Saturday 25 April 2015

Entri 10 : Tip Riadah Yang Berkesan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith



Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Tajuk entri saya pada kali ini ialah tip riadah yang berkesan.

Sebelum tu, mari kita semak maksud riadah. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud riadah boleh ditakrif kepada istilah seperti berikut:
  • Melakukan latihan gerak badan, senaman
  • Segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran
  • Amalan kerohanian untuk mengawal hawa nafsu
  • Berekreasi
  • Ia juga sinonim dengan rekreasi, senaman, sukan, olahraga, permainan, persantaian, hobi 
Sumber : Carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)

Riadah yang berkesan pula seharusnya berjaya mencapai matlamat utama mengapa tujuan sesuatu aktiviti itu dijalankan. Mari kita ikuti panduan yang boleh digunakan bagi mendapatkan riadah yang berkesan :

1) Pilih tempat yang positif

Tempat yang positif harus menepati ciri berikut:
  • Suasana yang tenang dan santai. Ini dapat menjamin ketenangan jiwa dan konsentrasi.
  • Tidak bercampur dengan maksiat. Dapat mengelakkan pengaruh kurang baik.
  • Membawa kebaikan. Yakin dengan manfaat yang akan diperolehi.

2) Rancang aktiviti

Riadah yang berkesan seharusnya mempunyai matlamat yang jelas. Ia bukan sekadar aktiviti suka-suka yang dilakukan tanpa ada tujuan. Antara ciri-ciri aktiviti yang penting adalah ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pastikan setiap ahli keluarga terlibat dan turut sama memainkan peranan.

Contoh aktiviti yang digalakkan dan mempunyai kesan produktif yang tinggi:
  • Solat berjemaah dan menghadiri majlis ilmu. Bapa boleh menjadi imam dan menyampaikan tazkirah sebaik selesai solat. Ini dapat menunjukkan ciri kepimpinan seorang bapa
  • Bersukan atau senaman ringan. Ia dapat melatih sikap bekerjasama antara setiap ahli. Selain itu, aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan baik dari segi ransangan untuk kesihatan fizikal dan minda yang cerdas.
  • Berkelah. Aktiviti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga. Suasana berkumpul bersama-sama dapat mewujudkan situasi yang memberansangkan untuk ahli keluarga berbual dan bertukar pendapat. Ibu bapa juga dapat menggunakan masa ini untuk memberi nasihat dan menanamkan nilai-nilai murni kepada anak-anak dalam keadaan santai.
  • Bergotong-royong. Aktiviti ini sesuai dipraktikkan bagi menanam sikap saling tolong menolong dan berkhidmat pada masyarakat. 
Contoh aktiviti yang kurang produktif:
  • Pergi ke tempat membeli belah untuk melepak
  • Bermain permainan video
  • Menonton televisyen 
Aktiviti yang kurang produktif biasanya melibatkan pergerakan fizikal yang kurang aktif dan hanya melibatkan ransangan yang sangat minima. Selain itu ia lebih kepada hubungan sehala. Ia juga memerlukan pemantauan ibubapa bagi mengelakkan kewujudan pengaruh yang kurang sihat atau masalah ketagihan.
 

3) Buat persediaan yang sesuai
  • Sediakan makanan dan minuman sebagai bekalan. Aktiviti menyediakan makanan bersama-sama pasti menarik minat anak-anak dan menimbulkan rasa teruja kepada anak-anak.
  • Memilih pakaian yang sesuai dengan aktiviti. Contohnya pakaian yang sesuai untuk mandi, bersukan dan sebagainya. Selain itu, pastikan pakaian menutup aurat dan menepati ciri-ciri keselamatan.

4) Tumpukan perhatian

Riadah yang berkesan dapat dicapai sekiranya manfaatnya diperolehi oleh setiap yang menyertainya.
Elakkan dari membuat hal masing-masing ketika aktiviti riadah sedang dilakukan. Simpan semua telefon, permainan video, tab, mp3 atau apa-apa alat yang boleh mengganggu tumpuan ketika aktiviti riadah dijalankan.

Riadah yang berkesan adalah penting bagi menjamin penggunaan masa yang berkualiti, tenaga yang digunakan mendatangkan manfaat dan wang yang digunakan ketika aktiviti riadah disalurkan ke arah yang positif.

Moga riadah kita mendatangkan manfaat dan juga diterima sebagai salah satu ibadah.

Sekian perkongsian untuk kali ini. Wassalam

No comments:

Post a Comment