Thursday, 28 May 2015

Entri 38 : Didik Anak Berdikari Semenjak Dari Kecil

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Berdikari yang dimaksudkan secara umum di sini ialah sikap tahu tanggungjawab, boleh lakukan kerja tanpa perlu disuruh, tidak bersikap lepas tangan serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Antara kelebihan mendidik anak berdikari semenjak dari kecil ialah anak akan lebih mudah belajar dan mempraktikkannya. Ini kerana terbukti minda anak-anak lebih mudah menyerap apa yang dipelajari semasa usianya masih kecil.

Bak kata pepatah 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kelebihan lain pula ialah anak yang berdikari akan lebih mudah diurus, lebih matang dan lebih bertanggungjawab dalam kehidupan.

Kelak ia memberi kelebihan buat ibubapa dan juga pasangan apabila berkahwin nanti kerana mereka yang berdikari akan turut sama menguruskan apa-apa urusan bersama-sama.

Antara sikap yang dimiliki oleh mereka yang berdikari adalah :

  • bangun pagi tanpa perlu dikejut
  • urus pakaian sendiri, basuh, sidai, angkat dan lipat
  • basuh pinggan dan cawan sendiri
  • Boleh menyediakan makanan ringkas seperti masak nasi, goreng telur atau ikan
Point utama adalah sikap berdikari di atas perlu dididik kepada anak tidak kira lelaki atau wanita. 

Kelebihan tambahan yang dapat membantu apabila memasuki dunia pekerjaan pula seperti :

  • mempunyai kemahiran menjahit, bercucuk tanam, memasak atau membuat kek serta menjahit bagi wanita
  • kemahiran bertukang, membaiki peralatan bagi lelaki 
  • mempunyai lesen untuk memandu kenderaan 

Buat permulaan, kita boleh mendidik anak-anak dengan menimbulkan minat anak untuk turut serta bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Sekiranya anak menawarkan diri untuk membantu, kita benarkan dengan cara memberi arahan yang mudah dan dalam pantauan ibubapa. Sekiranya kita halang, ditakuti ia akan membantutkan minatnya yang sedang dalam proses ingin belajar dan meneroka perkara baru.

Untuk anak yang masih kecil, kita boleh mulakan dengan contoh seperti berikut:

1) buang sampah dalam tong sampah
2) campak baju kotor dalam bakul
3) letak duit syiling dalam tabung
4) membantu mengangkat barang yang ringan
5) letak pinggan/cawan kotor dalam sink
6) basuh tangan sebelum dan selepas makan

Alhamdulillah, dari pengalaman saya sendiri, saya dapat lihat beberapa perkembangan anak saya yang berumur hampir 2 tahun. Antaranya :

1) apabila ada sampah, dia akan pergi ke tong sampah untuk membuangnya
2) apabila baju dan seluarnya ditanggalkan sebelum mandi, dia akan mengambilnya dan mencampakkannya ke dalam bakul baju kotor
3) jika terjumpa syiling, dia akan mengambilnya dan meminta untuk memasukkan ke dalam tabung
4) setiap kali balik dari beli barang keperluan, dia akan turut sama ingin membantu mengambil plastik untuk dibawa masuk ke dalam rumah
5) baju yang dimasukkan dalam bakul, dia akan tolong tolak masuk ke bilik

Dia juga sudah mula suka mengikut apa yang saya lakukan. Jika ada makanan yang tumpah, dia akan turut sama mengutip, ambil kain untuk lap dan juga ambil penyapu untuk sapu. Apa yang saya lakukan adalah memberinya peluang untuk melakukannya untuk sementara, mengajarnya cara yang betul, memberi galakan semasa dia melakukannya, memberi pujian jika dia dapat melakukannya, kemudian baru lah saya selesaikan sehingga sempurna.

Reaksinya apabila diberi peluang untuk mencuba untuk melakukan sesuatu sudah pasti rasa teruja. Apabila dipuji, dia akan tersenyum gembira. Saya dapat lihat peningkatan dalam perkembangannya dari masa ke semasa setiap kali ianya dilakukan walaupun melakukan aktiviti yang sama. Saya berpendapat ia juga merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan tahap keyakinan diri untuk anak.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Moga beroleh manfaat.

No comments:

Post a Comment