Sunday 13 December 2015

Raikan Anak Sebagai Terapi Diri

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Ingat lagi dulu masa awal-awal ikut berpindah ke Terengganu. Bila anak selerakkan permainan, perasaan mudah sangat terusik. Berbagai perasaan ada. Marah, geram, stress, sedih dan pelbagai perasaan negatif. Sampai satu tahap, hanya terbaring dan tak semangat nak buat apa-apa.

Bila fikir-fikir semula, nampak ketidakmatangan dan terlebih emosi di situ. Kemudian bila mengandung anak kedua, fikiran dah mula risau. Alahai anak baru seorang, kelam kabut sudah. Bila anak dah dua, macam mana pula agaknya.

Hihi. Tapi bila anak dah dua ni, ok saja. Tak adalah seteruk yang dirisaukan. Mula-mula saja. Lama-lama ok. Alhamdulillah dah makin boleh sesuaikan diri dan mengawal emosi. Tak dinafikan bukan mudah, tapi semangat masih kuat.

Duduk di perantauan, negeri orang, jauh dari keluarga. Duduk di rumah mertua bersama ipar. Rumah saudara mara belah suami, kakak dan pak saudara, mak saudara, tok, semuanya dekat-dekat saja, sebelah menyebelah saja. Alhamdulillah semakin nampak hikmahnya.

Saya pernah terbaca mengenai cara untuk mengurangkan stress jika anak sepahkan permainan di rumah. Salah satu dari caranya ialah membiarkan dahulu sehingga anak habis bermain atau anak tidur, baru kita kemas. Tapi saya rasa cara ni lebih sesuai jika kita tinggal di rumah sendiri.

Kalau kat rumah mertua buat cara macam ni, alamatnya berbulu lah mata mak mertua tengok. Hihi.

Satu lagi, rasa belas ihsan. Saya pun kadang serba salah juga. Jika mertua tak tegur pun, saya masih rasa hormat pada dia. Jadi mengalah sajalah.

Jadi untuk mengekalkan keharmonian, bagi yang ada anak kecil dan tinggal bersama mertua ni, mungkin boleh cuba tips ni.

1) Sediakan bakul, beg atau kotak untuk isi mainan. Jadi senang nak kutip. Sebelum mertua nampak, kemas dahulu.
2) Jika mertua dah nampak, kemas je depan dia, atau sekurangnya tegur anak depan dia
3) Ajar anak sama-sama simpan permainan selepas main
4) Sebelum masuk tidur atau bangun awal sebelum mertua bangun. Jadi sempat meronda periksa dan kemas sebelum mertua kemas.

Hihi. Konsep mudahnya ialah kita sentiasa usaha kemas dulu sebelum mertua sempat kemas. Tunjukkan yang kita memang nak kemas sendiri dan ajar anak untuk kemas. Tapi kalau nak bagi anak serakkan lama-lama dan nak layan anak main puas-puas, ajak anak sepahkan dalam bilik. Hihi.

Sekarang, saya dah boleh tenang bila tengok bilik bersepah. Tak macam dulu lagi. Sebabnya saya pujuk diri sendiri. Yang penting anak gembira. Anak masih kecil, tak tahu apa. Dia sedang dalam proses belajar. Bermain dan buat sepah tu salah satu dari cara dia belajar. Pepatah yang selalu saya gunakan untuk pujuk hati supaya tak mudah stress,

Rumah sepah boleh dikemas.
Baju kotor boleh dibasuh.
Tapi anak terabai kerana kurang didikan dan kasih sayang, macam mana nak perbaiki?

Persoalan ni lah yang selalu saya tekankan. Sebab saya percaya, jika kita betul-betul tumpukan pada usia awal pembesaran anak-anak, InsyaAllah kesannya kita akan lihat sehingga dia dewasa. Biar berpenat dan bersusah dahulu, InsyaAllah puashati dan gembira di kemudian nanti.

Kalau rasa stress, berhenti kejap, tarik nafas dalam-dalam. Atau minum air dahulu dan beristighfar. Ni lah yang saya selalu buat. InsyaAllah tak mudah stress. Kalau stress pun, sekejap je dah boleh reda.

Raikan anak sebagai terapi diri. Lihat wajah anak ketika dia tidur. Ucap Alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu.

Moga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment