Wednesday 27 May 2015

Entri 37 : Pengalaman Menyediakan Stok Susu Ibu Di Tempat Kerja

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google

Assalamualaikum w.b.t.

Berikut adalah pengalaman saya sendiri ketika bergelar sebagai suri bekerjaya.

Saya percaya susu ibu juga merupakan satu dari cabang rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan. Jadi sebagai langkah permulaan, sebelum saya mula bekerja semula setelah cuti bersalin selama 2 bulan, saya memaklumkan kepada majikan, permintaan untuk mendapat pelepasan masa ketika bekerja untuk mengepam susu ibu. Ia sebagai salah satu usaha saya untuk mendapatkan keberkatan dalam rezeki yang diberikan.

Saya menghubungi beliau dan memaklumkan bahawa saya memerlukan masa lebih kurang 1 jam sehari bagi memperuntukkan masa khas untuk mengepam susu. Saya juga memaklumkan yang saya ingin meminta kebenaran untuk pelepasan ini dan bersedia untuk ditolak sejumlah wang dari elaun sebagai ganti. Tapi majikan saya memberikan respon yang menyejukkan hati. Dia memberi kebenaran dan tidak akan menolak sebarang elaun bagi tujuan itu. Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga. Sehingga hari ini saya masih lagi terasa terhutang budi kepada majikan saya itu. Moga-moga perniagaan beliau terus maju dan berjaya.

Antara aksesori yang digunakan oleh saya untuk menjayakan sesi mengepam di tempat kerja ialah :

1) Pam elektrik (Double)
Pam yang boleh berfungsi serentak sangat membantu untuk menjimatkan masa. Pastikan anda juga menyediakan peralatan untuk membersih seperti berus dan sabun. Setiap kali selesai guna, anda perlu membersihkan bahagian pam kecuali motor dan simpan di dalam satu bekas. Sebaiknya dianginkan semua peralatan.
* Tip : Selesai membilas, saya akan merenjiskan peralatan supaya lebih cepat kering. Bagi pejabat yang mempunyai mesin yang boleh membekalkan air sejuk atau panas, anda boleh membilas botol dan peralatan menggunakan air panas bagi tujuan basmikuman

2) Ice Pack (3 bungkus)
Bagi membantu mengekalkan suhu yang sejuk. Bagi pejabat yang mempunyai peti sejuk, ini merupakan satu kelebihan buat anda. Anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk. Kebetulan peti sejuk di tempat kerja saya rosak, jadi saya hanya menggunakan 'ice pack' dan 'cooler bag'. Ia berkesan untuk menyejukkan susu selama lebih kurang 10 jam. Rutin saya ialah, saya akan menyimpan ice pack di bahagian sejuk beku. Setiap pagi sebelum pergi ke tempat kerja, saya akan memasukkan ice pack itu ke dalam cooler bag. Setiap kali balik dari kerja pula, sampai sahaja di rumah, saya akan simpan susu dan ice pack ke dalam peti sejuk.

3) Cooler Bag
Saya hanya menggunakan cooler bag yang kecil. Muat untuk mengisi ice pack dan botol berisi susu yang telah diperah. Terdapat juga pilihan cooler bag yang bersaiz lebih besar dan muat untuk mengisi aksesori pam.

4) Nursing Cover
Sebaiknya yang labuh dan tidak jarang.

5) Handsfree bra dan Baju Menyusu
Memberi kelebihan kepada anda dari segi fleksibiliti ketika mengepam. Anda boleh pam sambil melakukan kerja lain.

6) Bekas untuk menyimpan susu
Kadangkala kita terlupa untuk membawa bekas untuk menyimpan susu yang telah diperah. Antara alternatif yang boleh dilakukan ialah membeli bekas plastik. Setelah isi susu, ikat dengan kemas dan simpan dalam cooler bag. Atau beli air dalam botol seperti 'Bliss' di kedai berhampiran. Setelah minum air tersebut, boleh basuh dan simpan susu di dalamnya.

7) Telefon Bimbit
Saya menggunakan telefon bimbit untuk mencipta suasana tenang dengan melihat gambar anak saya. Ternyata berkesan untuk melepaskan rasa rindu kepada anak dan juga meningkatkan hormon yang membantu penghasilan susu untuk keluar dengan lebih mudah dan banyak.

Saya menggunakan bilik pantri sebagai tempat untuk saya melakukan aktiviti mengepam. Dalam sehari saya memperuntukkan 2 kali sesi untuk membuat stok. Setiap kali sesi pam dijalankan, saya akan mengunci bilik pantri.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan memesan kepada rakan sebilik supaya jika ada sesiapa mencari, dia dapat memaklumkan situasi saya.

Setelah agak selesa, saya juga cuba mempraktikkan pam sambil buat kerja. Oleh kerana kerja saya kadangkala melibatkan kerja yang hanya perlu disiapkan menggunakan komputer, saya akan menyusun sebaiknya supaya saya dapat menghabiskan kerja dengan effisien.

Antara tips yang saya amalkan sebelum mempraktikkan pam di tempat sendiri ialah:
  • Pastikan memilih pam yang mempunyai bunyi yang kurang bising supaya tidak mengganggu pekerja yang lain
  • Sediakan bantal untuk menutup motor pam bagi meminimumkan bunyi
  • Pakai siap-siap semua aksesori dan cuba dahulu hidupkan pam di bilik lain bagi mendapatkan posisi yang paling selesa
  • Maklumkan rakan sekerja yang paling hampir supaya dia faham dan tidak perlu banyak bertanya
  • Selepas memakai 'nursing cover', pakai tudung yang labuh untuk kesan yang lebih selesa
  • Proses memakai dan menanggalkan pam boleh dilakukan di tempat lain
  • Pastikan plug untuk memasang 'adaptor' berada dalam jarak yang berdekatan. Jika tidak, gunakan power bank atau bateri
  • Untuk mendapatkan hasil yang memberansangkan, pastikan pam dalam keadaan selesa, tidak tergesa-gesa, dan konsentrasi ketika membuat kerja. Ini sangat membantu untuk menghasilkan 'Let Down Refleks' yang berkali-kali
Sekian dahulu perkongsian unttuk kali ini. Moga bermanfaat.



No comments:

Post a Comment