Friday 24 April 2015

Entri 9 : Tip Perjalanan Jauh Untuk Ibu Hamil

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Assalamualaikum dan selamat pagi.

Perjalanan jauh memang agak mencabar. Terutama jika melibatkan ibu hamil atau mempunyai anak kecil.Tapi dengan persediaan yang cukup, InshaAllah ianya akan berjalan dengan lancar.

Kali ini saya ingin kongsikan beberapa persediaan yang boleh dibuat bagi ibu hamil sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Jom kita semak panduan berikut.

1) Ruang duduk yang selesa

Pastikan ibu mempunyai ruang yang selesa. Maksudnya tempat letak kaki yang cukup luas, tidak terlalu penuh dengan barang-barang dan posisi tempat bersandar yang selesa. Lebih baik lagi, sediakan satu kusyen atau bantal kecil, dan letak di belakang pinggang. Ia dapat membantu ibu rasa lebih selesa.

2) Pakaian yang selesa

Pastikan ibu memakai pakaian yang selesa. Kain yang menyerap peluh, tidak panas atau boleh menyebabkan gatal. Sebaiknya memakai kain labuh/jubah atau skirt berbanding seluar bagi memudahkan urusan pembuangan air di tandas awam.

3) Sediakan makanan/minuman ringan sebagai bekalan 

Lazimnya ibu hamil akan mudah terasa lapar. Bekalan ini dapat membantu kita untuk mengalas perut tanpa perlu berhenti dengan kerap. Pastikan ia adalah makanan kering dan mudah diurus supaya jika tertumpah, ia mudah dibersihkan. Antaranya seperti kurma, kismis, roti dan biskut.

4) Air masak dan Supplemen

Jangan lupa bawa ya. Letakkan ditempat yang mudah dicari dan dicapai.

5) Sediakan 1 beg kecil untuk isi barang keperluan seperti berikut:
  • Plastik untuk persediaan jika ada alahan muntah
  • Pantiliner jika ada keputihan
  • Minyak angin atau kulit limau untuk kurangkan rasa mual
  • Tisu dan air dalam botol untuk tujuan bilasan

 6) Rancang tempat berhenti rehat

Ini penting bagi memastikan masa untuk buang air, makan dan solat dapat dirancang sebaik-baiknya dan tidak berubah jauh dari rutin harian.

7) Nombor telefon kecemasan

Bagi ibu-ibu yang sedang memasuki fasa akhir kehamilan, anda dinasihatkan untuk bersiap sedia dengan segala barang kelengkapan untuk pergi ke hospital seperti beg ibu, beg bayi dan juga buku rekod kesihatan (buku pink). Selain itu, pastikan anda ada menyimpan nombor kecemasan untuk dihubungi jika berlaku sebarang perkara kecemasan.

8) Berdoa

Sebelum memulakan perjalanan, berdoa semoga perjalanan selamat dan lancar. Ini antara doa yang boleh diamalkan.



Sekian dahulu untuk kali ini.

Moga bermanfaat dan selamat membuat persediaan.

No comments:

Post a Comment