Friday 8 May 2015

Entri 23 : Impian Seorang Ibu

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google



Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana telah diberi peluang merasai pengalaman menjadi seorang ibu.

Suatu anugerah dan nikmat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila diberi peluang menempatkan rezeki zuriat di dalam rahim ini.

Sungguh tiada yang akan lebih merasa sayang dan kasih kepada anak selain dari ibu itu sendiri. Kerana dia lah yang merasai segala susah payah semenjak hamil, dilahirkan ke dunia dan juga membesar di depan mata.

Kerana itu, kita usahlah terlalu mudah melabel seorang ibu sebagai tidak sayangkan anak atau tidak tahu menjaga anak. Percayalah, tiada yang lebih memahami keadaan seorang anak selain ibu kandung itu sendiri.

| IMPIAN |

Kadangkala seorang ibu boleh menjadi terlalu sensitif hanya kerana perkara-perkara yang kecil sahaja. Kadang seorang ibu boleh jadi tak lena tidur hanya risau tentang perkara yang belum diketahui tentang anaknya.

Setelah melalui kepayahan demi kepayahan, pasti seorang ibu itu memasang impian yang terbaik untuk anaknya. Ya impian. Impian yang mungkin sukar untuk dilaksanakan. Tetapi sudah menjadi fitrah seorang ibu, walau sesukar mana pun, tetap akan cuba direalisasikan sedaya mungkin.

Jadilah anak yang baik dan soleh

Semenjak dari dalam kandungan, ibu sering membacakan surah-surah yang baik untuk amalan ibu mengandung seperti Surah Yusof, Surah Maryam, Surah Lukmanul Hakim, Surah Ibrahim, Surah Al-Imran dan beberapa doa lain. Ibu juga sering membaca tips untuk kebaikan dirimu.

Moga-moga dikau dapat mendengarnya dan menjadikannya dekat di hatimu. Setiap kali dirimu mengambil sendiri Muqaddam, menyelak helaian seolah membacanya, terasa sejuk hati ibu. Walaupun ibu tahu, dirimu belum boleh membacanya, sekurangnya ibu tahu, dirimu sudah mempunyai usaha ke arah itu.

Ibu akan cuba sedaya upaya untuk terus cekal dan kuat semangat. Impian ibu agar ibu dapat mendidikmu dam mengajarmu membaca Al-Quran semenjak kecil lagi. InshaAllah.

Jadilah anak yang sihat dan cergas

Ibu juga rasa takut untuk makan sebarangan. Sebolehnya ibu usahakan mengambil rawatan menggunakan bahan semulajadi apabila sakit. Ibu tidak mahu dirimu terjejas dek kerana kealpaan ibu dalam menyalurkan makanan terbaik untukmu. Ibu mahu apa yang mengalir ke dalam darahmu, mengandungi khasiat terbaik yang akan membuatkan dirimu lahir ke dunia menjadi seorang anak yang sihat baik dari fizikal, mental, emosi dan akal.

Ibu juga sering memasang impian agar dikau mempunyai kemahiran sukan yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w. Jenis sukan yang menjadi target ibu agar dirimu dapat mempelajarinya suatu hari nanti. Kemahiran berenang, memanah dan menunggang kuda. 

Kerana itu, ibu merasa sangat teruja apabila ayah membawamu melihat dan menaiki kuda walaupun hanya sebentar. Ibu juga merasa sangat gembira apabila dapat menemanimu bermain-main air di dalam kolam. Ibu juga cuba menunjukkan cara bermain anak panah kepadamu walaupun hanya permainan. Moga-moga ia merupakan suatu pendedahan dan permulaan yang baik buat dirimu.

Jadilah anak yang bijak

Perhatian ibu yang utama adalah dirimu anakku. Ibu tidak kisah jika perlu mengemas barang-barang yang bersepah, memberus pakaian-pakaian kotor, jika itu dapat membantumu menjadi seorang anak yang bijak. Ibu tidak kisah jika terpaksa menahan mengantuk semata-mata ingin melayanimu bermain, agar dikau dapat belajar sesuatu darinya. Ibu mahu meluangkan masa berkualiti bersamamu.

Jadilah anak yang mempunyai jati diri yang kuat

Sungguh ibu merasa risau melihat realiti pada hari ini. Betapa besarnya cabaran untuk membesarkan anak dalam suasana yang baik. Ibu merasa benar-benar bersyukur dan bertuah kerana diberi peluang menjaga dirimu sendiri. Ibu akan cuba sebaik mungkin untuk mendidikmu.

Ibu mahu dirimu terbiasa untuk bangun awal pagi tanpa perlu dikejut. Ibu mahu setiap patah kata yang keluar dari bibirmu merupakan kata-kata yang baik dan sopan. Ibu mahu dirimu tahu menghormati mereka yang lebih tua dan tidak menindas yang lemah. Ibu merasa gembira apabila dirimu sudah menunjukkan minat dan kesungguhan untuk membantu ibu walaupun usiamu masih kecil.

Ibu akan cuba bersabar dan menunjukkan kepadamu sedikit demi sedikit tentang cara yang betul. Moga dikau membesar dengan memiliki sifat rajin dan bertanggunjawab yang tinggi. Moga dirimu menjadi seorang pembela dan pejuang.

Itulah sebahagian dari impian seorang ibu. Moga dipermudahkan untuk menjadi suatu realiti. Moga dirimu menjadi salah satu dari aset yang dapat membantu ibu di dunia dan akhirat nanti. Amin

Istimewa untuk mama Ungku Saiidah Binti Ungku Mohsin, terima kasih kerana telah menjadi ibu yang terbaik untuk Aida. Moga mama sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mama membesarkan aida. Terima kasih mama.

No comments:

Post a Comment