Sunday 19 April 2015

Entri 4 : Kisah Rezeki Yang Tidak Disangka-sangka

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Salam ukhuwah sahabat semua.

Sebagai pembuka kata, saya mulakan dengan bacaan dari Surah At-Tolaaq (65:2-3) yang juga dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar. Di dalam ayat ini ada disebutkan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangannya), maka Allah akan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka.

Kisah yang ingin saya kongsikan pada kali ini adalah catatan pengalaman saya ketika mula-mula bekerja di salah sebuah pasaraya di negeri kelahiran saya iaitu Johor Bahru.

Benarlah pesan orang tua-tua, orang yang berbuat baik pasti tidak akan rugi. Kata kuncinya di sini ialah sentiasa berakhlak mulia walau di mana kita berada, InshaAllah, kebaikannya akan berbalik pada kita.

Pada ketika itu, umur saya 18 tahun, baru sahaja tamat peperiksaan SPM. Saya masih ingin menyambung pelajaran. Tapi dalam masa yang sama, terfikir dari mana nanti saya akan mendapat duit untuk perbelanjaan semasa berada di sana nanti. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan SPM keluar.

Dengan bekerja secara sambilan, sekurang-kurangnya saya masih dapat menyimpan serba sedikit duit sebagai persediaan. Jadi saya mengambil peluang untuk bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya berhampiran dengan rumah. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian yang menjual barang-barang permainan.

'Factory Outlet' adalah pusat jualan yang menempatkan pelbagai jenis barangan. Antaranya cenderamata, buku, permainan, baju dan lain-lain. Setiap jenis barangan pula dibahagikan kepada beberapa kawasan kecil kerana dipunyai oleh syarikat yang berlainan. 'Factory Outlet' ini berfungsi sebagai tapak sewaan perniagaan bagi peniaga meletakkan barang jualan mereka. Oleh itu, setiap barangan akan mempunyai pembantu jualan masing-masing.

Sewaktu pertama kali saya dibawa ke bahagian saya ditugaskan, saya agak terkejut. Ini kerana keadaannya sangat tak terurus. Terdapat permainan yang sudah rosak, permainan sudah tertanggal dari bungkusan dan sampah merata-rata. Rupa-rupanya pekerja sebelum ini sudah lama berhenti dan tiada pekerja baru dapat diganti kerana masalah tidak cukup pekerja.

Penyelia memberi taklimat. Antara tugas yang diamanahkan adalah saya perlu memastikan tempat sentiasa kemas dan tersusun, perlu melabel harga, melayan pertanyaan pelanggan, mengadakan demo percubaan jika pelanggan ingin mencuba sesuatu permainan dan juga mengira dan merekod baki stok. Rakan sekerja meluahkan rasa tidak puas hati kerana mereka beranggapan bahawa skop kerja saya terlalu banyak. Tidak setaraf dengan jawatan sebagai pembantu jualan. Tetapi saya ambil komen mereka itu secara positif. Dalam hati saya berkata "Tak apa lah, ia baik untuk pengalaman saya".

Mengikut cerita rakan sekerja, bahagian di bawah jagaan saya ketika ini dahulunya kerap bertukar pekerja. Kebanyakan pekerja tidak mampu bertahan lama. Antara sebab yang dinyatakan adalah kerana bahagian ini sukar diuruskan. Selain itu, pekerja mempunyai bebanan kerja yang banyak dan mempunyai bos yang garang. Saya hanya mampu tersenyum sendiri. Walaupun tiada pengalaman kerja dan dikhabarkan cerita seperti itu, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat saya.

Jadi, langkah pertama saya adalah dengan mengemas dahulu tempat tersebut. Saya kumpulkan semua permainan yang bersepah dan asingkan di suatu tempat. Plastik yang masih boleh digunakan, saya kutip dan simpan. Sampah-sampah dibuang. Baki permainan yang masih ada, saya kemas dan susun dahulu. Kemudian saya mula memeriksa permainan tadi samada memang sudah rosak atau masih boleh digunakan. Yang boleh digunakan, saya bungkus semula elok-elok. Yang rosak pula diasingkan dalam kotak 'reject'. Alhamdulillah selesai satu perkara. Lega bila tengok tempat kembali terurus.

Banyak juga pengalaman yang memberi pengajaran kepada saya sepanjang tempoh bekerja di sini. Ia banyak melatih sifat sabar dalam diri saya. Antaranya cabarannya adalah apabila ada pengunjung yang suka bermain dengan permainan yang ada tanpa mempedulikan papan tanda 'Dilarang Bermain' yang dipaparkan. Jika kanak-kanak yang masih kecil bermain, itu perkara biasa. Tetapi adakalanya kaum bapa yang sepatutnya menjadi penjaga pula yang turut sama bermain. Tapi sifat amanah pada kerja mengajar kita untuk bersifat berani kerana benar. Kita tetap perlu menjaga harta syarikat walau nilainya tidak semahal mana. Saya pernah dimarahi pengunjung gara-gara bersikap tegas untuk tidak membenarkan barang permainan diperbuat sesuka hati. Tetapi saya tidak kisah semua itu. Yang penting, kita menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya.

Cabaran kedua pula ialah sikap rakan sekerja yang ada di antaranya memberi pengaruh kurang baik. Mereka gemar berkumpul dan berbual-bual kosong. Selain itu, ada pula yang gemar mengamalkan sikap buat kerja sambil lewa. Hanya kerana ingin cepat siap, tanda harga diletak sesuka hati sehingga senget dan terbalik. Sikap sebegitu membuatkan saya kurang rapat dengan mereka. Mungkin ada yang perasan perubahan sikap saya itu. Tetapi saya tidak kisah. saya tetap menegur mereka macam biasa. Cuma saya lebih suka memilih duduk di tempat sendiri dan buat kerja masing-masing.

Orang yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar dan menyemak kerja saya adalah penyelia saya. Beliau akan datang menyemak rekod yang telah saya siapkan dan juga menyemak stok. Selain itu, saya juga ada dibantu oleh seorang pembantu jualan yang lebih senior. Beliau akan datang memberi tunjuk ajar bagaimana menyusun barang supaya kelihatan kemas dan menarik. Beliau ada bercerita mengenai bos syarikat ini. Tetapi saya hanya mendengar sahaja kerana masih tidak berpeluang berjumpa.

Suatu hari, seperti biasa saya membuat kerja-kerja saya. Menyusun barang-barang agar kelihatan kemas. Selain itu, saya juga cuba membuat perubahan menyusun atur permainan agar kelihatan lebih menarik untuk dilihat. Ketika itu, pengunjung tidak ramai. Saya ada terlihat kelibat seorang lelaki muda yang berdiri agak berhampiran dengan tempat saya. Kelibatnya tidak seperti mereka yang ingin mencari barang untuk dibeli. Saya sedar dia sedang memerhatikan saya. Jadi saya hanya senyum sekilas dan meneruskan kerja seperti biasa.

Rakan sekerja yang lain pula sibuk berkumpul dan berbual. Saya tidak menyertai mereka kerana masih banyak lagi kerja yang perlu dibuat. Tambahan pula, rasa tidak sedap hati jika berbuat begitu. Memang tiada siapa yang akan memarahi cuma naluri hati memujuk untuk tetap terus jujur dan ikhlas melakukan kerja. InshaAllah lebih berkat rezeki yang diperolehi.

Sedang saya sibuk membuat kerja, tiba-tiba senior saya datang dan bertegur sapa dengan lelaki tadi. Rupanya lelaki yang memerhati tadi adalah anak bos. Beliau memang sengaja datang secara mengejut dan tidak memperkenalkan diri kerana ingin melihat sendiri cara saya bekerja.

SubhanaAllah. Mood yang dari tadi tenang tiba-tiba berdebar. Sungguh tak sangka. Rasa segan pun ada. Kemudian senior tadi memperkenalkan saya kepada anak bos tadi. Saya hanya mampu berdoa moga semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

Saya bekerja di situ tidak lama lebih kurang 3 bulan sahaja. Tibalah masa untuk saya meletakkan jawatan kerana telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran.

Sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas buat hambaNya. Berkat kesabaran dan kejujuran, Alhamdulillah saya telah diberikan rezeki tambahan. Kebiasaannya pembantu jualan hanya dibayar gaji setiap bulan. Tapi saya telah diberikan komisyen tambahan yang menyamai sebulan gaji saya. Komisyen yang diberikan, saya anggap sebagai bonus kerana ia dapat membantu saya untuk perbelanjaan semasa saya menyambung pelajaran.

Bila saya fikir semula peristiwa ini, saya rasa amat bersyukur. Kerana dalam keadaan saya tengah memerlukan duit untuk persediaan menyambung pelajaran, Allah hadirkan bantuanNya tepat pada masa.

Syukur Alhamdulillah.

Setakat ini perkongsian saya untuk kali ini. Yang baik dijadikan tauladan, yang kurang baik, dijadikan pengajaran. Moga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment