Thursday 1 October 2015

Tidak Hidup Dek Pujian Tidak Mati Dek Kejian

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Entah kenapa pepatah ini seringkali terngiang-ngiang dalam diri saya setiap kali menerima komen yang agak negatif mengenai diri saya.

Pernah suatu ketika, seorang rakan sekerja lelaki yang baru sahaja menimang cahayamata, memberikan pendapatnya mengenai saya. Katanya apabila saya mengandung dan akan bersalin nanti, pasti saya akan dibedah. Ini kerana saya mempunyai fizikal yang kecil.

Walaupun terasa hati, saya tidak membalas kata-katanya. Cuma berlaku dialog hebat dalam diri samada adakah ia sebuah fakta yang benar.

Sampai di rumah, saya menceritakan hal itu kepada ibu saya untuk mendengar maklumbalas beliau. Ibu ternyata tidak bersetuju dengan pendapat itu. Ibu katakan pada saya agar berdoa yang baik-baik. Lelaki itu bukan tuhan yang boleh tentukan takdir seseorang. Saya berasa lega. Tapi masih ada sedikit perasaan risau di hati.

Sejak hari itu, saya sering mencari maklumat mengenai bagaimana bentuk fizikal wanita mempengaruhi cara wanita itu bersalin.

Pada suatu hari, salah seorang dari rakan lama memuatturun statusnya yang baru sahaja selamat melahirkan anak. Saya berasa sangat teruja apabila terpandang gambar anak nya yang sihat dan comel itu. Tambahan pula fizikalnya juga kurus dan kecil seperti saya.

Perasaan ingin tahu yang meluap membuatkan saya terus menghubunginya. Setelah bertanya khabar dan mengucapkan tahniah, saya terus mengajukan soalan samada dia bersalin normal atau tidak.

Sebaik sahaja dia memaklumkan bahawa dia bersalin secara normal, saya terus mengucapkan syukur. Ternyata memang masih ada harapan. Saya percaya pasti pendapat rakan lelaki tadi itu adalah silap. Saya berasa sangat gembira dan hati berbunga-bunga. Timbul satu semangat baru dalam diri saya.

Sehingga tiba suatu masa, saya mendirikan rumahtangga dan disahkan hamil. Perkara ini masih menjadi hal yang menjadi tanda tanya bagi saya. Ketika membuat pemeriksaan di klinik kesihatan, sekali lagi saya mengajukan soalan kepada jururawat yang bertugas untuk mendapatkan kepastian. Adakah bentuk fizikal seperti saya ini berkemungkinan dibedah untuk melahirkan anak.

Jururawat tersenyum dan menafikan. Katanya saya mempunyai ketinggian yang cukup. Hanya mereka yang mempunyai ketinggian kurang dari 145cm mempunyai risiko untuk dibedah kerana kedudukan rahim yang agak rendah.

Alhamdulillah sekali lagi saya menarik nafas lega.

Walaubagaimanapun saya masih tidak berputus asa. Saya teruskan pembacaan untuk mencari ilmu. Saya ingin buktikan bahawa tanggapannya salah. Saya menjumpai beberapa tips agar mudah bersalin normal. Dari segi pemakanan, teknik pernafasan, urutan sehingga senaman, semuanya saya cuba praktikkan sebaik mungkin agar saya lebih bersedia untuk bersalin normal.

Akhir sekali, saya berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Alhamdulillah kini saya telah pun selamat bergelar ibu kepada dua orang cahayamata. Dan misi saya berjaya. Saya melahirkan anak secara normal untuk kedua-dua anak saya. Terasa satu kepuasan dalam diri kerana terbukti tanggapan rakan lelaki tadi adalah salah.

Bak kata pepatah 'Tidak hidup dek pujian dan tidak mati dek kejian". Hikmah dari kejian itu, saya lebih peka pada ilmu berkaitan kelahiran dan lebih menjaga kesihatan.

Pesan saya pada yang turut mengalami situasi berdepan kejian mengenai fizikal, pedulikan kejian itu. Tidak kira fizikal anda tidak sempurna, apa yang lebih penting adalah anda berada dalam keadaan sihat walafiat.

Jadikan kejian itu sebagai pemangkin untuk anda berjaya. Tukarkan menjadi energi positif dan bersyukur. InsyaAllah pasti anda akan nampak hikmah disebaliknya.

Sekian dahulu perkongsian untuk kali ini. Wassalam.




1 comment:

  1. good job aida! good writing..dan bagus energy positif aida. betul, jangan biarkan kata2 negative orang masuk dalam diri kita dan buat kita rasa rendah diri dan kurang yakin. pape pn kipidap dlm bidang penulisan dan ape2 yang aida ceburi! (^^,)

    ReplyDelete