Saturday 9 May 2015

Entri 24 : Tip Suami Bantu Isteri Kekal Cantik Menawan Walau Setelah Mempunyai Anak

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Ramai suami yang mengeluh apabila isteri mereka sudah tidak kelihatan menawan seperti semasa awal-awal perkenalan. Wajah kelihatan lesu, bentuk badan yang semakin mengembang dan juga kulit yang kurang gebu. Itu antara perubahan yang sering berlaku kepada isteri selepas melahirkan anak.

Jadi apa penyelesaiannya? Keluhan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah. Apa kata cuba tip di bawah ni. Salah satu tanggungjawab suami kan menjaga isteri. Mari kita lihat apa antara peranan yang boleh di ambil oleh suami bagi membantu isteri kekal cantik menawan walau setelah mempunyai anak.

1) Bekerjasama dalam menguruskan urusan rumahtangga dan menjaga anak

Ni antara tip paling penting.

Kebanyakan isteri dipersalahkan kerana dikatakan tidak mahu menjaga penampilan setelah berkahwin dan mempunyai anak. Tetapi realiti yang berlaku sebenarnya ialah, mereka terlalu sibuk menguruskan urusan rumahtangga dan anak sehingga tidak mempunyai masa rehat dan tidur yang cukup. Kesannya wajah isteri kelihatan kusam tidak bermaya kerana keletihan.

Apabila suami sama-sama menguruskan rumahtangga dan anak, ini memberi peluang untuk isteri mendapatkan rehat dan tidur yang cukup. InshaAllah pasti isteri akan lebih segar dan bersemangat setiap hari.

2) Peruntukan wang khas untuk penjagaan kecantikan isteri

Suami yang benar-benar ingin isterinya tampil sentiasa cantik menawan boleh menyediakan peruntukan khas untuk isteri bagi tujuan ini. Peruntukan ini boleh digunakan isteri untuk memanjakan diri dan menjaga penampilan seperti membuat rawatan 'facial', urutan dan spa, pergi ke 'gym', beli supplemen kesihatan, mengamalkan petua-petua kecantikan dan sebagainya.

Bagi suami yang berkemampuan, mungkin boleh menyediakan peruntukan ini setiap bulan. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan, apa salahnya sesekali buat kejutan dengan belanja isteri pergi buat rawatan spa atau aromaterapi, pasti isteri berasa sangat gembira.

3) Memberi sokongan

Isteri adalah cerminan bagi suami dan begitu juga sebaliknya. Suami yang ingin isterinya kekal cantik menawan boleh bertindak sebagai perunding imej isteri.

Berikan komen-komen yang membina buat isteri anda. Belikan baju yang sesuai dan padan dengan isteri anda dan menepati pandangan mata anda. Belikan peralatan kosmetik yang sesuai, pakaian, minyak wangi supaya isteri anda dapat menjaga penampilan dan sentiasa kelihatan menarik di depan anda.

4) Menjaga emosi

Suami yang pandai mengambil hati isteri dengan bersikap romantik, pandai berjenaka dan membuat isteri terhibur lazimnya mempunyai isteri yang kelihatan cantik dan berseri-seri. Ini kerana perasaan terhibur dapat merembeskan hormon yang boleh membuat jiwa merasa tenang, teruja dan ceria. Bukan itu sahaja, ia juga baik untuk kesihatan isteri.

Jangan biarkan isteri merasa kesunyian. Suami juga boleh meluangkan masa membawa isteri beriadah pada hujung minggu. Riadah dapat meningkatkan mood isteri sekaligus membangkitkan semangat isteri yang keletihan dan kebosanan apabila sentiasa terperap di rumah.

5) Menghargai isteri 

Ucapkan terima kasih. Belikan buku-buku motivasi, hantar isteri untuk menghadiri kelas-kelas atau seminar untuk menambahkan ilmu seperti kelas bisnes, kelas masakan, kelas jahitan dan sebagainya. Pasti isteri berasa lebih dihargai oleh suami.

Pastikan segala keperluan isteri terjaga seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan. Jaga isteri sebaiknya ketika isteri mengandung, melahirkan dan berpantang. Aset paling berharga bagi seorang wanita adalah rahimnya. Carikan tukang urut terbaik yang dapat mengembalikan kesegaran isteri semasa berpantang. Pastikan isteri mendapat rehat dan rawatan yang secukupnya semasa berpantang agar kesihatannya kembali pulih. Apabila kesihatan wanita itu terjaga, inshaAllah dia akan dapat mengekalkan kecantikannya dan terus tampil menawan.

6) Ubah pandangan suami

Apa yang paling penting adalah penerimaan suami terhadap isterinya. Perubahan fizikal kadangkala memang tidak dapat dielakkan. Tetapi suami yang baik akan menyedari tentang suatu hakikat iaitu kecantikan yang kekal adalah yang datang dari hati dan dalaman seorang isteri.

Usap dan renunglah wajah isteri dengan pandangan penuh kasih sayang. Doakan isteri setiap kali lepas solat. Berdoa lah juga moga pandangan suami dipelihara agar sentiasa nampak kecantikan isteri yang sudah halal untuknya serta dipelihara dari pandangan tipu daya nafsu dan perhiasan dunia.

Sekian sahaja perkongsian untuk kali ini.


No comments:

Post a Comment