Sunday 31 May 2015

Entri 41 : Tip Penting Agar Mendapat Rezeki Yang Diredhai Allah

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Pernah tak kita terdetik di hati mengapa rezeki seakan banyak yang masuk tapi sering juga tak cukup atau tidak tahu pergi ke mana. Atau mungkin beroleh rezeki yang banyak tetapi hati tidak tenang seakan ada sesuatu yang tidak kena. Jika ada, mungkin kita boleh semak dari segi keredhaan dan keberkatan rezeki tersebut.

Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan beberapa tip sebagai panduan bagi kita dalam mencari rezeki agar rezeki yang diperolehi mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Terdapat 5 syarat yang perlu dipenuhi agar sumber rezeki yang dicari mencapai matlamat untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan diiktiraf sebagai ibadah.

1) Niat untuk mendapat keredhaan Allah

Niat yang baik. Setiap amalan kita akan dinilai bergantung kepada niat. Pastikan walau apa jua tujuan kita mencari rezeki sama ada untuk menyara keluarga atau membantu memakmurkan ummah, ia masih dalam rangka mencapai keredhaan Allah. Kita juga boleh mengamalkan adab-adab untuk mendapatkan hasil yang terbaik seperti berdoa di saat susah dan senang, bersyukur dan bermuhasabah diri.

2) Pastikan kerja mematuhi hukum Allah

Ia merupakan salah satu etika yang penting agar sumber rezeki yang diperolehi adalah halal dan tidak mengandungi sebarang unsur syubhah yang boleh menjejaskan keberkatan rezeki kita. Pastikan rezeki yang diperolehi tidak melibatkan sebarang benda dilarang, riba' dan unsur penipuan.

3) Menjaga akhlak yang mulia

 Pastikan semasa kita melakukan kerja, kita tidak melakukan sebarang perkara yang ditegah oleh Allah seperti rasuah, pecah amanah, mencaci dan apa-apa perkara yang boleh mengakibatkan kerugian. Akhlak yang mulia sangat penting kerana ia dapat menjaga kemuliaan peribadi orang yang melakukannya, menaikkan wibawa serta prestasi syarikat. Akhlak yang mulia dapat menjaga nama baik seorang muslim dan nama baik agama Islam.

4) Prestasi terpuji

Yang dimaksudkan sebagai prestasi terpuji ialah kerja yang teliti, bersungguh-sungguh dan penuh tumpuan. Seorang Muslim yang mempunyai prestasi yang terpuji akan bersikap lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar kerja yang terhasil adalah yang berkualiti dan cemerlang. Sikap ini sangat dituntut dalam Islam agar tidak berlaku pembaziran, kerugian dan juga  agar keselamatan ummah lebih terjamin.

5) Tidak lalai dari ibadah khusus

Walau bagaimana sibuk dan berat pekerjaan kita, kita tetap wajib menjaga ibadah khusus seperti solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan sebagainya. Perlu kita tekadkan dalam hati bahawa, tanggungjawab kita sebagai hamba Allah adalah lebih penting dan perlu diutamakan berbanding yang lain-lain.

Moga dengan mengamalkan tip-tip ini, rezeki kita mendapat keberkatan dan ganjaran kebaikan bukan sahaja di dunia, tapi juga di akhirat. Amin. Semoga bermanfaat.

Sumber Asal : Buku 'Halal Living'
Terbitan : Kemilau Publika Sdn Bhd
Penulis : Mohd Harith Mahmud

No comments:

Post a Comment