Tuesday 26 May 2015

Entri 36 : Kaitan Solat Dengan Ciri-ciri Orang Yang Berjaya

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Muslim yang berjaya adalah muslim yang dapat menunaikan solat dengan sempurna.

Antara ciri-ciri solat yang sempurna adalah seperti berikut:

1) Fokus

Solat yang khusyuk dapat melatih seseorang untuk fokus dalam menjayakan sesuatu. Fokus hanya dapat dicapai jika kita tahu apa tujuan kita bersolat, apa hikmah yang ingin dicapai, dan sedaya upaya mendapatkan mutu solat yang berkualiti. Antara ciri yang perlu ada adalah faham maksud setiap perkataan, menghayati sepenuhnya bacaan dalam solat, ikhlas dalam menjalankan ibadah solat dengan objektif mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kaitannya dengan ciri orang yang berjaya ialah mereka yang berjaya mempunyai kadar fokus yang tinggi dan mempunyai matlamat yang jelas dalam mencapai sesuatu objektif. Mereka melakukan sesuatu dengan persediaan yang cukup, sempurna dan sungguh-sungguh.

2) Penuh Etika

Solat yang sempurna dilakukan dengan penuh tertib, tenang dan tidak tergesa-gesa. Ini termasuk menjaga posisi supaya dapat memberikan impak kepada kesihatan fizikal yang optimum. Selain itu, mereka yang mementingkan solat yang sempurna juga bukan hanya menekankan perkara-perkara wajib dalam solat tetapi juga perkara-perkara sunat supaya solat yang terhasil dapat dipersembahkan dalam bentuk yang terbaik.

Kaitannya dengan ciri orang yang berjaya ialah mereka yang berjaya mempunyai sikap sentiasa memberikan yang terbaik apabila melakukan sesuatu kerja. Mereka sangat menjaga adab-adab supaya hasil kerja mereka berkualiti dan mempunyai kelas yang tersendiri. Mereka juga sering menambah ilmu dan melakukan penambahbaikan untuk lebih berjaya.

3) Pantas Bertindak

Orang yang berjaya lazimnya mempunyai rutin melakukan ibadah solat pada awal waktu dan tidak bertangguh-tangguh. Yang paling terbaik ialah sudah bersiap sedia dari sebelum masuk waktu dan menunggu waktu azan untuk solat berjemaah di masjid. Selain itu, solat wajib yang dikerjakan diawali atau diakhiri dengan solat sunat sebagai pelengkap.

Kaitannya dengan orang yang berjaya ialah orang yang berjaya adalah orang yang pantas bertindak. Mereka mengambil peluang untuk menjadi orang yang terawal dalam menyelesaikan sesuatu tanggungjawab.

4) Mementingkan Imej Yang Baik

Orang yang benar-benar menjaga solat juga sangat menjaga penampilannya dengan cara mengenakan pakaian yang bersih, menutup aurat dan menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka.

Orang yang berjaya juga sangat mementingkan mutu perkhidmatan. Ini memberi kesan dalam penjenamaan diri sebagai muslim dan dalam masa yang sama dapat berdakwah melalui akhlak yang baik dan menunjukkan contoh yang baik.

5) Pengaruhi Kesan Positif

Kesan dari solat yang sempurna dapat dilihat apabila ia dapat mencegah seseorang muslim itu dari melakukan perkara yang keji dan mungkar.

Orang yang berjaya hidupnya dikelilingi dengan kesan-kesan yang positif. Akhlak yang baik akan menyebabkan seseorang itu memperolehi hidup yang lebih diberkati, dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.

Sekian dahulu perkongsian pada kali ini. Jom kita perbaiki solat kita agar seiring dalam menuju kejayaan dan menjadi orang yang lebih berjaya.

No comments:

Post a Comment