Thursday 7 May 2015

Entri 22 : Catatan Harian 06.05.2015 (Rabu)

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Pagi ini saya ada temujanji di klinik untuk pemeriksaan mengandung. Walaupun klinik dibuka pada pukul 8.00 pagi. Tapi seawal 7.15pagi, saya telah pun bersiap sedia untuk bergerak ke klinik.

Memang saya sengaja pergi awal untuk mendapatkan nombor giliran paling awal. Sebabnya, bila pergi awal, urusan pun dapat diselesaikan awal. Bila urusan dapat diselesaikan selewatnya 8.30pagi, suami dapat menghantar dan mengambil saya sebelum pergi ke tempat kerja.

Jika tidak, saya terpaksa meminta pertolongan ipar pula. Sebolehnya nak elak, sebab taknak menyusahkan mereka.

Sampai di klinik lebih kurang 7.30 pagi. Awal kan. Tapi ada lagi yang lebih awal. Nombor giliran saya adalah No. 3

Alhamdulillah pemeriksaan mengandung normal kecuali bacaan HB agak rendah sedikit. Saya kena jaga pemakanan dengan lebih gigih lagi. Kuatkan semangat!

Bercerita tentang cuaca pula, cuaca di Kuala Terengganu buat masa ni memang agak panas. Memang terasa perbezaannya masa saya balik Johor Bahru sebelum ini. Sejak akhir-akhir ni, saya akan mandi setiap kali sebelum bersolat. Maksudnya 3-5 kali sehari. Sebab terlalu bahang jadi badan mudah berpeluh dan menimbulkan rasa kurang selesa.

Yang paling kasihan adalah anak kecil. Kadang kala saya hanya membiarkan anak saya tidur tidak berbaju. Hanya memakai 'pampers' sahaja. Supaya dia lebih selesa. Saya juga menyapukan bedak di leher, belakang badan dan juga celahan 'pampers' untuk mengurangkan rasa kurang selesa akibat peluh.

Bahangnya terasa walaupun pada waktu malam. Ada 1 malam, saya terpaksa bangun untuk membilas badan anak, kerana dia tidak boleh tidur. Waktu itu jam 1.30 pagi. Anak asyik mengadu gatal. Kasihan sungguh.

Waktu siang pula memang saya tak galakkan anak keluar bermain, kerana cuaca terlalu panas. Untuk menghiburkan hatinya, saya beri peluang dia mandi dan main air lebih lama dari hari biasa.

Waktu bermain di luar pula, saya tunggu hingga lewat petang, cuaca agak redup sedikit, baru saya benarkan dia keluar. Walaupun hanya berjalan-jalan dan tidak terlibat dengan pergerakan yang terlalu banyak, dia sudah mula berpeluh dengan banyaknya walaupun dalam masa yang singkat. Kalau dalam bahasa Terengganu, mereka sebut 'Peluh jeruk'. Ia bermaksud, terlalu banyak berpeluh sehingga basah lencun baju atau rambut.

Walaubagaimanapun, terdapat 2 golongan yang berasa sangat gembira dan seronok dengan cuaca panas begini. Agak-agak siapa ya.

1) Mereka yang membasuh pakaian. Tiada yang lebih menggembirakan dalam aktiviti basuh-membasuh apabila baju yang dijemur, cepat sahaja kering. Waktu panas macam ni, nak basuh beberapa kali 'trip' pun boleh. Bila pakaian cepat kering, tak perlu lah nak berebut ampaian lagi. :)

2) Peniaga-peniaga buah dan minuman. Ini kerana waktu beginilah, biasanya jualan mereka dapat mencapai rekod jualan yang agak tinggi berbanding hari biasa.

Oklah sekian dahulu catatan untuk kali ini.

Dalam sedar tak sedar, dah masuk entri ke 22. Moga terus dikuatkan semangat untuk konsisten dalam menulis. Amin

No comments:

Post a Comment