Monday 18 May 2015

Entri 31 : Menemani Anak Bermain Di Luar

Teks dan Foto : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Pada hari Jumaat lepas, saya dan anak berpeluang mengikut suami pergi berjumpa dengan seorang kenalan. Kenalan tersebut berminat untuk mendapatkan sebutharga bagi membuat kerja-kerja membaikpulih rumah.

Sesampainya di sebuah kawasan, suami memberhentikan kereta. Kawasan tersebut mempunyai ruang yang kecil di antara sebuah rumah ke sebuah rumah lain. Oleh kerana rumah yang ingin dilihat terletak agak jauh juga ke dalam, saya mengambil keputusan untuk hanya menunggu di dalam kereta bersama anak.

Peluang yang ada saya gunakan untuk memerhatikan keadaan sekeliling. 

Saya tersenyum tatkala terpandang di suatu sudut. Dalam hati saya berkata sendiri 'Pasti pemilik rumah ini mempunyai anak kecil sebaya Afi. Ni antara aktiviti yang Afi juga suka lakukan pada waktu petang'.


Kelihatan beberapa permainan lori kecil dan bulldozer di kawasan tanah. Terdapat juga kawasan tanah yang berlubang kerana dikorek. Selain itu, balang kosong dan cerek air yang mungkin juga digunakan semasa aktiviti permainan dijalankan.

Ada ibubapa yang berasa risau atau takut memberi peluang kepada anak untuk bermain seperti ini. Terdapat banyak sebab, antaranya kerana risau anak terdedah kepada kotor dan kuman.

Tapi saya percaya, pengalaman bermain seperti ini adalah amat baik untuk perkembangan anak. Inilah masanya mereka belajar meneroka dengan keadaan sekeliling. Anda akan dapat lihat mereka begitu teruja ketika dapat merasa pasir atau tanah, belajar memasukkan batu ke dalam baldi, belajar mengangkat pasir menggunakan serkup ke dalam lori dan sebagainya.

Jika ibubapa berasa risau, inilah masanya anda boleh memperuntukkan masa untuk bermain bersama anak-anak. Layankan sahaja dan perhatikan agar tiada sebarang perkara yang yang boleh mendatangkan bahaya berlaku. Selain itu, anda boleh pastikan anak sentiasa memakai selipar dan membasuh tangan setiap kali selepas bermain.

Selain itu, anda hanya perlu perhatikan dan nikmati saat-saat indah melihat perkembangan anak anda di depan mata sendiri.

Kadangkala kita tidak perlu memperuntukkan wang yang banyak untuk membeli permainan yang mahal-mahal untuk anak. Cukup sekadar kita memberikan perhatian dan menemani mereka ketika bermain. Pasti mereka berasa sangat gembira.

Saya dapat rasakan keadaan ini. Walau bagaimana khusyuk Afi ketika bermain, sesekali dia akan menjengah dan memandang ke arah saya. Apabila terlihat saya sedang memandangnya, dia pasti akan tersenyum dan kemudian meneruskan aktivitinya.

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini.

2 comments:

  1. anak-anak sekarang jarang dapat pelung untuk bermain di luar kan..sedangkan benda tu sangat elok untuk perkembangan mereka..

    ReplyDelete
  2. @Siti Badariah Baharin Ya betul tu. Mungkin kekangan masa. Mungkin juga ada yang risau tentang faktor keselamatan. Tapi mungkin ibubapa boleh meluangkan masa pada hujung minggu untuk menemani anak. Pasti anak gembira. :)

    ReplyDelete