Monday 1 June 2015

Entri 42 : Inspirasi Dari Mama dan Papa Di Kala Berjauhan Dari Keluarga

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Nuraida Mohd Harith (Koleksi Peribadi)

Assalamualaikum w.b.t.

Walaupun pernah mempunyai pengalaman berjauhan dengan keluarga ketika melanjutkan pelajaran selepas tamat SPM dahulu, pengalaman berada berjauhan dari keluarga kali ini kerana berpindah mengikut suami tetap memberikan pengalaman dan rasa yang berbeza. Saya pasti ramai yang akan mengakui hakikat ini.

Saya berasal dari Johor Bahru. Berpindah ke Kuala Terengganu sejak bulan Julai tahun lepas. Pejam celik hampir setahun bermastautin menjadi penduduk negeri Terengganu Darul Iman ini.

Jika dulu masa masih belajar, setiap kali cuti semester, kita akan berpeluang untuk balik ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga. Selain itu, kita juga sudah mempunyai tarikh yang tetap dan boleh mengira-ngira bila akan tamat belajar dan pulang ke kampung masing-masing.

Berlainan dengan berpindah mengikut suami, ditambah pula dengan jarak perjalanan yang agak jauh, mengambil masa hampir 9 jam masa perjalanan, masa yang dapat diluangkan bersama keluarga di kampung semakin terhad.

Jika dulu, masih bujang, masih belum membabitkan banyak komitmen. Barang yang perlu dikemas dan dibawa pun tak banyak. Bersiap-siap sendiri, beli tiket bas, dan terus boleh bergerak untuk balik ke kampung.

Tapi sekarang, segalanya perlu diatur sebaik mungkin. Perlu mencari masa yang sesuai untuk balik ke kampung. Mujur suami bekerja sendiri, jadi masa boleh dikatakan agak fleksibel juga. Cumanya masih perlu menyusun masa agar dapat menepati target masa yang ditetapkan agar perkhidmatan bersama pelanggan dapat dijaga sebaik mungkin.

Selepas berkahwin dan mempunyai anak, komitmen juga semakin bertambah. Mujur anak masih kecil, jadi masih belum terikat dengan waktu persekolahan. Pun begitu, persediaan yang secukupnya amat penting agar perjalanan dapat diteruskan dengan lancar dan sampai dengan selamat.

Lumrah kehidupan, ada masa kita diuji dengan pelbagai dugaan dalam kehidupan. Dan ada ketika, kita rasakan bahawa hanya keluarga kita yang paling memahami situasi dan keadaan kita.

Untuk mengembalikan semangat, gambar-gambar kenangan akan dibelek semula. Video lama ditayangkan berulang kali untuk melepaskan rindu. Mujur juga sekarang, ada telefon bimbit, mudah untuk dihubungi pada bila-bila masa. Mendengar suara di telefon, sekadar berborak-borak bertukar cerita dan mengetahui perkembangan pun sudah dapat melegakan hati. Bahagian paling saya suka ialah, setiap kali sebelum meletak telefon, saya akan mendengar pesanan-pesanan yang menyejukkan hati dan menaikkan semangat.

Tetapi ada lagi kenangan yang memberikan nilai sentimental yang tinggi buat diri saya di kala berjauhan dari keluarga. Iaitu gambar sekeluarga ketika hari raya. Sebab itu, setiap kali hari raya, apabila semua ada berkumpul, kami pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama, lengkap tanpa terkecuali walau seorang pun. Walaupun ada giliran untuk balik ke kampung belah mertua, kami pasti akan cuba menetapkan masa untuk berkumpul dan bergambar bersama walaupun bukan pada hari raya pertama.

Gambar keluarga merupakan salah satu pembakar semangat saya juga semasa zaman menjadi pelajar dahulu. Saya akan mencuci sekeping gambar keluarga dan meletakkannya di bingkai dan diletakkan di atas meja belajar. Setiap kali nak belajar, apabila terpandang gambar itu, pasti akan rasa sentiasa bersemangat.

Sebelum saya mengikut suami berpindah ke Kuala Terengganu, saya juga ada membuat persediaan untuk menyediakan sesuatu yang dapat memberikan inspirasi buat saya iaitu nota inspirasi dan doa dari mama dan papa. Inilah yang akan saya bawa ke Terengganu untuk melepaskan rindu pada mereka dan sebagai penaik semangat saya. Kenangan dari mama ialah sebuah buku berisi pelbagai doa untuk rujukan saya. Kenangan dari papa pula ialah sebuah buku hasil tulisan beliau sendiri, buku motivasi dan panduan dalam kehidupan. Saya rasa ia sangat berkesan buat saya. InshaAllah saya juga akan cuba praktikkan untuk anak saya nanti.

Sekian dahulu catatan pengalaman untuk kali ini. Saya akhiri dengan gambar nota inspirasi dan doa yang saya maksudkan. :)





No comments:

Post a Comment