Monday 20 April 2015

Entri 5 : Selesai Baki Pinjaman PTPTN Guna KWSP

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith


Salam 1 Rejab sahabat semua.

Ada tak antara rakan-rakan di sini yang masih mempunyai baki pinjaman yang masih belum dijelaskan? Untuk perkongsian kali ini, saya ingin kongsikan tentang penyelesaian baki pinjaman bagi PTPTN.

Bagi yang berjaya menyelesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan, saya ucapkan tahniah. Memang anda seorang yang sangat komited. Bagi yang masih belum berjaya selesaikan lagi, mungkin ada yang memilih untuk bayar sedikit demi sedikit setiap bulan. Bagi yang memilih untuk bayar setiap bulan, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk membuat permohonan pertukaran ke sistem pembiayaan 'Ujrah'. Sistem ini membolehkan kadar kos pentadbiran dikurangkan dari 3% ke 1%. Penjimatan yang boleh didapati adalah sehingga 49% dari kos pentadbiran keseluruhan.

Satu lagi alternatif penjimatan bagi yang ingin menyelesaikan baki pinjaman sekaligus adalah merebut peluang ketika tawaran diskaun dikeluarkan oleh pihak PTPTN. Yang terbaru adalah tawaran diskaun sehingga 20% dari keseluruhan baki pinjaman. Tawaran ini baru sahaja ditutup 31 Mac 2015 yang lepas. Bila lagi tawaran dibuka? Itu anda kena rajin-rajin intai pengumuman dari PTPTN. :)

Bagi yang ingin menyelesaikan baki pinjaman sekaligus, anda juga boleh membuat permohonan dengan menggunakan pengeluaran pendidikan dari akaun 2 KWSP.
* Semak dahulu baki akaun 2 KWSP anda. Pastikan mencukupi ya.
* Kalau tidak cukup, anda masih boleh keluarkan sebahagian daripadanya mengikut budibicara pihak KWSP.

Berikut adalah antara prosedur yang perlu dilakukan:

Berurusan dengan pihak PTPTN
1) Pergi ke pejabat PTPTN dan nyatakan bahawa anda ingin membuat penyelesaian baki pinjaman dengan menggunakan akaun 2 KWSP
2) Anda akan diminta mengisi borang permohonan 'Penyata Baki Pinjaman Pendidikan Pelajar'
Anda juga boleh mengisi borang permohonan secara online. Klik sini: Borang Permohonan Penyata Baki Pinjaman
* Penyata ini akan dikeluarkan oleh PTPTN mengikut format yang dikehendaki oleh pihak KWSP.
Ini contoh formatnya: Format Penyata Baki Pinjaman Pendidikan.
Jadi anda tidak boleh menggunakan penyata yang dicetak melalui online
3) Pastikan anda masih mempunyai salinan Perjanjian Pinjaman Pendidikan atau Surat Tawaran Pinjaman Pendidikan.
* Jika tiada, anda perlu memaklumkan kepada pihak PTPTN. Pihak PTPTN akan meminta anda mengisi borang 'Permohonan Salinan Dokumen Perjanjian Pembiayaan Pendidikan'.
Anda juga boleh mendapatkan borang secara online di sini : Klik Sini.
PTPTN akan mengeluarkan salinan baru kepada anda. Anda perlu membayar RM90 untuk mendapatkan salinan tersebut.
* Pastikan resit dibawa ketika ingin mengambil salinan yang telah siap
4) Setelah kedua-dua dokumen ini telah siap, anda boleh mengambil sendiri di pejabat PTPTN atau meminta agar dokumen itu dipos ke rumah anda.

Berurusan dengan pihak KWSP
1) Sediakan semua dokumen yang diperlukan seperti berikut:
  • Penyata Baki Pinjaman Pendidikan Pelajar (dikeluarkan oleh PTPTN)
  • Salinan surat perjanjian pinjaman atau Surat Tawaran Pinjaman Pendidikan
  • Salinan Sijil Diploma/Ijazah @ Salinan Transkrip Diploma/Ijazah
  • Sijil asal Diploma/Ijazah bagi tujuan pengesahan dokumen
2) Bawa semua dokumen ke pejabat KWSP dan nyatakan bahawa anda ingin membuat pengeluaran pendidikan bagi tujuan penyelesaian baki pinjaman PTPTN
3) Anda akan diberikan borang 'Permohonan Pengeluaran Pendidikan' iaitu KWSP 9H (AHL) untuk diisi. Borang KWSP 9H (AHL)
4) Cara pembayaran balik baki pinjaman boleh dibuat dalam bentuk 'Pengkreditan terus' atau menerusi 'Cek Jurubank'. Pastikan nama dan alamat PTPTN diisi dengan betul.
5) Setelah siap mengisi borang, ambil nombor giliran dan tunggu hingga nombor giliran anda dipanggil.
6) Serahkan borang dan dokumen yang diperlukan.
7) Anda akan diminta menurunkan cap ibu jari dan membuat pengesahan cap ibu jari
8) Sekiranya semua tiada masalah, anda akan diberikan 'Notis Akuan Penerimaan Permohonan'

Setelah bayaran dibuat kepada pihak PTPTN, pihak KWSP akan memaklumkan kepada anda melalui SMS. Ok siap.

Prosedur terakhir adalah pastikan anda mendapat surat pelepasan dari PTPTN yang mengesahkan anda telah pun menyelesaikan kesemua baki pinjaman.

Selamat mencuba dan semoga urusan anda dipermudahkan. :)





No comments:

Post a Comment