Saturday 2 May 2015

Entri 17 : Hadiah Terbaik Dari Suami Buat Isteri - Menjaga Isteri Dalam 3 Waktu

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google



Assalamualaikum.

Apa agaknya hadiah terbaik dari sang suami buat isteri tercinta.

Percayalah. Majoriti para isteri akan bersetuju dengan pernyataan ini.

Hadiah terbaik yang diharapkan oleh isteri tidak memerlukan wang yang banyak, jauh sekali dari harta kemewahan yang melimpah ruah.

Apa yang diharapkan hanyalah kasih sayang dan perhatian dari suami selaku orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaganya sebaik mungkin sebaik sahaja akad nikah dilafazkan.

Jika benar sayang, buktikan dengan memberikan sepenuh perhatian dan berkorban menjaganya sepenuh hati ketika dia berada dalam saat-saat genting dan paling penting dalam hidupnya.

3 waktu itu ialah ketika isteri mengandung, melahirkan anak dan ketika dalam pantang. Ini kerana pada 3 waktu inilah isteri berada dalam keadaan sangat lemah, tidak berdaya, kesakitan, keletihan dan pelbagai lagi cabaran dan dugaan. Ketika inilah isteri sangat memerlukan bantuan dan sokongan suami untuk bangkit semula.

Bukan mudah untuk melakukannya. Ia menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi untuk merealisasikannya. Ia merupakan hadiah terbaik kerana tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Bagaimana untuk merealisasikan ia sebagai hadiah terbaik. Saya senaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh suami yang pasti akan membuatkan isteri anda berasa sangat bertuah memiliki anda sebagai suami.

Ketika Mengandung
  • Sentiasa bersedia membantu isteri supaya isteri tidak perlu melakukan kerja berat yang boleh membahayakan diri dan kandungan seperti mengangkat barang berat, memanjat 
  • Mengurut isteri jika isteri letih
  • Menyediakan keperluan bagi keselesaan isteri seperti pakaian khas untuk ibu hamil, bantal untuk keselesaan posisi tidur
  • Menyediakan makanan dan minuman berkhasiat dan peka kepada selera isteri terutama ketika alahan semasa mengandung
  • Mengusap perut isteri dan mendoakan isteri agar dipermudahkan semasa bersalin
  • Tidak mudah merungut atau bercakap kasar dengan isteri
  • Menjadi pendengar setia, mendengar luahan isteri dengan penuh perhatian
  • Membawa isteri berjalan-jalan, beriadah supaya dapat menenangkan fikiran
  • Sama-sama merancang dan menyediakan keperluan untuk persediaan menyambut kelahiran

Ketika melahirkan anak
  • Mencari hospital atau tempat bersalin yang terbaik untuk isteri
  • Menemani isteri ketika bersalin
  • Memberi kata-kata peransang ketika isteri bertarung nyawa melahirkan anak
  • Peka kepada keperluan isteri supaya isteri dapat bersalin dalam suasana tenang dan selamat

Ketika menjalani proses berpantang
  • Sama-sama menjaga anak yang lebih besar, sanggup bangun malam untuk membuat susu atau menukar lampin anak, memandikan, memberi makan, menemani anak bermain
  • Berikan ruang kepada isteri untuk mendapat tidur dan rehat yang cukup
  • Melayani isteri dengan penuh sabar, mesra, memandang dengan pandangan penuh kasih sayang
  • Menyediakan air mandian rebusan daun-daun untuk isteri
  • Mencari tukang urut terbaik
  • Mencari menu berkhasiat dan memasak untuk isteri ketika berpantang
  • Sama-sama bangun malam untuk menjaga bayi yang baru dilahirkan
  • Berkorban mengambil cuti bekerja semata ingin menjaga isteri
  • Memberi sokongan sepenuhnya untuk penyusuan susu ibu
  • Pastikan isteri sentiasa dalam keadaan gembira dan selesa ketika berpantang

Apa kebaikan yang akan diperolehi oleh suami apabila isteri mendapat hadiah terbaik ini?
  • Isteri yang dijaga dengan baik ketika 3 waktu genting ini akan kembali pulih dan sihat seperti asal dengan cepat. Isteri yang sihat akan kelihatan lebih awet muda dan berseri
  • Perasaan gembira akan menghiasi rumahtangga yang diuruskan oleh isteri yang ceria dan bahagia. Hasilnya urusan rumahtangga akan dapat diuruskan dengan lebih cekap
  • Hubungan suami isteri akan bertambah erat kerana berasa benar-benar dihargai
  • Isteri yang sihat dan bahagia akan menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dan penuh bersemangat untuk menjadi ibu yang hebat buat anak-anak

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Moga bermanfaat. :)

No comments:

Post a Comment