Wednesday 13 May 2015

Entri 27 : Tip Kembalikan Semangat Para Suri

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google



Teringat lagi semasa zaman persekolahan. Terdapat sesi bertukar-tukar buku biodata bersama rakan-rakan. Antara isi kandungan biodata yang akan diisi adalah cita-cita, makanan kegemaran, minuman kegemaran dan hobi. Seronok melihat masing-masing memenuhkan buku tersebut dengan cara tersendiri. Siapa yang mempunyai tulisan yang cantik dan kreatif, tentu sahaja mendapat perhatian yang lebih.

Semasa zaman persekolahan di sekolah rendah, cita-cita saya tidak tetap dan sering berubah. Antara cita-cita yang sering dipilih adalah jawapan 'standard' seperti guru, doktor, arkitek, jurutera, peguam dan lain-lain. Tapi salah satu cita-cita yang memberi makna dan sedikit berlainan yang saya masih ingati sehingga ke hari ini ialah cita-cita menjadi seorang surirumahtangga yang berjaya.

Ya dan sekarang saya perlu realisasikannya. :)

Memang tak semudah yang disangkakan. Dan saya percaya ramai yang memasang cita-cita ingin menjadi surirumah sepenuh masa, menumpukan perhatian kepada keluarga dan menjaga anak sendiri, tetapi masih belum diberi peluang itu.

Jadi salah satu dari cara saya mengekalkan momentum untuk terus bersemangat ialah mengingatkan diri sendiri betapa bertuahnya dapat memiliki peluang itu.

Tidak dinafikan, terdapat juga hari-hari di mana saya diuji dengan perancangan yang tidak menjadi, fikiran yang kusut dan rasa kurang bersemangat. Kadangkala ia memang tidak dapat dielakkan.

Tetapi walau bagaimana sekalipun, perasaan sebegitu tidak boleh dibiarkan. Saya akan mengambil masa untuk menenangkan diri sendiri dan bermuhasabah.

Antara strategi yang berkesan untuk diri saya untuk menaikkan semula semangat adalah:

1) Beristighfar
Saya akan ucapkan 'Astaghfirullah' banyak-banyak kali dalam hati. Salah satu penawar yang baik untuk merawat hati yang tidak tenang.

2) Minum air masak
Kadang kekurangan air dalam badan juga boleh menyumbang kepada aliran darah yang kurang lancar dan menyebabkan fikiran menjadi hilang tumpuan

3) Melatih diri bernafas dengan betul
Menyedut nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Teknik pernafasan amat membantu di kala kita terasa seperti dada terlalu sesak dan letih

4) Mandi dan mengambil wuduk
Cuaca yang panas dan keadaan badan yang tidak selesa dapat diatasi dengan mandi dan mengambil wuduk. InshaAllah badan akan terasa lebih lega sekaligus membantu menaikkan semula semangat

5) Makan sesuatu yang manis
Ada yang memilih untuk makan coklat, aiskrim dan kek. Tetapi saya lebih suka memilih untuk memakan buah-buahan seperti mempelam yang masak ranum untuk kembali bersemangat. Lebih berkhasiat dan segar. Alangkah nikmatnya.

6) Membaca petikan ayat motivasi
Sebab tu pentingnya memilih rakan yang mempunyai aura yang positif. Kadangkala bila rasa tak bersemangat, tiba-tiba terpandang status rakan yang berkongsi motivasi. Otomatik aura positif turut terkena tempiasnya kepada kita.

7) Ambil angin di luar
Surirumah sangat sinonim dengan situasi banyak menghabiskan masa di dalam rumah. Sekali sekala keluar melihat pemandangan, melihat haiwan-haiwan peliharaan, berbakti pada tanah. Itu juga merupakan hobi dan santapan rohani yang baik

8) Melakukan ibadah sunat
Membaca Al-Quran dan terjemahan, melakukan solat sunat dan bersedekah. InshaAllah keberkatannya akan mengalir dalam diri yang membuatkan kita menjadi terus bersemangat seumpama bateri yang telah dicaj.

Moga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment