Sunday, 31 May 2015

Entri 41 : Tip Penting Agar Mendapat Rezeki Yang Diredhai Allah

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Pernah tak kita terdetik di hati mengapa rezeki seakan banyak yang masuk tapi sering juga tak cukup atau tidak tahu pergi ke mana. Atau mungkin beroleh rezeki yang banyak tetapi hati tidak tenang seakan ada sesuatu yang tidak kena. Jika ada, mungkin kita boleh semak dari segi keredhaan dan keberkatan rezeki tersebut.

Untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan beberapa tip sebagai panduan bagi kita dalam mencari rezeki agar rezeki yang diperolehi mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Terdapat 5 syarat yang perlu dipenuhi agar sumber rezeki yang dicari mencapai matlamat untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. dan diiktiraf sebagai ibadah.

1) Niat untuk mendapat keredhaan Allah

Niat yang baik. Setiap amalan kita akan dinilai bergantung kepada niat. Pastikan walau apa jua tujuan kita mencari rezeki sama ada untuk menyara keluarga atau membantu memakmurkan ummah, ia masih dalam rangka mencapai keredhaan Allah. Kita juga boleh mengamalkan adab-adab untuk mendapatkan hasil yang terbaik seperti berdoa di saat susah dan senang, bersyukur dan bermuhasabah diri.

2) Pastikan kerja mematuhi hukum Allah

Ia merupakan salah satu etika yang penting agar sumber rezeki yang diperolehi adalah halal dan tidak mengandungi sebarang unsur syubhah yang boleh menjejaskan keberkatan rezeki kita. Pastikan rezeki yang diperolehi tidak melibatkan sebarang benda dilarang, riba' dan unsur penipuan.

3) Menjaga akhlak yang mulia

 Pastikan semasa kita melakukan kerja, kita tidak melakukan sebarang perkara yang ditegah oleh Allah seperti rasuah, pecah amanah, mencaci dan apa-apa perkara yang boleh mengakibatkan kerugian. Akhlak yang mulia sangat penting kerana ia dapat menjaga kemuliaan peribadi orang yang melakukannya, menaikkan wibawa serta prestasi syarikat. Akhlak yang mulia dapat menjaga nama baik seorang muslim dan nama baik agama Islam.

4) Prestasi terpuji

Yang dimaksudkan sebagai prestasi terpuji ialah kerja yang teliti, bersungguh-sungguh dan penuh tumpuan. Seorang Muslim yang mempunyai prestasi yang terpuji akan bersikap lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar kerja yang terhasil adalah yang berkualiti dan cemerlang. Sikap ini sangat dituntut dalam Islam agar tidak berlaku pembaziran, kerugian dan juga  agar keselamatan ummah lebih terjamin.

5) Tidak lalai dari ibadah khusus

Walau bagaimana sibuk dan berat pekerjaan kita, kita tetap wajib menjaga ibadah khusus seperti solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan sebagainya. Perlu kita tekadkan dalam hati bahawa, tanggungjawab kita sebagai hamba Allah adalah lebih penting dan perlu diutamakan berbanding yang lain-lain.

Moga dengan mengamalkan tip-tip ini, rezeki kita mendapat keberkatan dan ganjaran kebaikan bukan sahaja di dunia, tapi juga di akhirat. Amin. Semoga bermanfaat.

Sumber Asal : Buku 'Halal Living'
Terbitan : Kemilau Publika Sdn Bhd
Penulis : Mohd Harith Mahmud

Saturday, 30 May 2015

Entri 40 : Mengapa Saya Pilih Untuk Menjadikan Baju Muslimah Menyusu Sebagai Koleksi

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Setiap ibu pasti mengimpikan yang terbaik untuk anak. Saya percaya memang terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang ibu itu dalam menempuh perjalanan penyusuan sehingga tempoh 2 tahun.

Antara faktor yang memainkan peranan yang penting dalam membuat persediaan adalah faktor persediaan ilmu penyusuan dan juga aksesori yang membantu memudahkan proses penyusuan.

Untuk entri kali ini, saya ingin fokuskan mengenai baju mesra penyusuan.

Berdasarkan pengalaman sendiri ketika membuat persiapan untuk anak pertama, saya pernah menemui beberapa orang yang kurang menyokong untuk membeli baju khas yang memudahkan untuk menyusukan bayi. Katanya ia suatu pembaziran. Mereka berpendapat bahawa tidak perlu untuk memiliki baju menyusu kerana apabila hendak menyusu, hanya perlu pergi masuk ke dalam bilik, selak dan tidak ada orang yang akan nampak. Mereka juga berpendapat itu yang terbaik dan tidak perlu untuk menyusu di hadapan orang lain kerana tidak manis dipandang.

Apa yang saya boleh katakan di sini, ia sebenarnya bergantung pada kesungguhan dan keyakinan ibu itu sendiri. Terpulang pada pendapat masing-masing. Tetapi saya percaya, ibu yang benar-benar ingin memaksimumkan pemberian susu ibu kepada anaknya pasti mempunyai pendapat yang berbeza.

Saya memilih untuk menjadikan koleksi baju menyusu sebagai salah satu dari pelaburan yang memberikan saya suatu kepuasan yang tidak ternilai. Ia benar-benar memberikan saya pengalaman sebagai ibu yang menyusu yang lebih baik dan membantu memudahkan perjalanan penyusuan saya.

Berikut adalah antara kelebihan memiliki baju muslimah menyusu:

1) Memiliki design yang sopan, labuh dan tidak jarang. 

Saya merupakan salah seorang penggemar baju muslimah. Walaupun perbezaannya adalah baju ini mempunyai bukaan khas untuk menyusu, ia masih sesuai dipakai sebagai baju muslimah biasa kerana jika mengenakan tudung, bukaan itu akan terlindung di bawah tudung. Orang pasti tidak menyangka ianya adalah baju menyusu.

2) Berbentuk A-shape kembang di bahagian bawah

Ia bersifat longgar di bahagian bawah dan melindungi dari menampakkan bentuk pinggul. Ia juga memberikan kesan yang selesa ketika berjalan. 

3) Bukaan selak yang mempunyai pelapik

Ia dapat membantu memelihara aurat ketika menyusu walaupun tidak mengenakan 'nursing cover'. Bahagian dada yang terdedah dapat dilindungi oleh pelapik kain yang melindungi di bahagian atas dan tepi. Pasti membuatkan ibu berasa lebih selesa dan yakin untuk menyusukan bayi walaupun berada di tempat awam.

4) Memudahkan memberi bayi menyusu dengan kadar segera dalam apa jua situasi

Saya lebih gemar memilih baju menyusu yang mempunyai design bukaan secara selak. Kadangkala baju menyusu yang menggunakan kaedah zip atau butang mengambil masa untuk dibuka. Ia pasti menimbulkan rasa kurang senang jika bayi menangis di tempat awam dan anda pula mengambil masa untuk membuka zip atau butang apabila tiada kemudahan bilik menyusu di kawasan berdekatan.

Selain itu, zip atau butang juga membuatkan ruang untuk diselak ketika ingin menyusukan bayi agak terhad. Kadangkala zip atau butang juga akan meninggalkan bekas kepada bayi jika terkena bahagian muka ketika menyusu dalam keadaan yang lama.

5) Jimat masa menggosok

Kadangkala menjadi ibu baru membuatkan jadual rutin anda banyak berubah. Terdapat bayi yang sentiasa ingin berada berdekatan dengan ibu sehingga menyukarkan ibu untuk menumpukan perhatian membuat kerja-kerja rumah. Memiliki baju yang diperbuat dari kain yang tidak perlu digosok amat membantu ibu tampil bersiap dalam masa yang singkat dan ringkas

6) Kain yang sejuk dan ringan

Situasi yang selesa juga amat membantu ibu menyusu memberikan hasil yang lebih banyak. Kain yang sejuk dan ringan dapat memberikan ibu dan bayi keadaan yang selesa semasa proses penyusuan.

7) Poket 

Ia membantu terutamanya ketika di rumah dari segi memudahkan ibu membawa barang penting tanpa perlu sentiasa membawa beg ke mana-mana. Hanya perlu simpan di dalam poket.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ia membantu saya dalam banyak situasi.
  • Ketika saya dalam perjalanan yang jauh, perjalanan dari Jb ke Terengganu, saya hanya perlu menyelak dan terus menyusukan bayi tanpa perlu risau aurat terdedah ketika kereta lalu atau berhenti di sepanjang perjalanan. 
  • Begitu juga ketika di rumah. Anak saya semasa di awal kelahirannya merupakan bayi yang kerap ingin menyusu dalam tempoh yang lama. Dengan mengenakan baju menyusu, saya tidak perlu berada dalam bilik terlalu lama. Saya boleh menyusukannya di bahagian ruang depan walaupun ketika itu ada ahli keluarga yang lain berada bersama. Sambil menyusu, boleh tengok tv atau berbual sesama ahli keluarga.
  • Ketika sambutan hari raya, saya pernah meminta izin untuk menumpang di bilik salah seorang ahli keluarga untuk menyusukan bayi. Ada suatu ketika, tiba-tiba ada anak kepada tuan rumah tanpa sengaja telah masuk ke bilik itu. Mujur saya mengenakan baju menyusu, jadi aurat tetap terpelihara ketika menyusukan dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Syukur alhamdulillah.

Terdapat pelbagai design yang boleh dipilih. Antaranya baju menyusu yang juga sesuai dipakai ketika mengandung. Saya juga mempunyai koleksi baju design ini. Baju yang boleh dipakai dari mengandung hingga sudah melahirkan anak. Bila pakaian yang sama boleh dipakai dalam masa yang lama, ia membantu saya berjimat. :)

Sekian dahulu perkongsian kali ini.

Ingin melihat pelbagai design koleksi baju muslimah menyusu?
Ingin tahu harga promosi yang sedang berlangsung?
Ingin mendapatkan rundingan untuk membuat pilihan yang terbaik?
Boleh hubungi:

Nuraida
SMS/Whatsapp : 012-7960804
FB Fanpage : Baju Muslimah Menyusu

Friday, 29 May 2015

Entri 39 : 15 Tabiat Yang Perlu Diubah Untuk Menjadi Ibu Yang Lebih Bahagia

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Entri kali ini saya terjemah dan olah dari artikel asal bertajuk '15 Bad Habits of Unhappy Moms' hasil tulisan Krishann Brisco

1) Terlalu mengharap kesempurnaan

Kita harus belajar menerima bahawa melalui pengalaman yang menyeronokkan dalam melakukan sesuatu perkara itu adalah jauh lebih penting dari mempunyai pengakhiran yang sempurna.

2) Mengharap sesuatu atau seseorang untuk melengkapkan kekurangan

Faktor luaran tidak dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang berpunca dari dalam diri kita. Kita lah yang perlu mengubahnya sendiri

3) Gemar membuat perbandingan

Kita tidak akan berasa bahagia jika kita menghabiskan masa membuat perbandingan dan cuba menyesuaikan diri dalam perjalanan hidup orang lain. Fokuslah pada perjalanan diri sendiri.

4) Harapan yang tidak realistik

Berhenti untuk cuba mengubah seseorang menjadi orang yang berlainan dan belajar untuk terima kekurangan dan kelebihan pada pasangan dan juga anak seadanya.

5) Mengatakan 'Ya' terlalu kerap

Belajar untuk mengatakan 'Tidak'. Mengatakan 'Tidak' akan membebaskan diri kita untuk mengatakan 'Ya' kepada perkara yang bermakna buat diri anda.

6) Tidak mempedulikan gerak hati

Percaya pada diri sendiri bermakna kita hidup dalam keadaan yang kita sudah ketahui kebenarannya. Mendengar gerak hati bukan sesuatu yang mudah tapi ia adalah sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan.

7) Bertahan dalam terpaksa

Kita perlu belajar untuk melabur masa dan tenaga ke tempat dan orang yang akan memberikan pulangan yang terbaik. Tahu di mana untuk menggunakan tenaga dan masa adalah sesuatu yang sangat penting.

8) Meremehkan keperluan rohani

Wang, manusia dan harta tidak dapat menyalurkan rasa seronok dan gembira. Keperluan rohani untuk mendapatkan kebahagiaan hanya akan diperolehi apabila kita kembali pada Sang Pencipta. Perbaiki hubungan kita dengan Tuhan.

9) Sukar memaafkan

Belajar untuk mudah memaafkan supaya hati lebih tenang. Ia juga termasuk belajar untuk memaafkan diri sendiri.

10) Mengabaikan diri sendiri

Bila kita menjaga diri sendiri dengan baik, kita juga boleh menjaga keluarga kita dengan lebih baik.

11) Rasa bersalah

Kita perlu sentiasa ingatkan diri bahawa kita sudah melakukan yang terbaik. Kita perlu berhenti dari memberi orang lain atau situasi mempengaruhi kita lebih dari yang sepatutnya. Kita juga perlu mengubah cara kita memberi respon kepada perkara lain supaya tidak tenggelam dalam perasaan bersalah yang keterlaluan.

12) Cuba memperbaiki orang lain

Kita boleh membantu orang lain tetapi kita bukan seorang penyelamat. Mungkin kita boleh berbuat sesuatu tetapi kita tak boleh melakukan semuanya sendiri.

13) Gagal mengambil tanggungjawab untuk kebahagiaan diri sendiri

Kita yang bertanggungjawab untuk kebahagiaan diri sendiri, bukan anak kita atau pasangan kita. Kita tidak mahu mereka terpaksa memikul beban untuk cuba membuat atau memastikan kita gembira dan bahagia.

14) Tidak mengiktiraf had dan batasan diri

Kita semua mempunyai had. Jadi hormatinya dan teruskan kehidupan.

15) Tidak mempunyai sempadan

Kita memerlukan sempadan supaya lebih terarah dan terkawal. Ia tidak salah. Ia sememangnya perlu untuk kehidupan yang lebih baik.

Jadilah ibu yang lebih bahagia.

Semoga beroleh manfaat.

Thursday, 28 May 2015

Entri 38 : Didik Anak Berdikari Semenjak Dari Kecil

Teks : Nuraida Mohd Harith

Assalamualaikum w.b.t.

Berdikari yang dimaksudkan secara umum di sini ialah sikap tahu tanggungjawab, boleh lakukan kerja tanpa perlu disuruh, tidak bersikap lepas tangan serta tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Antara kelebihan mendidik anak berdikari semenjak dari kecil ialah anak akan lebih mudah belajar dan mempraktikkannya. Ini kerana terbukti minda anak-anak lebih mudah menyerap apa yang dipelajari semasa usianya masih kecil.

Bak kata pepatah 'Melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kelebihan lain pula ialah anak yang berdikari akan lebih mudah diurus, lebih matang dan lebih bertanggungjawab dalam kehidupan.

Kelak ia memberi kelebihan buat ibubapa dan juga pasangan apabila berkahwin nanti kerana mereka yang berdikari akan turut sama menguruskan apa-apa urusan bersama-sama.

Antara sikap yang dimiliki oleh mereka yang berdikari adalah :

  • bangun pagi tanpa perlu dikejut
  • urus pakaian sendiri, basuh, sidai, angkat dan lipat
  • basuh pinggan dan cawan sendiri
  • Boleh menyediakan makanan ringkas seperti masak nasi, goreng telur atau ikan
Point utama adalah sikap berdikari di atas perlu dididik kepada anak tidak kira lelaki atau wanita. 

Kelebihan tambahan yang dapat membantu apabila memasuki dunia pekerjaan pula seperti :

  • mempunyai kemahiran menjahit, bercucuk tanam, memasak atau membuat kek serta menjahit bagi wanita
  • kemahiran bertukang, membaiki peralatan bagi lelaki 
  • mempunyai lesen untuk memandu kenderaan 

Buat permulaan, kita boleh mendidik anak-anak dengan menimbulkan minat anak untuk turut serta bersama-sama dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Sekiranya anak menawarkan diri untuk membantu, kita benarkan dengan cara memberi arahan yang mudah dan dalam pantauan ibubapa. Sekiranya kita halang, ditakuti ia akan membantutkan minatnya yang sedang dalam proses ingin belajar dan meneroka perkara baru.

Untuk anak yang masih kecil, kita boleh mulakan dengan contoh seperti berikut:

1) buang sampah dalam tong sampah
2) campak baju kotor dalam bakul
3) letak duit syiling dalam tabung
4) membantu mengangkat barang yang ringan
5) letak pinggan/cawan kotor dalam sink
6) basuh tangan sebelum dan selepas makan

Alhamdulillah, dari pengalaman saya sendiri, saya dapat lihat beberapa perkembangan anak saya yang berumur hampir 2 tahun. Antaranya :

1) apabila ada sampah, dia akan pergi ke tong sampah untuk membuangnya
2) apabila baju dan seluarnya ditanggalkan sebelum mandi, dia akan mengambilnya dan mencampakkannya ke dalam bakul baju kotor
3) jika terjumpa syiling, dia akan mengambilnya dan meminta untuk memasukkan ke dalam tabung
4) setiap kali balik dari beli barang keperluan, dia akan turut sama ingin membantu mengambil plastik untuk dibawa masuk ke dalam rumah
5) baju yang dimasukkan dalam bakul, dia akan tolong tolak masuk ke bilik

Dia juga sudah mula suka mengikut apa yang saya lakukan. Jika ada makanan yang tumpah, dia akan turut sama mengutip, ambil kain untuk lap dan juga ambil penyapu untuk sapu. Apa yang saya lakukan adalah memberinya peluang untuk melakukannya untuk sementara, mengajarnya cara yang betul, memberi galakan semasa dia melakukannya, memberi pujian jika dia dapat melakukannya, kemudian baru lah saya selesaikan sehingga sempurna.

Reaksinya apabila diberi peluang untuk mencuba untuk melakukan sesuatu sudah pasti rasa teruja. Apabila dipuji, dia akan tersenyum gembira. Saya dapat lihat peningkatan dalam perkembangannya dari masa ke semasa setiap kali ianya dilakukan walaupun melakukan aktiviti yang sama. Saya berpendapat ia juga merupakan salah satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan tahap keyakinan diri untuk anak.

Sekian dahulu perkongsian kali ini. Moga beroleh manfaat.

Wednesday, 27 May 2015

Entri 37 : Pengalaman Menyediakan Stok Susu Ibu Di Tempat Kerja

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google

Assalamualaikum w.b.t.

Berikut adalah pengalaman saya sendiri ketika bergelar sebagai suri bekerjaya.

Saya percaya susu ibu juga merupakan satu dari cabang rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan. Jadi sebagai langkah permulaan, sebelum saya mula bekerja semula setelah cuti bersalin selama 2 bulan, saya memaklumkan kepada majikan, permintaan untuk mendapat pelepasan masa ketika bekerja untuk mengepam susu ibu. Ia sebagai salah satu usaha saya untuk mendapatkan keberkatan dalam rezeki yang diberikan.

Saya menghubungi beliau dan memaklumkan bahawa saya memerlukan masa lebih kurang 1 jam sehari bagi memperuntukkan masa khas untuk mengepam susu. Saya juga memaklumkan yang saya ingin meminta kebenaran untuk pelepasan ini dan bersedia untuk ditolak sejumlah wang dari elaun sebagai ganti. Tapi majikan saya memberikan respon yang menyejukkan hati. Dia memberi kebenaran dan tidak akan menolak sebarang elaun bagi tujuan itu. Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga. Sehingga hari ini saya masih lagi terasa terhutang budi kepada majikan saya itu. Moga-moga perniagaan beliau terus maju dan berjaya.

Antara aksesori yang digunakan oleh saya untuk menjayakan sesi mengepam di tempat kerja ialah :

1) Pam elektrik (Double)
Pam yang boleh berfungsi serentak sangat membantu untuk menjimatkan masa. Pastikan anda juga menyediakan peralatan untuk membersih seperti berus dan sabun. Setiap kali selesai guna, anda perlu membersihkan bahagian pam kecuali motor dan simpan di dalam satu bekas. Sebaiknya dianginkan semua peralatan.
* Tip : Selesai membilas, saya akan merenjiskan peralatan supaya lebih cepat kering. Bagi pejabat yang mempunyai mesin yang boleh membekalkan air sejuk atau panas, anda boleh membilas botol dan peralatan menggunakan air panas bagi tujuan basmikuman

2) Ice Pack (3 bungkus)
Bagi membantu mengekalkan suhu yang sejuk. Bagi pejabat yang mempunyai peti sejuk, ini merupakan satu kelebihan buat anda. Anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk. Kebetulan peti sejuk di tempat kerja saya rosak, jadi saya hanya menggunakan 'ice pack' dan 'cooler bag'. Ia berkesan untuk menyejukkan susu selama lebih kurang 10 jam. Rutin saya ialah, saya akan menyimpan ice pack di bahagian sejuk beku. Setiap pagi sebelum pergi ke tempat kerja, saya akan memasukkan ice pack itu ke dalam cooler bag. Setiap kali balik dari kerja pula, sampai sahaja di rumah, saya akan simpan susu dan ice pack ke dalam peti sejuk.

3) Cooler Bag
Saya hanya menggunakan cooler bag yang kecil. Muat untuk mengisi ice pack dan botol berisi susu yang telah diperah. Terdapat juga pilihan cooler bag yang bersaiz lebih besar dan muat untuk mengisi aksesori pam.

4) Nursing Cover
Sebaiknya yang labuh dan tidak jarang.

5) Handsfree bra dan Baju Menyusu
Memberi kelebihan kepada anda dari segi fleksibiliti ketika mengepam. Anda boleh pam sambil melakukan kerja lain.

6) Bekas untuk menyimpan susu
Kadangkala kita terlupa untuk membawa bekas untuk menyimpan susu yang telah diperah. Antara alternatif yang boleh dilakukan ialah membeli bekas plastik. Setelah isi susu, ikat dengan kemas dan simpan dalam cooler bag. Atau beli air dalam botol seperti 'Bliss' di kedai berhampiran. Setelah minum air tersebut, boleh basuh dan simpan susu di dalamnya.

7) Telefon Bimbit
Saya menggunakan telefon bimbit untuk mencipta suasana tenang dengan melihat gambar anak saya. Ternyata berkesan untuk melepaskan rasa rindu kepada anak dan juga meningkatkan hormon yang membantu penghasilan susu untuk keluar dengan lebih mudah dan banyak.

Saya menggunakan bilik pantri sebagai tempat untuk saya melakukan aktiviti mengepam. Dalam sehari saya memperuntukkan 2 kali sesi untuk membuat stok. Setiap kali sesi pam dijalankan, saya akan mengunci bilik pantri.

Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan memesan kepada rakan sebilik supaya jika ada sesiapa mencari, dia dapat memaklumkan situasi saya.

Setelah agak selesa, saya juga cuba mempraktikkan pam sambil buat kerja. Oleh kerana kerja saya kadangkala melibatkan kerja yang hanya perlu disiapkan menggunakan komputer, saya akan menyusun sebaiknya supaya saya dapat menghabiskan kerja dengan effisien.

Antara tips yang saya amalkan sebelum mempraktikkan pam di tempat sendiri ialah:
  • Pastikan memilih pam yang mempunyai bunyi yang kurang bising supaya tidak mengganggu pekerja yang lain
  • Sediakan bantal untuk menutup motor pam bagi meminimumkan bunyi
  • Pakai siap-siap semua aksesori dan cuba dahulu hidupkan pam di bilik lain bagi mendapatkan posisi yang paling selesa
  • Maklumkan rakan sekerja yang paling hampir supaya dia faham dan tidak perlu banyak bertanya
  • Selepas memakai 'nursing cover', pakai tudung yang labuh untuk kesan yang lebih selesa
  • Proses memakai dan menanggalkan pam boleh dilakukan di tempat lain
  • Pastikan plug untuk memasang 'adaptor' berada dalam jarak yang berdekatan. Jika tidak, gunakan power bank atau bateri
  • Untuk mendapatkan hasil yang memberansangkan, pastikan pam dalam keadaan selesa, tidak tergesa-gesa, dan konsentrasi ketika membuat kerja. Ini sangat membantu untuk menghasilkan 'Let Down Refleks' yang berkali-kali
Sekian dahulu perkongsian unttuk kali ini. Moga bermanfaat.



Tuesday, 26 May 2015

Entri 36 : Kaitan Solat Dengan Ciri-ciri Orang Yang Berjaya

Teks : Nuraida Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Muslim yang berjaya adalah muslim yang dapat menunaikan solat dengan sempurna.

Antara ciri-ciri solat yang sempurna adalah seperti berikut:

1) Fokus

Solat yang khusyuk dapat melatih seseorang untuk fokus dalam menjayakan sesuatu. Fokus hanya dapat dicapai jika kita tahu apa tujuan kita bersolat, apa hikmah yang ingin dicapai, dan sedaya upaya mendapatkan mutu solat yang berkualiti. Antara ciri yang perlu ada adalah faham maksud setiap perkataan, menghayati sepenuhnya bacaan dalam solat, ikhlas dalam menjalankan ibadah solat dengan objektif mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kaitannya dengan ciri orang yang berjaya ialah mereka yang berjaya mempunyai kadar fokus yang tinggi dan mempunyai matlamat yang jelas dalam mencapai sesuatu objektif. Mereka melakukan sesuatu dengan persediaan yang cukup, sempurna dan sungguh-sungguh.

2) Penuh Etika

Solat yang sempurna dilakukan dengan penuh tertib, tenang dan tidak tergesa-gesa. Ini termasuk menjaga posisi supaya dapat memberikan impak kepada kesihatan fizikal yang optimum. Selain itu, mereka yang mementingkan solat yang sempurna juga bukan hanya menekankan perkara-perkara wajib dalam solat tetapi juga perkara-perkara sunat supaya solat yang terhasil dapat dipersembahkan dalam bentuk yang terbaik.

Kaitannya dengan ciri orang yang berjaya ialah mereka yang berjaya mempunyai sikap sentiasa memberikan yang terbaik apabila melakukan sesuatu kerja. Mereka sangat menjaga adab-adab supaya hasil kerja mereka berkualiti dan mempunyai kelas yang tersendiri. Mereka juga sering menambah ilmu dan melakukan penambahbaikan untuk lebih berjaya.

3) Pantas Bertindak

Orang yang berjaya lazimnya mempunyai rutin melakukan ibadah solat pada awal waktu dan tidak bertangguh-tangguh. Yang paling terbaik ialah sudah bersiap sedia dari sebelum masuk waktu dan menunggu waktu azan untuk solat berjemaah di masjid. Selain itu, solat wajib yang dikerjakan diawali atau diakhiri dengan solat sunat sebagai pelengkap.

Kaitannya dengan orang yang berjaya ialah orang yang berjaya adalah orang yang pantas bertindak. Mereka mengambil peluang untuk menjadi orang yang terawal dalam menyelesaikan sesuatu tanggungjawab.

4) Mementingkan Imej Yang Baik

Orang yang benar-benar menjaga solat juga sangat menjaga penampilannya dengan cara mengenakan pakaian yang bersih, menutup aurat dan menjaga setiap perkataan yang keluar dari mulut mereka.

Orang yang berjaya juga sangat mementingkan mutu perkhidmatan. Ini memberi kesan dalam penjenamaan diri sebagai muslim dan dalam masa yang sama dapat berdakwah melalui akhlak yang baik dan menunjukkan contoh yang baik.

5) Pengaruhi Kesan Positif

Kesan dari solat yang sempurna dapat dilihat apabila ia dapat mencegah seseorang muslim itu dari melakukan perkara yang keji dan mungkar.

Orang yang berjaya hidupnya dikelilingi dengan kesan-kesan yang positif. Akhlak yang baik akan menyebabkan seseorang itu memperolehi hidup yang lebih diberkati, dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki.

Sekian dahulu perkongsian pada kali ini. Jom kita perbaiki solat kita agar seiring dalam menuju kejayaan dan menjadi orang yang lebih berjaya.

Monday, 25 May 2015

Entri 35 : Etika Yang Perlu Dipatuhi Semasa Menonton TV

Teks : Nuraida Binti Mohd Harith
Foto : Google


Assalamualaikum w.b.t.

Entri ringkas kali ini mengenai beberapa perkara yang boleh diambilkira ketika melakukan aktiviti menonton tv. Antaranya:

1) Suasana terang yang mencukupi

Ada segelintir mereka yang gemar menonton tv dalam keadaan gelap. Terdapat berbagai tujuan mengapa ia dilakukan, antaranya ialah bagi mendapatkan fokus cahaya yang lebih, malas membuka lampu atau menjimatkan elektrik. Walaubagaimanapaun tindakan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan masalah rabun pada mata. Selain itu, ia juga dapat menimbulkan masalah silau kepada mata yang mengakibatkan mata menjadi sangat sensitif kepada cahaya terang. Oleh itu, pastikan kita berada di tempat yang terang atau membuka lampu pada waktu malam bagi melakukan aktiviti ini.

2) Melihat dalam jarak yang dibenarkan

Kadangkala anak-anak kecil gemar menonton tv dalam jarak yang dekat. Mungkin mereka berasa teruja ketika melihat rancangan kegemaran atau jarak penglihatan mereka kurang dari orang dewasa. Walaubagaimanapun, ibubapa digalakkan mendidik anak semenjak dari kecil bagi mengelakkan anak mengalami rabun mata di awal usia dan terpaksa menggunakan kacamata pada usia yang masih muda. Kita perlu memantau dan menasihatkannya untuk mengelakkannya dari menjadi tabiat sehingga dewasa.

3) Posisi yang betul

Posisi sebaiknya adalah duduk tegak dan bersandar dalam keadaan selesa. Berada dalam posisi yang tidak betul dalam masa yang lama boleh mengakibatkan sakit belakang dan memberi kesan jangka masa panjang dari sudut kesihatan. Selain itu, posisi berbaring juga boleh mengakibatkan seseorang itu menjadi malas untuk bangun dan menyebabkan tempoh menonton tv menjadi lebih lama.

4) Tidak menonton TV sambil makan

Tabiat menonton tv sambil makan boleh mengakibatkan seseorang terdedah kepada risiko obesiti tanpa disedari. Ini kerana tabiat ini akan menyebabkan seseorang itu terus menyuap dan mengunyah makanan tanpa menyedari kuantiti yang diambil. Keasyikan menonton tv dapat mengalih perhatian seseorang dari menumpukan perhatian pada aktiviti makan yang sihat. Ini boleh menyebabkan berlakunya kunyahan yang tidak sempurna yang boleh mengakibatkan seseorang tersedak atau makanan tidak dihadam sepenuhnya.

5) Tidak terlalu lama

Setiap aktiviti yang tidak melibatkan gerakan anggota dalam masa yang lama adalah tidak baik untuk kesihatan. Apabila berada dalam keadaan duduk, kita digalakkan untuk bangun berjalan sekurangnya setiap setengah jam bagi memastikan aliran darah berjalan dengan lancar. Kita juga perlu untuk mengalihkan perhatian mata pada tempat lain bagi tujuan mengurangkan daya tumpuan mata pada sesuatu tempat yang sama dalam tempoh yang lama. Ini bagi memberi peluang kepada otot-otot mata berehat dan tidak mengalami tekanan berlebihan. Selain itu, kita juga perlu berdisiplin supaya hanya menonton tv untuk rancangan yang bermanfaat dan tidak menjadikan aktiviti menonton tv ini sekadar tabiat untuk menghabiskan masa lapang.

Sekian dahulu perkongsian. Moga bermanfaat.