Monday 4 May 2015

Entri 19 : Luasnya Makna Sedekah

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google



Assalamualaikum.

Entri kali ini, saya ingin kongsikan beberapa petikan dari rancangan 'Tanyalah Ustaz' pada pagi tadi yang bertajuk 'Luasnya Makna Sedekah'. Perkongsian ini telah disampaikan oleh salah seorang perunding motivasi iaitu Ustaz Asrul Nizam Abas.

Terdapat 2 ciri penting yang perlu kita lihat sebelum bersedekah.

1) Kemampuan kita

Sebanyak mana kita bersedekah adalah bergantung kepada sebanyak mana yang kita mampu. Sedekah tidak terhad hanya kepada wang ringgit semata-mata.

Jika kita mempunyai kepakaran tertentu dalam suatu bidang, dan kita berkongsi ilmu yang kita ada untuk membantu menambah nilai dalam hidup orang lain, ia juga dikira bersedekah.

Jika seseorang berada dalam kesusahan, kita membantu memberi cadangan cara untuk menyelesaikannya, ia juga dianggap sebagai sedekah.

Jika kita tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersedekah, jangan rasa rendah diri atau bersedih. Kita juga boleh bersedekah dengan hanya memberikan senyuman dan layanan mesra yang membuatkan seseorang gembira bersama kita.

2) Keperluan penerima

Kadangkala ada orang susah yang datang kepada kita dengan niat untuk meminta cadangan atau pendapat dari kita.

Cara yang betul adalah cuba memahami keperluan orang tersebut. Usah terlalu cepat membuat keputusan untuk memberi sedekah dalam bentuk wang.

Boleh jadi, dia sebenarnya lebih suka berusaha sendiri untuk mendapatkan wang hasil titik peluh sendiri.

Boleh jadi, dia ingin belajar menambah kemahiran, jadi kita boleh bantu dengan mengajarnya atau memberi maklumat di mana dia boleh mendapatkan ilmu tersebut.

Boleh jadi juga, dia sudah ada kemahiran, cuma tidak mempunyai peralatan yang cukup, mungkin kita boleh bantu dengan memberi sedekah peralatan yang sesuai yang boleh membantu.

Luasnya makna sedekah. Jika kita betul-betul memahaminya, inshaAllah kita pasti sentiasa ada sesuatu untuk disedekahkan. InshaAllah.

Sekian dulu entri untuk kali ini. Jom sama-sama bersedekah. Moga Allah meluaskan lagi rezeki kita semua. Amin.


No comments:

Post a Comment