Wednesday 3 June 2015

Entri 43 : Catatan Pengalaman Mangsa Vandalisme

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Kisah ini berlaku pada sekitar tahun
 2004. Ketika itu saya baru selesai menamatkan pengajian untuk semester ke 2 di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Saya masih ingat lagi ketika membuat persiapan sebelum bercuti. Semua barang-barang yang ingin dibawa balik pulang ke kampung, telah saya asingkan.

Terdapat 1 bilik khas yang disediakan untuk para pelajar menempatkan barang-barang untuk disimpan semasa cuti semester. Jadi seperti biasa, selesai mengemas semua barang-barang, bilik mesti dipastikan berada dalam keadaan kemas dan bersih sebelum dibenarkan 'check out' untuk pulang bercuti.

Di atas meja tulis, saya masih tinggalkan barang-barang seperti kotak tisu, bingkai gambar keluarga, pewangi bilik dan juga sekotak bekas untuk mengisi brooch.

Beberapa helaian pakaian di dalam 'locker', saya kunci kemas dengan menggunakan mangga. Barang-barang lain yang tidak muat disimpan di dalam locker, saya simpan di dalam beg yang bermangga dan juga kotak yang disalotip kemas. Saya meninggalkan barang-barang itu di sebuah bilik setor khas tanpa rasa curiga kerana itulah yang biasa dilakukan setiap kali pulang bercuti. Sangka saya semuanya dalam keadaan selamat. Kerana bilik itu juga akan dikunci.

Tiba pada pagi pendaftaran untuk semester baru, ketika sampai ke asrama untuk penempatan bilik untuk semester baru, saya dikejutkan dengan bunyi riuh rendah.

Perkara pertama yang saya dapat lihat ialah saya dapat cam kain baju kurung saya telah berada berselerakan bersama baju-baju lain di depan pintu lif. Kelihatan di sana sini pakaian berlonggokan di sana sini.

Tergamam tidak terkata. Saya terus pergi ke bilik setor tempat saya tinggalkan barang-barang semasa cuti semester. Astaghfirullah hala'zim. Suatu pemandangan yang amat mengejutkan. Berbaur perasaan antara terkejut, sedih, buntu dan berbagai lagi.

Pemandangan yang dapat dilihat ketika itu ialah seumpama pemandangan suatu kawasan yang baru ditimpa bencana. Barang-barang bersepah, berlonggokan di mana-mana. Keadaannya sudah tidak sempurna. Ada pakaian yang kotor, ada buku yang koyak, ada barang yang pecah. Semua bercampur menjadi satu longgokan besar. Terdapat pelajar yang sedang mengais-ngais longgokan untuk mencari sisa barang yang boleh diselamatkan. Terdapat pelajar yang menangis.

Sungguh dugaan yang tidak dapat saya lupakan. Apa sebenarnya yang telah terjadi?

Semasa cuti semester itu, terdapat program yang melibatkan pelajar PLKN dan mereka telah diberi peluang untuk menginap dan menggunakan kemudahan di Unversiti. Tujuannya adalah untuk memberi mereka pengalaman agar dapat membangkitkan semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh agar berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.

Tujuan asalnya memang baik. Layanan istimewa diberikan. Kolej yang paling baru disediakan untuk penempatan peserta PLKN. Tapi sayang, peluang yang diberikan tidak dihargai. Malah mereka telah membuat kerosakan pula pada harta benda awam. Di anggarkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak universiti melibatkan jutaan ringgit. Itu belum termasuk kerugian individu dan kesan terhadap emosi pelajar yang terlibat.

Saya yang juga merupakan salah seorang yang terlibat dalam peristiwa ini masih lagi terasa kesannya sehingga ke hari ini. Ini kerana saya telah kehilangan beberapa dokumen penting yang disimpan dalam 1 fail khas berisi sijil asal dan dokumen perjanjian pinjaman. Selain itu, terdapat juga beberapa buku rujukan yang hilang dan terpaksa dibeli semula. Beg pakaian pemberian ayah saya yang telah dimangga juga telah koyak ditoreh.

Antara kesan kerosakan material yang boleh dilihat adalah seperti buku yang hilang, rosak, koyak. Pakaian yang kotor, hilang, diconteng. Peralatan elektrik yang dicuri. Tilam yang dikoyakkan, dinding yang diconteng, butang lif yang dicungkil, almari yang dipecahkan, kipas yang diketuk sehingga melengkung berbentuk seperti kelopak bunga dan bermacam lagi.

Terdapat juga dinding dan pakaian yang diconteng dengan perkataan tak senonoh dan juga buku yang basah dan berbau hancing. Daripada peristiwa-peristiwa ini, dapat disimpulkan betapa kritikalnya tahap akhlak remaja kita pada hari ini.

Walaubagaimanapun saya tetap bersyukur kerana terdapat beberapa dokumen penting kepunyaan saya yang masih dapat diselamatkan. Antaranya transkrip semasa diploma, tafsir Al-Quran dan beberapa barangan elektrik.

Dikhabarkan bahawa sebelum peserta PLKN dibenarkan pulang, 1 semakan mengejut telah dilakukan ke atas barang-barang mereka. Hasil semakan mendapati terdapat beberapa pelajar yang cuba mencuri dan menyeludup keluar barang elektrik pelajar uitm.

Begitulah sebahagian dari pengalaman yang sempat saya coretkan di sini. Ia mengajar saya untuk lebih berhati-hati dan menghargai dokumen penting dan barang berharga. Selain itu, pengalaman mengajar erti insaf di kala diuji dengan kehilangan dan kerosakan harta benda.

Ia juga mengajar sikap sabar dan bekerjasama ketika mengutip, mengasingkan, mengumpul dan membersihkan barang yang masih boleh diselamatkan.

Bak kata pepatah 'Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Kerana beberapa peserta PLKN membuat angkara, kini mereka tidak lagi berpeluang merasai latihan dalam kampus.

Saya doakan moga peserta yang terlibat insaf dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi.




No comments:

Post a Comment