Wednesday 29 April 2015

Entri 14 : Penjagaan Mesra Ibu Untuk Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


 Assalamualaikum.


Semasa saya membuat temujanji pemeriksaan untuk ibu mengandung di salah sebuah klinik kerajaan, saya telah diberikan taklimat dan dibekalkan sebuah pamplet berkenaan 'Panduan Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya'.

Semasa menyelak info di setiap helaian, saya begitu tertarik dengan salah satu dari tajuk yang terkandung dalam pamplet tersebut. Ia adalah mengenai 'Amalan Kelahiran dan Penjagaan Mesra Ibu'.

Jadi entri kali ini saya ingin kongsikan beberapa info yang saya perolehi berkaitan amalan yang dapat membantu seorang ibu memberi penyusuan awal sejurus selepas bersalin.

1) Peneman sepanjang kelahiran

Menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan. Majoriti hospital kerajaan mengehadkan hanya seorang peneman dibenarkan. Suami merupakan peneman yang terbaik bagi isteri. Antara kebaikan yang diperolehi :
  • Dapat membantu menguruskan isteri dari segi persiapan dari awal pendaftaran sehingga keluar hospital
  • Mengazan dan iqamah bayi yang dilahirkan
  • Menjaga aurat isteri
  • Supaya timbul keinsafan dan lebih menghargai isteri

2) Makanan / Minuman Ringan

Membenarkan ibu mengambil minuman atau makanan yang ringan jika ibu mahu semasa proses kelahiran (bagi ibu berisiko rendah).

  • Cadangan terbaik adalah buah kurma dan air zam zam. Kurma dapat membantu membekalkan tenaga dengan cepat dan mudah dihadam. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk proses tahnik bayi

3) Kaedah penahan sakit bukan ubatan

Menggalakkan ibu untuk memilih kaedah penahan sakit yang bukan ubatan melainkan jika diperlukan atau atas permintaan ibu tersebut

  • Alternatif bagi penahan sakit bukan ubatan ialah teknik pernafasan (hypnobirthing) dan urutan
  • Selain itu, peneman juga boleh memainkan peranan dengan memberikan sokongan kata-kata positif dan doa

4) Bergerak aktif 

Menggalakkan ibu berjalan dan bergerak sebelum melahirkan, jika mahu dan menggalakkan ibu untuk melahirkan mengikut posisi pilihan kecuali terdapat halangan perubatan yang boleh mengakibatkan komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu

  • Ibu yang bergerak aktif dengan berjalan dan bergerak sebelum melahirkan dapat membantu mempercepatkan bukaan rahim dan didapati mengalami proses kelahiran yang lebih mudah

5) Elakkan campurtangan sewaktu kelahiran dan melahirkan

Elakkan campurtangan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan bayi dan ibu mengantuk. Tidak menggunakan sebarang prosedur invasive seperti memecahkan selaput ketuban, episiotomi, peransang mempercepatkan kelahiran (induction of labour), pembedahan caesarean atau kelahiran secara bantuan peralatan, melainkan keadaan memerlukan untuk komplikasi dan ianya diterangkan dengan jelas kepada ibu.

Pengeluaran oksitoksin boleh terganggu buat sementara dalam keadaan ibu mengalami kesakitan akibat jahitan kelahiran atau perasaan bimbang.

Jadi bagaimana ia dapat dikaitkan dengan penyusuan susu ibu yang berjaya ya?
Amalan-amalan ini dapat membantu seorang ibu untuk merasa berkebolehan, berkeyakinan, berkeupayaan menguasai diri, disokong dan bersedia untuk berinteraksi dengan bayi yang cergas.

Apabila ibu berasa yakin, emosi ibu akan berasa lebih tenang. Perasaan tenang dan gembira dapat merangsang rembesan hormon positif seperti hormon prolaktin dan oksitoksin yang diperlukan untuk penghasilan susu ibu.

Pengeluaran susu ibu seawal yang mungkin amat penting bagi meransang proses penghasilan dan pengaliran susu yang cepat dan berterusan.

Sekian dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment