bukan mudah untuk melakukannya. Ia menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi untuk merealisasikannya. Ia merupakan hadiah terbaik kerana tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

    Bagaimana untuk merealisasikan ia sebagai hadiah terbaik. Saya senaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh suami yang pasti akan membuatkan isteri anda berasa sangat bertuah memiliki anda sebagai suami.

    Ketika Mengandung
    • Sentiasa bersedia membantu isteri supaya isteri tidak perlu melakukan kerja berat yang boleh membahayakan diri dan kandungan seperti mengangkat barang berat, memanjat 
    • Mengurut isteri jika isteri letih
    • Menyediakan keperluan bagi keselesaan isteri seperti pakaian khas untuk ibu hamil, bantal untuk keselesaan posisi tidur
    • Menyediakan makanan dan minuman berkhasiat dan peka kepada selera isteri terutama ketika alahan semasa mengandung
    • Mengusap perut isteri dan mendoakan isteri agar dipermudahkan semasa bersalin
    • Tidak mudah merungut atau bercakap kasar dengan isteri
    • Menjadi pendengar setia, mendengar luahan isteri dengan penuh perhatian
    • Membawa isteri berjalan-jalan, beriadah supaya dapat menenangkan fikiran
    • Sama-sama merancang dan menyediakan keperluan untuk persediaan menyambut kelahiran

    Ketika melahirkan anak
    • Mencari hospital atau tempat bersalin yang terbaik untuk isteri
    • Menemani isteri ketika bersalin
    • Memberi kata-kata peransang ketika isteri bertarung nyawa melahirkan anak
    • Peka kepada keperluan isteri supaya isteri dapat bersalin dalam suasana tenang dan selamat

    Ketika menjalani proses berpantang
    • Sama-sama menjaga anak yang lebih besar, sanggup bangun malam untuk membuat susu atau menukar lampin anak, memandikan, memberi makan, menemani anak bermain
    • Berikan ruang kepada isteri untuk mendapat tidur dan rehat yang cukup
    • Melayani isteri dengan penuh sabar, mesra, memandang dengan pandangan penuh kasih sayang
    • Menyediakan air mandian rebusan daun-daun untuk isteri
    • Mencari tukang urut terbaik
    • Mencari menu berkhasiat dan memasak untuk isteri ketika berpantang
    • Sama-sama bangun malam untuk menjaga bayi yang baru dilahirkan
    • Berkorban mengambil cuti bekerja semata ingin menjaga isteri
    • Memberi sokongan sepenuhnya untuk penyusuan susu ibu
    • Pastikan isteri sentiasa dalam keadaan gembira dan selesa ketika berpantang

    Apa kebaikan yang akan diperolehi oleh suami apabila isteri mendapat hadiah terbaik ini?
    • Isteri yang dijaga dengan baik ketika 3 waktu genting ini akan kembali pulih dan sihat seperti asal dengan cepat. Isteri yang sihat akan kelihatan lebih awet muda dan berseri
    • Perasaan gembira akan menghiasi rumahtangga yang diuruskan oleh isteri yang ceria dan bahagia. Hasilnya urusan rumahtangga akan dapat diuruskan dengan lebih cekap
    • Hubungan suami isteri akan bertambah erat kerana berasa benar-benar dihargai
    • Isteri yang sihat dan bahagia akan menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dan penuh bersemangat untuk menjadi ibu yang hebat buat anak-anak

    Sekian dahulu perkongsian kali ini. Moga bermanfaat. :)

    Wednesday, 29 April 2015

    Entri 14 : Penjagaan Mesra Ibu Untuk Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google


     Assalamualaikum.


    Semasa saya membuat temujanji pemeriksaan untuk ibu mengandung di salah sebuah klinik kerajaan, saya telah diberikan taklimat dan dibekalkan sebuah pamplet berkenaan 'Panduan Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya'.

    Semasa menyelak info di setiap helaian, saya begitu tertarik dengan salah satu dari tajuk yang terkandung dalam pamplet tersebut. Ia adalah mengenai 'Amalan Kelahiran dan Penjagaan Mesra Ibu'.

    Jadi entri kali ini saya ingin kongsikan beberapa info yang saya perolehi berkaitan amalan yang dapat membantu seorang ibu memberi penyusuan awal sejurus selepas bersalin.

    1) Peneman sepanjang kelahiran

    Menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan. Majoriti hospital kerajaan mengehadkan hanya seorang peneman dibenarkan. Suami merupakan peneman yang terbaik bagi isteri. Antara kebaikan yang diperolehi :
    • Dapat membantu menguruskan isteri dari segi persiapan dari awal pendaftaran sehingga keluar hospital
    • Mengazan dan iqamah bayi yang dilahirkan
    • Menjaga aurat isteri
    • Supaya timbul keinsafan dan lebih menghargai isteri

    2) Makanan / Minuman Ringan

    Membenarkan ibu mengambil minuman atau makanan yang ringan jika ibu mahu semasa proses kelahiran (bagi ibu berisiko rendah).

    • Cadangan terbaik adalah buah kurma dan air zam zam. Kurma dapat membantu membekalkan tenaga dengan cepat dan mudah dihadam. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk proses tahnik bayi

    3) Kaedah penahan sakit bukan ubatan

    Menggalakkan ibu untuk memilih kaedah penahan sakit yang bukan ubatan melainkan jika diperlukan atau atas permintaan ibu tersebut

    • Alternatif bagi penahan sakit bukan ubatan ialah teknik pernafasan (hypnobirthing) dan urutan
    • Selain itu, peneman juga boleh memainkan peranan dengan memberikan sokongan kata-kata positif dan doa

    4) Bergerak aktif 

    Menggalakkan ibu berjalan dan bergerak sebelum melahirkan, jika mahu dan menggalakkan ibu untuk melahirkan mengikut posisi pilihan kecuali terdapat halangan perubatan yang boleh mengakibatkan komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu

    • Ibu yang bergerak aktif dengan berjalan dan bergerak sebelum melahirkan dapat membantu mempercepatkan bukaan rahim dan didapati mengalami proses kelahiran yang lebih mudah

    5) Elakkan campurtangan sewaktu kelahiran dan melahirkan

    Elakkan campurtangan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan bayi dan ibu mengantuk. Tidak menggunakan sebarang prosedur invasive seperti memecahkan selaput ketuban, episiotomi, peransang mempercepatkan kelahiran (induction of labour), pembedahan caesarean atau kelahiran secara bantuan peralatan, melainkan keadaan memerlukan untuk komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu.

    Pengeluaran oksitoksin boleh terganggu buat sementara dalam keadaan ibu mengalami kesakitan akibat jahitan kelahiran atau perasaan bimbang.

    Jadi bagaimana ia dapat dikaitkan dengan penyusuan susu ibu yang berjaya ya?
    Amalan-amalan ini dapat membantu seorang ibu untuk merasa berkebolehan, berkeyakinan, berkeupayaan menguasai diri, disokong dan bersedia untuk berinteraksi dengan bayi yang cergas.

    Apabila ibu berasa yakin, emosi ibu akan berasa lebih tenang. Perasaan tenang dan gembira dapat merangsang rembesan hormon positif seperti hormon prolaktin dan oksitoksin yang diperlukan untuk penghasilan susu ibu.

    Pengeluaran susu ibu seawal yang mungkin amat penting bagi meransang proses penghasilan dan pengaliran susu yang cepat dan berterusan.

    Sekian dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga bermanfaat.


    Tuesday, 28 April 2015

    Entri 13 : Bekalan Elektrik Terputus - 3 Peralatan Yang Membantu Anda

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Simpanan Peribadi

    Assalamualaikum sahabat semua.

    Bila berlaku kejadian bekalan elektrik terputus, situasi yang biasa akan berlaku adalah seperti di bawah ni.

    Situasi :

    Kita bergegas mencari lilin, mancis atau lighter. Cari bekas untuk letak lilin. Disebabkan keadaan gelap, tak jumpa barang yang dicari. Anak pula sibuk nak ikut kerana takut gelap. Anak kecil menangis kerana tak selesa. Kelam kabut dan stress. Selesai pasang lilin atau pelita, kita mencari tempat tinggi dan selamat supaya tak dapat dicapai oleh anak. Tempat pula perlu lapang dan jauh dari barang untuk elak dari api menyambar. Biasa tak dengan situasi ini?

    Tapi dengan adanya persediaan menggunakan 3 peralatan ni, InshaAllah ia dapat membantu memudahkan kita ketika menghadapi bekalan elektrik terputus.

    1) Lampu kecemasan




    Ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi dilakukan oleh setiap rumah bagi tujuan keselamatan. Ini kerana, apabila bekalan elektrik terputus, secara otomatik, lampu kecemasan ini akan menyala. Lokasi yang agak strategik untuk memasang lampu kecemasan ini adalah di bahagian hadapan rumah dan juga di bahagian dapur. Ini dapat membantu kita mencari pintu keluar dengan mudah, melihat keadaan dalam rumah atau mencari barang yang diperlukan.


    2) Kipas kecil menggunakan kuasa bateri




    Saya beli kipas ini di kedai Mr DIY. Ia berfungsi seperti kipas duduk cuma bersaiz lebih kecil. Mereka yang mempunyai anak kecil kebiasaannya menghadapi kesukaran untuk menidurkan anak ketika bekalan elektrik terputus. Suasana yang panas menyebabkan anak mudah berpeluh dan rasa tidak selesa. Saya hanya menggunakan kipas kecil ini untuk memberikan rasa sejuk ketika menidurkan anak. Ternyata ia berkesan. Kini dah tak lenguh lagi mengipas. Saiznya yang kecil juga memudahkannya untuk dibawa ke mana-mana.


    3) Lampu suluh/picit yang kecil




    Kebiasaannya ramai akan memilih lilin atau pelita untuk membekalkan cahaya ke sesuatu tempat. Tapi peralatan yang melibatkan penggunaan api agak berisiko untuk terjadinya kebakaran jika tidak diawasi atau berlaku kecuaian. Selain itu, ia juga mendatangkan rasa panas dan cepat habis digunakan. Saya lebih suka memilih lampu suluh bersaiz kecil yang menggunakan bateri sebagai alternatif. Hanya perlu tekan suis ketika hendak digunakan, dan tekan suis semula ketika selesai. Tidak membazir. Selain itu, ia juga tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana.

    Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Moga lepas ni, situasi kita akan lebih tenang ketika berlaku lagi kejadian elektrik terputus. Dah ada persediaan alternatif la katakan. InshaAllah.

    Selamat mencuba dan moga bermanfaat.

    Saturday, 25 April 2015

    Entri 10 : Tip Riadah Yang Berkesan

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Nuraida Mohd Harith



    Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

    Tajuk entri saya pada kali ini ialah tip riadah yang berkesan.

    Sebelum tu, mari kita semak maksud riadah. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud riadah boleh ditakrif kepada istilah seperti berikut:
    • Melakukan latihan gerak badan, senaman
    • Segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran
    • Amalan kerohanian untuk mengawal hawa nafsu
    • Berekreasi
    • Ia juga sinonim dengan rekreasi, senaman, sukan, olahraga, permainan, persantaian, hobi 
    Sumber : Carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)

    Riadah yang berkesan pula seharusnya berjaya mencapai matlamat utama mengapa tujuan sesuatu aktiviti itu dijalankan. Mari kita ikuti panduan yang boleh digunakan bagi mendapatkan riadah yang berkesan :

    1) Pilih tempat yang positif

    Tempat yang positif harus menepati ciri berikut:
    • Suasana yang tenang dan santai. Ini dapat menjamin ketenangan jiwa dan konsentrasi.
    • Tidak bercampur dengan maksiat. Dapat mengelakkan pengaruh kurang baik.
    • Membawa kebaikan. Yakin dengan manfaat yang akan diperolehi.

    2) Rancang aktiviti

    Riadah yang berkesan seharusnya mempunyai matlamat yang jelas. Ia bukan sekadar aktiviti suka-suka yang dilakukan tanpa ada tujuan. Antara ciri-ciri aktiviti yang penting adalah ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pastikan setiap ahli keluarga terlibat dan turut sama memainkan peranan.

    Contoh aktiviti yang digalakkan dan mempunyai kesan produktif yang tinggi:
    • Solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu. Bapa boleh menjadi imam dan menyampaikan tazkirah sebaik selesai solat. Ini dapat menunjukkan ciri kepimpinan seorang bapa
    • Bersukan atau senaman ringan. Ia dapat melatih sikap bekerjasama antara setiap ahli. Selain itu, aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan baik dari segi ransangan untuk kesihatan fizikal dan minda yang cerdas.
    • Berkelah. Aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga. Suasana berkumpul bersama-sama dapat mewujudkan situasi yang memberansangkan untuk ahli keluarga berbual dan bertukar pendapat. Ibu bapa juga dapat menggunakan masa ini untuk memberi nasihat dan menanamkan nilai-nilai murni kepada anak-anak dalam keadaan santai.
    • Bergotong-royong. Aktiviti ini sesuai dipraktikkan bagi menanam sikap saling tolong menolong dan berkhidmat pada masyarakat. 
    Contoh aktiviti yang kurang produktif:
    • Pergi ke tempat membeli belah untuk melepak
    • Bermain permainan video
    • Menonton televisyen 
    Aktiviti yang kurang produktif biasanya melibatkan pergerakan fizikal yang kurang aktif dan hanya melibatkan ransangan yang sangat minima. Selain itu ia lebih kepada hubungan sehala. Ia juga memerlukan pemantauan ibubapa bagi mengelakkan kewujudan pengaruh yang kurang sihat atau masalah ketagihan.
     

    3) Buat persediaan yang sesuai
    • Sediakan makanan dan minuman sebagai bekalan. Aktiviti menyediakan makanan bersama-sama pasti menarik minat anak-anak dan menimbulkan rasa teruja kepada anak-anak.
    • Memilih pakaian yang sesuai dengan aktiviti. Contohnya pakaian yang sesuai untuk mandi, bersukan dan sebagainya. Selain itu, pastikan pakaian menutup aurat dan menepati ciri-ciri keselamatan.

    4) Tumpukan perhatian

    Riadah yang berkesan dapat dicapai sekiranya manfaatnya diperolehi oleh setiap yang menyertainya.
    Elakkan dari membuat hal masing-masing ketika aktiviti riadah sedang dilakukan. Simpan semua telefon, permainan video, tab, mp3 atau apa-apa alat yang boleh mengganggu tumpuan ketika aktiviti riadah dijalankan.

    Riadah yang berkesan adalah penting bagi menjamin penggunaan masa yang berkualiti, tenaga yang digunakan mendatangkan manfaat dan wang yang digunakan ketika aktiviti riadah disalurkan ke arah yang positif.

    Moga riadah kita mendatangkan manfaat dan juga diterima sebagai salah satu ibadah.

    Sekian perkongsian untuk kali ini. Wassalam

    Friday, 24 April 2015

    Entri 9 : Tip Perjalanan Jauh Untuk Ibu Hamil

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google Image


    Assalamualaikum dan selamat pagi.

    Perjalanan jauh memang agak mencabar. Terutama jika melibatkan ibu hamil atau mempunyai anak kecil.Tapi dengan persediaan yang cukup, InshaAllah ianya akan berjalan dengan lancar.

    Kali ini saya ingin kongsikan beberapa persediaan yang boleh dibuat bagi ibu hamil sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Jom kita semak panduan berikut.

    1) Ruang duduk yang selesa

    Pastikan ibu mempunyai ruang yang selesa. Maksudnya tempat letak kaki yang cukup luas, tidak terlalu penuh dengan barang-barang dan posisi tempat bersandar yang selesa. Lebih baik lagi, sediakan satu kusyen atau bantal kecil, dan letak di belakang pinggang. Ia dapat membantu ibu rasa lebih selesa.

    2) Pakaian yang selesa

    Pastikan ibu memakai pakaian yang selesa. Kain yang menyerap peluh, tidak panas atau boleh menyebabkan gatal. Sebaiknya memakai kain labuh/jubah atau skirt berbanding seluar bagi memudahkan urusan pembuangan air di tandas awam.

    3) Sediakan makanan/minuman ringan sebagai bekalan 

    Lazimnya ibu hamil akan mudah terasa lapar. Bekalan ini dapat membantu kita untuk mengalas perut tanpa perlu berhenti dengan kerap. Pastikan ia adalah makanan kering dan mudah diurus supaya jika tertumpah, ia mudah dibersihkan. Antaranya seperti kurma, kismis, roti dan biskut.

    4) Air masak dan Supplemen

    Jangan lupa bawa ya. Letakkan ditempat yang mudah dicari dan dicapai.

    5) Sediakan 1 beg kecil untuk isi barang keperluan seperti berikut:
    • Plastik untuk persediaan jika ada alahan muntah
    • Pantiliner jika ada keputihan
    • Minyak angin atau kulit limau untuk kurangkan rasa mual
    • Tisu dan air dalam botol untuk tujuan bilasan

     6) Rancang tempat berhenti rehat

    Ini penting bagi memastikan masa untuk buang air, makan dan solat dapat dirancang sebaik-baiknya dan tidak berubah jauh dari rutin harian.

    7) Nombor telefon kecemasan

    Bagi ibu-ibu yang sedang memasuki fasa akhir kehamilan, anda dinasihatkan untuk bersiap sedia dengan segala barang kelengkapan untuk pergi ke hospital seperti beg ibu, beg bayi dan juga buku rekod kesihatan (buku pink). Selain itu, pastikan anda ada menyimpan nombor kecemasan untuk dihubungi jika berlaku sebarang perkara kecemasan.

    8) Berdoa

    Sebelum memulakan perjalanan, berdoa semoga perjalanan selamat dan lancar. Ini antara doa yang boleh diamalkan.



    Sekian dahulu untuk kali ini.

    Moga bermanfaat dan selamat membuat persediaan.

    Friday, 17 April 2015

    Entri 2 : Penyusuan Susu Ibu - 5 Sikap Suami Dambaan Isteri

    Teks : Nuraida Mohd Harith
    Foto : Google Image


    Salam ukhwah sahabat semua.

    Kali ini saya ingin berkongsi tentang 5 sikap suami yang dikenalpasti dapat membantu menjayakan penyusuan susu ibu. Jom kita kenali 5 sikap ini.

    1) Teruja dengan ilmu
    Sebut sahaja perkataan-perkataan berkaitan seperti 'hindmilk', 'foremilk', 'milkbooster' dan sebagainya. Semuanya dia ambil tahu. Kelas bimbingan pula, dia yang beriya mendaftarkan diri untuk pergi ke kelas dan mengajak kita bersama-sama menambah ilmu. Nombor pakar laktasi untuk dihubungi atau khidmat sokongan, ada dalam simpanannya. Dia juga tahu tuntutan menyusukan anak dengan susu ibu sehingga anak berumur 2 tahun terkandung dalam Al-Quran.

    2) Prihatin tentang keperluan ibu menyusu
    Dari pam untuk menyusu, baju menyusu sehinggalah 'nursing cover'. Dia lah yang tolong beli dan sediakan. Malah dia turut sama selidik dan banding, yang mana yang terbaik buat isteri. Dia tidak kekok kemana-mana untuk menemani isteri membuat pilihan yang terbaik. Tidak berkira untuk menyediakan peruntukan kerana dia tahu ia merupakan pelaburan yang amat berbaloi

    3) Penyokong No.1
    Jangan ada yang cuba merendahkan atau memandang remeh pada isteri. Dia akan cuba menjelaskan dengan tegas dan penuh hikmah akan kebaikan penyusuan susu ibu. Sehingga kerana kesungguhan dia menyokong penyusuan susu ibu ini, ramai ahli keluarga dan kawan-kawan turut sama mengikuti jejak langkah untuk memilih penyusuan susu ibu sebagai yang terbaik untuk keluarga

    4) Pendengar yang setia
    Bila-bila masa yang diperlukan, dia sedia menjadi pendengar setia bagi isteri. Apabila ada masalah, dia turut sama cuba memberi solusi yang terbaik. Apabila isteri rasa lemah semangat, kata-kata motivasi sentiasa menjadi penguat semangat isteri. Jika perlu, dia sanggup meluangkan masa menemani isteri menemui pakar bagi mendapatkan solusi yang terbaik. Pendek kata, isteri sentiasa berada dalam keadaan selesa dan dikelilingi aura positif

    5) Pembantu yang budiman
    Suami jenis ini tidak kisah mengambil alih tugas isteri apabila diperlukan. Baginya yang penting adalah isteri dapat menumpukan sepenuh perhatian dan berjaya dalam penyusuan. Dia akan pastikan keperluan isteri dapat dipenuhi, dan isteri mendapat rehat yang secukupnya.

    Jadi para suami dan bapa sekalian, cuba selidiki, ada tak sikap-sikap sebegini pada anda. Jika tidak dapat semua pun, apa kata anda cuba praktikkan semampu yang mungkin. Tidak rugi mencuba kerana akhirnya anda juga yang dapat menikmati kebaikan sekiranya isteri anda berjaya dalam misi ini. Sama-sama beruntung. Dan yang paling membahagiakan ialah apabila anak anda menjadi seorang yang sihat, bijak, baik budi pekerti dan rapat dengan keluarga. Selain menjimatkan, dialah aset kita yang amat berharga untuk membantu kita di akhirat nanti. Jadi pastikan kita usahakan yang terbaik untuk keluarga ok.

    Itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Moga memberi manfaat dan semoga berjaya.