Tuesday 12 May 2015

Entri 26 : Kenangan Sebagai Pelajar Kolej KYPM Kuantan

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto Kredit : Sahrul Bariah Ahmad (FB : Sya Ahmad)

Assalamualaikum w.b.t.

Tahun 2000-2003 merupakan tahun saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam di Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Kuantan. Ia merupakan salah sebuah pengalaman yang berharga buat diri saya.

Ini kerana ia merupakan kali pertama saya berjauhan dari keluarga.

Sesampainya di sana, dapat dilihat suasana tenang mengelilingi kawasan kolej. Kolej ini terletak di tengah kawasan perumahan ala-ala kampung.

Pintu Masuk Kolej (Gambar Tahun 2013). Banyak perubahan yang berlaku setelah 10 tahun meninggalkan kawasan kolej.

Semasa urusan pendaftaran dibuat, saya dan keluarga dimaklumkan bahawa hostel telah penuh dan saya dan beberapa pelajar lain akan ditempatkan di sebuah kawasan penempatan sementara. Perasaan ketika itu bercampur baur kerana tidak pasti di manakah kami akan ditempatkan. 'Jika jauh, bagaimana pula hendak pergi ke kelas? Bukannya kami ada kenderaan sendiri'. Demikian antara dialog yang bermain dalam fikiran saya ketika itu. 

Walaubagaimanapun, ada hikmah yang tersembunyi, sesungguhnya aturan Allah itu yang terbaik. Tempat penempatan sementara itu rupa-rupanya sebuah apartment yang boleh menempatkan 4 orang pelajar dalam sebuah rumah. Apartment yang lengkap dengan perabot, cadar bercomforter, peti ais, set televisyen serta air-cond. Wah tak sangka berkesempatan tinggal di penempatan yang seselesa itu. Perasaan sedih tadi bertukar gembira.

Oleh kerana penempatan itu agak jauh dari kawasan Kolej, kami berulang alik dari Apartment ke Kolej menggunakan bas kepunyaan kolej. Oleh kerana waktu yang sangat terhad, kami juga dikecualikan dari beberapa aktiviti semasa proses Orientasi. Ini bermakna kami semua terlepas dari sesi didenda atau 'ragging' oleh pelajar senior. Hehe.

Setelah beberapa minggu ditempatkan di kawasan penempatan sementara, akhirnya kami dibawa ke hostel kami. Sebuah bangunan lama yang mempunyai 3 tingkat. Saya mendapat bilik di tingkat bawah sekali dan berhampiran dengan pintu masuk.

Hostel saya dahulu. Alhamdulillah semakin berseri setelah kerja penambahbaikan dilakukan. (Gambar tahun 2013)
Teman sebilik saya bernama Juleyana Jemain. Seorang gadis yang juga berasal dari Johor Bahru. Seorang yang pemalu, sopan dan pengemas. Oleh kerana dia mempunyai tulisan yang cantik dan kemas, buku notanya sering menjadi rebutan untuk dipinjam oleh rakan-rakan. Keluarganya dan keluarga saya juga begitu rapat. Setiap kali balik ke Johor Bahru, kami akan balik bersama-sama. Kami juga sering berdua bila pergi ke mana-mana, sehingga digelar seperti belangkas. Hehe.
Tetapi sejak dia berpindah ke Kulai mengikut suaminya dan menukar nombor telefon, saya sudah lama tidak mendapat khabar berita darinya. Kali terakhir berjumpa adalah ketika dia menghadiri majlis perkahwinan saya lebih kurang 3 tahun yang lepas.

Kawasan kolej ini tidak terlalu luas, semua bangunan boleh dilihat dari bilik sahaja. Jarak perjalanan yang dekat sangat memudahkan kami untuk pergi ke mana-mana dalam waktu yang singkat. Kemudahan ini saya manfaatkan dengan menggunakan masa untuk berjumpa pensyarah setiap kali ada kesempatan.

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. InshaAllah saya akan kongsikan pengalaman lain dalam entri akan datang. :)








No comments:

Post a Comment