Monday 25 May 2015

Entri 34 : Cabaran Mendidik Anak - Menonton Rancangan TV Dengan Pantauan Ibubapa

Teks : Nuraida Mohd Hadith
Foto : Google



Assalamualaikum w.b.t.

Salah satu dari cara yang sering digunakan oleh ibubapa untuk mengalih perhatian anak supaya ibubapa dapat menyelesaikan kerja tanpa diganggu adalah dengan memberikan anak menonton rancangan di kaca tv.

Tapi bagi ibubapa yang prihatin, pasti terbit rasa kurang senang untuk melepaskan anak menonton begitu sahaja.

Ini kerana, sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak rancangan hiburan yang sudah tidak sesuai lagi ditonton walaupun ia berbentuk animasi kartun.

Antara sebab mengapa rancangan ini perlu dielakkan adalah untuk melatih anak berfikir secara kritikal dan mengelakkan anak dari terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat.

Kita boleh benarkan anak menonton dengan pantauan. Antara rancangan yang perlu dielakkan adalah yang mempunyai tema seperti berikut :

1) Cinta/Ghairah/Lucah

Ini bagi mengelakkan anak dari terpengaruh dengan adegan peluk/cium, kata-kata yang melalaikan dan aksi yang boleh menimbulkan ransangan yang tidak sepatutnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah apabila berlaku situasi di mana adegan-adegan tersebut sedang ditayangkan, ibubapa boleh memberitahu anak agar memalingkan muka, pesan agar jangan tengok kerana tak elok atau memberi kritikan seperti tak senonoh dan sebagainya. Ia sesuai dipraktikkan semenjak anak masih kecil lagi.

2) Mistik/seram

Ia perlu dielakkan supaya anak tidak menjadi seorang yang terlalu penakut tidak bertempat dan juga terlalu mempercayai kepercayaan yang boleh menjejaskan akidah.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah dengan mengingatkan anak bahawa kita hanya perlu takut pada Allah s.w.t. dan bukan sesama makhluk. Selain itu, boleh ajarkan anak doa sebagai pendinding diri agar anak lebih berkeyakinan diri.

3) Fantasi

Cerita yang bertemakan fantasi sememangnya menimbulkan perasaan seronok di hati anak-anak. Menonton secara berpada mungkin tidak mengapa, tetapi seeloknya dipantau supaya tidak menjadi fanatik.

Alternatifnya ibubapa boleh memilih rancangan yang bertemakan kisah realiti dan mempunyai contoh tauladan yang baik seperti kisah para rasul, sahabat nabi, dan juga kisah tokoh yang berjaya supaya dapat menjadi inspirasi buat anak.

4) Ganas

Jangan tak percaya. Siri kartun yang berwajah comel juga mempunyai adegan ganas seperti memotong leher sehingga kepala terputus dan darah memancut. Selain itu, aksi kurang sopan seperti menunjuk punggung dan berbogel boleh ditonton hanya dari rancangan kartun di kaca tv. Begitulah dekatnya pengaruh ini dengan anak kita. Itu belum lagi gaya dan bahasa percakapan yang didengar dari dialog. Contohnya seperti perkataan 'tak guna', 'bodoh', 'aku bunuh kau'.

Kadang-kadang beristighfar sendiri saya melihat rancangan yang ditayangkan untuk kanak-kanak. Apatah lagi apabila terdengar sendiri perkataan itu keluar dari mulut kanak-kanak yang masih pelat lagi berkata-kata. Sebutan sahaja belum betul, jumlah perkataan yang boleh disebut masih terhad. Tetapi sudah pandai menyebut perkataan kurang elok.

Itulah antara cabaran mendidik anak pada zaman kini. Perlu pantauan dari ibubapa. Apa yang diharapkan ialah agar anak dapat membesar dengan didikan yang melatihnya berfikir secara matang, bersifat realiti, berfikiran jauh dan masih mengamalkan budi bahasa yang sopan.

Mungkin dalam keadaan tertentu, ibubapa boleh menggunakan kuasa untuk menukar ke rancangan televisyen lain dan memegang remote semasa proses pantauan.

Semoga kita semua berjaya merealisasikannya.



No comments:

Post a Comment