Friday 1 May 2015

Entri 16 : Berbaik Sangka Pada Mereka Yang Kerap Melihat Telefon Bimbit

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum.
Salam Jumaat Penghulu Segala Hari.

Tajuk yang saya pilih kali ini agak kontroversi sedikit. Sekadar pandangan sendiri. Lain orang mungkin lain pendapatnya. Setiap orang kan mempunyai cara berfikir yang berbeza. Betul tak?

Kita sering mendengar orang memberi komen yang kurang enak apabila terlihat seseorang terlalu asyik melihat telefon bimbit. Sangkaan kita antaranya ialah:

  • Dia telah hanyut dalam dunia sendiri, tidak mahu bergaul dengan masyarakat
  • Dia membuang masa dengan membuat aktiviti tidak berfaedah
  • Dia malas sehingga tidak mahu melakukan sebarang aktiviti 

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa sebab yang mungkin tidak kita sedari, sebenarnya memerlukan seseorang itu untuk banyak menggunakan telefon bimbit dalam kegiatan sehariannya.

Berikut adalah antara senarai yang mungkin menjadi sebab mengapa kita harus berbaik sangka dan mengubah persepsi kita ke arah yang lebih positif.

1) Duduk berjauhan dengan keluarga

Saya merupakan salah seorang dari golongan ini. Saya hanya berpeluang untuk balik ke kampung halaman 2 bulan sekali. Biasanya saya akan memperuntukkan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk telefon ibu dan ahli keluarga yang lain. Untuk mengetahui perkembangan lain pula, Whatsapp Group khas untuk keluarga lah yang akan sentiasa menjadi penghubung. Di situ lah kami akan berbalas info, gambar, video dan lain-lain.

2) Minat membaca

Minat membaca membolehkan saya melayari internet dalam masa yang agak lama. Jika dahulu, kebanyakan sumber bacaan saya terdiri daripada buku, majalah dan surat khabar. Kini, artikel, blog, forum, kumpulan sokongan fesbuk dan e-book kerap menjadi pilihan.

3) Mempunyai bisnes online

Mereka yang mempunyai bisnes online menggunakan telefon bimbit sebagai salah satu cara utama untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Selain itu, dengan adanya pelbagai aplikasi yang tersedia secara percuma, telefon bimbit juga berfungsi sebagai medium untuk mengemaskini gambar untuk promosi bisnes dan lain-lain. Bagi mereka yang mempunyai blog, mereka perlu untuk sentiasa mengemaskini entri terbaru bagi memastikan aliran trafik yang tinggi ke blog.

4) Mencari maklumat

Semuanya di hujung jari. Kini terdapat pelbagai agensi mempunyai laman web rasmi sebagai rujukan yang menawarkan perkhidmatan secara online. Jadi pengguna telefon bimbit dapat mengakses pelbagai maklumat hanya dengan melayari laman web yang disediakan. Bil utiliti, pembayaran pinjaman dan pelbagai urusan lain dapat diselesaikan dengan mudah hanya melalui telefon bimbit.

5) Membeli barang secara online

Lambakan produk yang kini boleh didapati secara online membuatkan ramai beralih kepada pembelian secara alam maya ini. Kini barang dapur juga boleh dibeli secara online. Selain itu, perkhidmatan yang disediakan oleh pihak bank juga memudahkan urusan pemindahan wang dilakukan secara atas talian dan memudahkan urusan jualbeli.

6) Pelbagai kemudahan aplikasi

Aplikasi seperti kalkulator, kalendar, planner dapat membantu seseorang menyelesaikan urusan hanya dengan menggunakan telefon bimbit. Saya sendiri merupakan pengguna aplikasi 'Notepad' di mana ia berfungsi sebagai 'To-do-list' seharian yang akan menjadi rujukan bagi mengingatkan saya pada senarai atau perkara penting yang perlu dilakukan.

Walaubagaimanapun, memang terdapat beberapa situasi yang kurang digalakkan untuk kita terlalu asyik dengan telefon bimbit. Ini kerana ia akan mengganggu masa berkualiti bersama keluarga dan juga mungkin melanggar adab-adab yang sepatutnya. Antara situasi yang perlu dielakkan ialah:

  • Ketika makan
  • Ketika masuk bilik air
  • Ketika menghadiri majlis atau urusan rasmi
  • Ketika ada tetamu
  • Ketika memandu
  • Ketika menjaga anak kecil dan lain-lain 

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Sebarang komen atau cadangan amat dialu-alukan.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment