Monday 25 May 2015

Entri 35 : Etika Yang Perlu Dipatuhi Semasa Menonton TV

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Entri ringkas kali ini mengenai beberapa perkara yang boleh diambilkira ketika melakukan aktiviti menonton tv. Antaranya:

1) Suasana terang yang mencukupi

Ada segelintir mereka yang gemar menonton tv dalam keadaan gelap. Terdapat berbagai tujuan mengapa ia dilakukan, antaranya ialah bagi mendapatkan fokus cahaya yang lebih, malas membuka lampu atau menjimatkan elektrik. Walaubagaimanapaun tindakan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan masalah rabun pada mata. Selain itu, ia juga dapat menimbulkan masalah silau kepada mata yang mengakibatkan mata menjadi sangat sensitif kepada cahaya terang. Oleh itu, pastikan kita berada di tempat yang terang atau membuka lampu pada waktu malam bagi melakukan aktiviti ini.

2) Melihat dalam jarak yang dibenarkan

Kadangkala anak-anak kecil gemar menonton tv dalam jarak yang dekat. Mungkin mereka berasa teruja ketika melihat rancangan kegemaran atau jarak penglihatan mereka kurang dari orang dewasa. Walaubagaimanapun, ibubapa digalakkan mendidik anak semenjak dari kecil bagi mengelakkan anak mengalami rabun mata di awal usia dan terpaksa menggunakan kacamata pada usia yang masih muda. Kita perlu memantau dan menasihatkannya untuk mengelakkannya dari menjadi tabiat sehingga dewasa.

3) Posisi yang betul

Posisi sebaiknya adalah duduk tegak dan bersandar dalam keadaan selesa. Berada dalam posisi yang tidak betul dalam masa yang lama boleh mengakibatkan sakit belakang dan memberi kesan jangka masa panjang dari sudut kesihatan. Selain itu, posisi berbaring juga boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi malas untuk bangun dan menyebabkan tempoh menonton tv menjadi lebih lama.

4) Tidak menonton TV sambil makan

Tabiat menonton tv sambil makan boleh mengakibatkan seseorang terdedah kepada risiko obesiti tanpa disedari. Ini kerana tabiat ini akan menyebabkan seseorang itu terus menyuap dan mengunyah makanan tanpa menyedari kuantiti yang diambil. Keasyikan menonton tv dapat mengalih perhatian seseorang dari menumpukan perhatian pada aktiviti makan yang sihat. Ini boleh menyebabkan berlakunya kunyahan yang tidak sempurna yang boleh mengakibatkan seseorang tersedak atau makanan tidak dihadam sepenuhnya.

5) Tidak terlalu lama

Setiap aktiviti yang tidak melibatkan gerakan anggota dalam masa yang lama adalah tidak baik untuk kesihatan. Apabila berada dalam keadaan duduk, kita digalakkan untuk bangun berjalan sekurangnya setiap setengah jam bagi memastikan aliran darah berjalan dengan lancar. Kita juga perlu untuk mengalihkan perhatian mata pada tempat lain bagi tujuan mengurangkan daya tumpuan mata pada sesuatu tempat yang sama dalam tempoh yang lama. Ini bagi memberi peluang kepada otot-otot mata berehat dan tidak mengalami tekanan berlebihan. Selain itu, kita juga perlu berdisiplin supaya hanya menonton tv untuk rancangan yang bermanfaat dan tidak menjadikan aktiviti menonton tv ini sekadar tabiat untuk menghabiskan masa lapang.

Sekian dahulu perkongsian. Moga bermanfaat.




No comments:

Post a Comment