Friday 17 April 2015

Entri 2 : Penyusuan Susu Ibu - 5 Sikap Suami Dambaan Isteri

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Salam ukhwah sahabat semua.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang 5 sikap suami yang dikenalpasti dapat membantu menjayakan penyusuan susu ibu. Jom kita kenali 5 sikap ini.

1) Teruja dengan ilmu
Sebut sahaja perkataan-perkataan berkaitan seperti 'hindmilk', 'foremilk', 'milkbooster' dan sebagainya. Semuanya dia ambil tahu. Kelas bimbingan pula, dia yang beriya mendaftarkan diri untuk pergi ke kelas dan mengajak kita bersama-sama menambah ilmu. Nombor pakar laktasi untuk dihubungi atau khidmat sokongan, ada dalam simpanannya. Dia juga tahu tuntutan menyusukan anak dengan susu ibu sehingga anak berumur 2 tahun terkandung dalam Al-Quran.

2) Prihatin tentang keperluan ibu menyusu
Dari pam untuk menyusu, baju menyusu sehinggalah 'nursing cover'. Dia lah yang tolong beli dan sediakan. Malah dia turut sama selidik dan banding, yang mana yang terbaik buat isteri. Dia tidak kekok kemana-mana untuk menemani isteri membuat pilihan yang terbaik. Tidak berkira untuk menyediakan peruntukan kerana dia tahu ia merupakan pelaburan yang amat berbaloi

3) Penyokong No.1
Jangan ada yang cuba merendahkan atau memandang remeh pada isteri. Dia akan cuba menjelaskan dengan tegas dan penuh hikmah akan kebaikan penyusuan susu ibu. Sehingga kerana kesungguhan dia menyokong penyusuan susu ibu ini, ramai ahli keluarga dan kawan-kawan turut sama mengikuti jejak langkah untuk memilih penyusuan susu ibu sebagai yang terbaik untuk keluarga

4) Pendengar yang setia
Bila-bila masa yang diperlukan, dia sedia menjadi pendengar setia bagi isteri. Apabila ada masalah, dia turut sama cuba memberi solusi yang terbaik. Apabila isteri rasa lemah semangat, kata-kata motivasi sentiasa menjadi penguat semangat isteri. Jika perlu, dia sanggup meluangkan masa menemani isteri menemui pakar bagi mendapatkan solusi yang terbaik. Pendek kata, isteri sentiasa berada dalam keadaan selesa dan dikelilingi aura positif

5) Pembantu yang budiman
Suami jenis ini tidak kisah mengambil alih tugas isteri apabila diperlukan. Baginya yang penting adalah isteri dapat menumpukan sepenuh perhatian dan berjaya dalam penyusuan. Dia akan pastikan keperluan isteri dapat dipenuhi, dan isteri mendapat rehat yang secukupnya.

Jadi para suami dan bapa sekalian, cuba selidiki, ada tak sikap-sikap sebegini pada anda. Jika tidak dapat semua pun, apa kata anda cuba praktikkan semampu yang mungkin. Tidak rugi mencuba kerana akhirnya anda juga yang dapat menikmati kebaikan sekiranya isteri anda berjaya dalam misi ini. Sama-sama beruntung. Dan yang paling membahagiakan ialah apabila anak anda menjadi seorang yang sihat, bijak, baik budi pekerti dan rapat dengan keluarga. Selain menjimatkan, dialah aset kita yang amat berharga untuk membantu kita di akhirat nanti. Jadi pastikan kita usahakan yang terbaik untuk keluarga ok.

Itu sahaja perkongsian untuk kali ini. Moga memberi manfaat dan semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment