Wednesday 22 April 2015

Entri 7 : Catatan Harian 22.04.2015 (Rabu)

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google Image


Assalamualaikum semua pembaca.

Hari ini merupakan hari yang agak sibuk bagi saya. Macam-macam perkara berlaku.

Pagi ini saya bangun awal tapi rasa agak mengantuk dari biasa. Kemungkinan kerana malam tadi tidur tidak berapa lena. Malam tadi berlaku sedikit kekecohan. Anak saudara belah suami diserang sawan. Umur baru setahun. Dipanggil-panggil nama, tidak bersahut. Agak lama juga. Suami saya bergegas mengambil air zam zam sambil membacakan surah 3 Qul dan disapu ke kepala dan badan bayi tadi. Kemudian diurut-urut ibu jari kaki, baru lah beransur pulih. Saya hanya melihat dari jauh. Tetapi bulu roma tetap terasa meremang. Sekarang bayi ini berada di hospital, ditahan di wad. Alhamdulillah hari ini sudah beransur pulih.

Pagi ini pula, saya mempunyai temujanji ke klinik desa bagi pemeriksaan ibu mengandung. Alhamdulillah sekarang sudah masuk minggu ke 26.

Pagi tadi, saya bersiap seawal 7.30 pagi semata-mata hendak mendapatkan nombor giliran paling awal. Sangka saya, saya akan mendapat no.1. Rupanya ada yang lebih awal.

Suami yang tolong hantar saya ke klinik sebelum bergegas ke tempat kerja. Mujur sempat juga selesai semua pemeriksaan selewatnya 8.30 pagi. Jadi saya tidak perlu meminta ipar untuk mengambil saya. Bukan apa. Segan untuk menyusahkan mereka.

Setelah menghantar saya ke klinik, suami bergegas balik ke rumah. Kerana ada kematian ayah saudaranya di kampung berdekatan.

Pemeriksaan di klinik tadi keseluruhannya normal. Cuma ada sedikit kesangsian berkaitan discaj. Jadi petang ini pukul 2, saya perlu membuat temujanji berjumpa doktor pula untuk membuat pemeriksaan. Berdebar rasanya. Sebab semasa mengandung kali pertama, saya tidak mempunyai kes seperti ini. Tolong doakan semuanya baik-baik sahaja ya.

Hari ini juga saya perlu membuat persiapan untuk balik ke Johor pada esok hari. Sudah agak lama tidak balik ke sana. Hampir 2 bulan. Keluarga di Johor sudah rindu. Tapi apakan daya, suami agak sibuk kebelakangan ini.

Saya juga bercadang untuk menjenguk bapa saudara yang sedang sakit di hospital. Cadangnya begitulah. Tapi Allah lebih menyayanginya. Dia telah kembali ke rahmatullah malam tadi. Tak sempat nak menjenguk. Sebak mengenangkannya. Saya hanya mampu mendoakan moga roh Allahyarham Ungku Majid Bin Ungku Mohsin dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin

Perasaan ketika ini bercampur baur. Risau memikirkan kesihatan kandungan. Selain itu, fikiran asyik memikirkan persiapan untuk balik ke Johor esok agar tiada barang keperluan yang tertinggal. Saya kena rancang betul-betul kerana persiapan ini termasuk perkara yang perlu dipertimbangkan semasa persediaan bersalin dan berpantang di sini nanti. Senarai barang-barang yang perlu dibawa balik dari JB ke Terengganu telah saya siapkan. Bila jarang balik, beginilah perasaannya. Tak boleh buat silap. Moga semuanya dipermudahkan dan berjalan lancar.

Selain itu, barang-barang stok perniagaan yang perlu dibawa dari Terengganu ke Johor Bahru pun baru disiapkan hari ini. Mujur saya tidak perlu bawa pakaian yang banyak kerana sememangnya sudah ada pakaian yang disediakan khas untuk kegunaan semasa di sana.

Jika diikutkan, memang pening juga kepala dibuatnya. Tapi saya tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Sebarkan aura positif sahaja. Biar fikiran tidak menentu, tapi luaran nampak tenang.

Biasanya bila fikiran saya rasa tak tenang, saya akan pergi ke suatu tempat yang tak bising dan duduk. saya akan minum air masak, tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan. Istighfar banyak-banyak dan basuh muka. Alhamdulillah cara tu berkesan setakat ini bagi saya.

Ok itu sahaja coretan untuk kali ini. Wassalam.


No comments:

Post a Comment