Thursday 30 April 2015

Entri 15 : Kisah Afi Si Peminat Kenderaan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Simpanan Peribadi

Assalamualaikum.

Bila dah bergelar seorang ibu ni, memang banyak perubahan yang berlaku pada diri kita.

Antara yang menjadi daya penarik dan pembangkit semangat setiap hari adalah apabila dapat memerhatikan perkembangan anak-anak membesar di depan mata. Kadang-kadang tergelak sendiri melihat keletahnya yang pelbagai. .

Setiap ibu pasti mengimpikan yang terbaik untuk anak-anak. Walaupun saya tidak berkerjaya sebagai seorang guru, saya akan cuba untuk menjadi pendidik dan guru yang terbaik untuk anak sendiri.

Muhammad Afi. Itulah nama yang dipilih oleh kami suami isteri. Sekarang Afi sudah pun berumur 1 tahun 10 bulan. Sudah boleh bertutur beberapa perkataan dan memahami arahan-arahan mudah.

Antara perkataan terawal yang boleh disebut olehnya ialah 'Oyi'. Bermaksud Lori. Ketika itu umurnya 1 tahun 2 bulan. Ya dia masih agak pelat untuk menyebut beberapa perkataan. Antara target saya ketika ini ialah mencuba untuk melatihnya bercakap dengan bunyi yang betul dan tidak pelat. :)

Minatnya terhadap kenderaan memang tidak dapat disangkal lagi. Mungkin antara sebabnya ialah buku pertama yang saya belikan untuknya adalah buku bergambar mengenai jenis-jenis kenderaan. Memang banyak koleksi permainan Afi yang majoritinya bertemakan kenderaan yang terlibat dalam pembinaan seperti pelbagai jenis lori, kren, bulldozer dan sebagainya.

Jika rakan sebaya kebanyakannya begitu meminati watak superhero dan kartun seperti Ultraman, Upin Ipin, Doraemon dan Boboiboy, Afi lebih cenderung kepada kenderaan dan haiwan.

Buktinya daripada buku, permainan, rancangan tv, sehingga lah kepada pakaian, apabila ada kenderaan dan haiwan yang dia nampak, dia akan sebut dengan nada teruja.

Antara kenderaan yang sering menjadi sebutan di bibirnya adalah seperti lori, bas, motor, kereta, kapal terbang, helikopter, basikal, bot dan juga van. Kenderaan yang paling diminati pula ialah lori hantu atau lebih dikenali sebagai 'Lori Congek' dalam bahasa Terengganu.

Ketika perjalanan jauh, antara aktiviti yang dapat membantunya dari merasa bosan berada lama dalam kenderaan ialah memerhatikan kenderaan yang lalu di sepanjang perjalanan. Sememangnya berkesan membuatkan dia leka dan tidak meragam dalam kereta. :)

Setiap petang, saya akan cuba meluangkan masa untuk menemaninya bermain lori congek dan pasir di halaman rumah.

Oleh kerana ayahnya bekerja sebagai subkontraktor dan turut terlibat dalam projek membina rumah di kawasan sekitar, dia kerap berpeluang melihat aksi lori congek ketika menurunkan barang muatan. Memang teruja habis. Macam menonton aksi bola oleh pemain yang diminati sahaja lagaknya.

Setiap petang selepas balik dari kerja, ayahnya pula akan membawanya pusing kampung untuk melihat kawasan sekitar. Kadangkala akan berhenti singgah di rumah bapa saudara suami yang juga bekerja sebagai kontraktor. Semata-mata ingin melihat lori dan 'Bulldozer' yang diletakkan di kawasan rumah. Apabila dapat menyentuh dan melihat dari jarak dekat, seakan satu kepuasan bagi dirinya.

Jika rancangan di televisyen pula, rancangan kegemarannya ketika ini ialah 'Robocar Poli'. Memang tak berganjak. Setiap kali nampak kenderaan seperti lori, helikopter, kapal terbang atau apa sahaja kenderaan yang dikenali, dia akan menyebut sambil menunjukkannya kepada saya dengan nada teruja.

Begitulah antara aktiviti seharian saya bersama Afi. Moga dia menjadi anak yang soleh. Siapa tahu mungkin dia juga akan mewarisi bidang yang sama dari ibu dan ayahnya iaitu bidang yang melibatkan kejuruteraan awam. InshaAllah.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Wassalam.


No comments:

Post a Comment