Wednesday 3 June 2015

Entri 44 : Bergurau Dengan Anak - Lebih Kerap Ketawa Atau Menangis?

Teks : Nuraida Mohd Hadith

Assalamualaikum w.b.t.

Salah satu dari cita-cita saya dalam mendidik anak sendiri adalah menjadikan dia seorang anak yang gembira. 'Happy Baby' itulah yang sering saya pegang.

Saya percaya untuk mencapai cita-cita itu, saya perlu mulakan dari awal. Ini kerana 2 tahun terawal dalam hidup seorang anak itu akan mempengaruhi perkembangannya ketika dewasa. Ini kerana ketika umurnya yang masih kecil inilah, sel-sel otaknya sedang berkembang dengan pesat. Salah satu perkembangan yang penting adalah dari segi perkembangan emosi.

Anak yang dibesarkan dalam suasana gembira dan penuh kasih sayang lazimnya akan menghasilkan seorang dewasa yang mempunyai sikap yang positif seperti penyayang, berbudi bahasa, yakin diri dan hormat pada orang lain.

Oleh itu, salah satu faktor yang perlu diberi perhatian terhadap anak ialah cara kita berkomunikasi dan bergurau senda dengan anak.

Ada segelintir orang dewasa yang gemar mengusik atau menyakat anak-anak sebagai salah 1 cara untuk bergurau. Bergurau itu memang tidak salah. Cuma cara bergurau yang betul amat perlu dititikberatkan bagi memastikan gurauan itu tidak menjejaskan emosi anak tersebut.

Saya kurang bersetuju dengan cara mengusik atau menyakat sehingga menbuatkan anak menangis. Ini kerana pada usia yang kecil, anak biasanya masih belum mahir untuk mengawal emosi.

Usikan keterlaluan boleh menyebabkan emosi anak menjadi tidak stabil. Jika dibiarkan berlarutan, dikhuatiri anak itu akan membesar menjadi seorang yang kuat memberontak.

Antara cara bergurau yang perlu dielakkan adalah seperti :

  • Memanggil anak dengan nama yang boleh memalukan atau yang tidak disukai
  • Sengaja merampas barang atau permainan dari anak 
  • Menakutkan anak dengan membawanya dekat kepada benda yang ditakuti 
  • Menakutkan anak dengan meninggalkan anak keseorangan 
  • melakukan aksi yang boleh menimbulkan rasa rimas seperti mencubit pipi, menarik baju dan sebagainya 
Sebaliknya kita boleh memilih cara bergurau yang boleh membuatkan anak berasa teruja dan gembira sehingga ketawa. Antaranya ialah :
  • Bermain sembunyi-sembunyi dan 'cak'
  • Main kejar-kejar 
  • Buat ekspresi muka yang pelbagai 
  • Menggeletek bagi membuatkan anak rasa geli 
  • Mendukung, menghayun, menimang yang tidak keterlaluan 
Anak yang gembira akan lebih mudah belajar dan lebih cepat perkembangannya. 

Jom kita sama-sama cuba praktikkan. 

No comments:

Post a Comment