Tuesday 28 April 2015

Entri 13 : Bekalan Elektrik Terputus - 3 Peralatan Yang Membantu Anda

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Simpanan Peribadi

Assalamualaikum sahabat semua.

Bila berlaku kejadian bekalan elektrik terputus, situasi yang biasa akan berlaku adalah seperti di bawah ni.

Situasi :

Kita bergegas mencari lilin, mancis atau lighter. Cari bekas untuk letak lilin. Disebabkan keadaan gelap, tak jumpa barang yang dicari. Anak pula sibuk nak ikut kerana takut gelap. Anak kecil menangis kerana tak selesa. Kelam kabut dan stress. Selesai pasang lilin atau pelita, kita mencari tempat tinggi dan selamat supaya tak dapat dicapai oleh anak. Tempat pula perlu lapang dan jauh dari barang untuk elak dari api menyambar. Biasa tak dengan situasi ini?

Tapi dengan adanya persediaan menggunakan 3 peralatan ni, InshaAllah ia dapat membantu memudahkan kita ketika menghadapi bekalan elektrik terputus.

1) Lampu kecemasan




Ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi dilakukan oleh setiap rumah bagi tujuan keselamatan. Ini kerana, apabila bekalan elektrik terputus, secara otomatik, lampu kecemasan ini akan menyala. Lokasi yang agak strategik untuk memasang lampu kecemasan ini adalah di bahagian hadapan rumah dan juga di bahagian dapur. Ini dapat membantu kita mencari pintu keluar dengan mudah, melihat keadaan dalam rumah atau mencari barang yang diperlukan.


2) Kipas kecil menggunakan kuasa bateri




Saya beli kipas ini di kedai Mr DIY. Ia berfungsi seperti kipas duduk cuma bersaiz lebih kecil. Mereka yang mempunyai anak kecil kebiasaannya menghadapi kesukaran untuk menidurkan anak ketika bekalan elektrik terputus. Suasana yang panas menyebabkan anak mudah berpeluh dan rasa tidak selesa. Saya hanya menggunakan kipas kecil ini untuk memberikan rasa sejuk ketika menidurkan anak. Ternyata ia berkesan. Kini dah tak lenguh lagi mengipas. Saiznya yang kecil juga memudahkannya untuk dibawa ke mana-mana.


3) Lampu suluh/picit yang kecil




Kebiasaannya ramai akan memilih lilin atau pelita untuk membekalkan cahaya ke sesuatu tempat. Tapi peralatan yang melibatkan penggunaan api agak berisiko untuk terjadinya kebakaran jika tidak diawasi atau berlaku kecuaian. Selain itu, ia juga mendatangkan rasa panas dan cepat habis digunakan. Saya lebih suka memilih lampu suluh bersaiz kecil yang menggunakan bateri sebagai alternatif. Hanya perlu tekan suis ketika hendak digunakan, dan tekan suis semula ketika selesai. Tidak membazir. Selain itu, ia juga tahan lama dan mudah dibawa ke mana-mana.

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Moga lepas ni, situasi kita akan lebih tenang ketika berlaku lagi kejadian elektrik terputus. Dah ada persediaan alternatif la katakan. InshaAllah.

Selamat mencuba dan moga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment